Khamis, 23 Julai 2009

SYIRIK MODEN



Suatu hari Bujang diarahkan oleh pegawai atasan pergi meninjau dua buah kuaters kerajaan yang telah lama tidak dihuni. Selain itu Bujang juga diarahkan supaya memindahkan barang-barang yang ada di rumah berkenaan ke tempat yang lain. Bujang telah memutuskan untuk menempah sebuah lori 3 tan dan menaikinya bersama beberapa orang pekerja yang lain. Bujang pun bertolak menuju destinasi tanpa menyedari gerak gerinya diperhatikan. Setelah selesai kerja, Bujang pun pulang ke pejabat dan bertembung dengan Puan Su. Maka berlakulah perbualan antara mereka.

Puan Su : "Kamu pergi ke mana tadi Bujang?"
Bujang : "Pergi tengok kuaters di Bukit Saujana puan. Staf-staf yang lain pun ada ikut sekali tolong bantu. Banyak yang rosak. Orang dulu yang duduk di situ tak jaga elok-elok."
Puan Su : "Saya nampak kamu naik lori tadi. Kenapa tak minta kereta khas untuk kamu?. Budak-budak di pejabat ini bukan main gelak lagi sambil kutuk bila nampak kamu naik lori dengan pakai tie. Lain kali mintalah kereta. Kamu tu kan pegawai, kena jaga maruah dan taraf tu sikit. Staf kamu yang lain di pejabat pun turut gelakkan kamu juga tau."
Bujang : "Tak pe lah… jimat sikit duit kerajaan. Kalau naik kereta nanti dah membazir minyak dan pemandu", jawab Bujang dalam nada kurang senang.
Setelah selesai, Bujang pun pulang ke pejabat. Dalam perjalanan, Bujang terfikir tentang kata-kata Puan Su. Apakah benar maruah dan imejnya jatuh hanya kerana menaiki sebuah lori pada waktu bekerja? Adakah kerana Bujang seorang pegawai, maka imej dan tarafnya terjelepok bila menaiki sebuah lori? Taraf di mata siapa? Di mata staf bawahan, rakan sekerja & pegawai atasan ?
PERSEPSI. Ia adalah cara bagaimana seseorang itu menilai sesuatu yang dipandang. Mungkin benar apa yang dinyatakan oleh Puan Su. Tapi benar di sudut mana? Kebanyakkan orang mempunyai persepsi yang sama seperti Puan Su. Kebanyakkan orang menganggap bahawa imej seorang pegawai mestilah kemas, segak dan kenderaan yang dinaikinya juga harus mantap dan bukannya menaiki motosikal atau kereta kancil atau kelisa apatah lagi kalau menaiki sebuah lori.
Tapi apa sebenarnya itu persepsi? Barangkali ia juga boleh dikatakan sebagai kepercayaan.
Tidak timbul soal imej dan taraf seseorang itu jatuh atau tercalar hanya kerana menaiki lori. Lori tidak mempunyai sebarang kuasa untuk merendahkan taraf seseorang yang menaikinya. Begitu juga dengan kenderaan mewah, wang, kekayaan, dan jawatan semuanya tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan atau menaikan imej seseorang melainkan hanya persepsi yang timbul dan bermain di minda dan jiwa. Mungkin ini berlaku dalam masyarakat kita kerana terperangkap dalam budaya negatif konsumerisme yang berasal dari Barat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan