Isnin, 3 Oktober 2011

Bersih & Berkorban

Ramadhan dan Syawal telah berlalu. Zulkaedah tiba dan Zulhijjah menanti.


Syukur diucapkan kerana telah diberi kesempatan membersihkan jiwa dengan 'Air Ramadhan' dan diberikan 'Pakaian Syawal' sebagai tanda kita telah kembali kepada fitrah kejadian kita : Bersih dan suci pada batinnya dan sekadar mencukupi keperluan zahirnya dan terdidik nafsunya supaya cenderung ke arah kebaikan.


Kini kita berada pada bulan Zulkaedah - bulan persediaan untuk menunaikan ibadah haji dan korban pada bulan berikutnya, Zulhijjah.


Akhir zaman ini manusia kebanyakkan bersifat tamak dan terlalu ingin bermewah-mewahan dan bersenang-senang. Sifat ini bukannya fitrah suci manusia melainkan semata-mata keinginan haiwani. Lihat sahaja budaya kepenggunaan atau consumerisme, pelbagai produk disajikan atas nama kemudahan dan bertujuan memudahkan tugas manusia, tetapi hakikatnya produk dikeluarkan bagi tujuan mencari untung semata dengan mengambil kesempatan ke atas nafsu serakah manusia..


Maka berlakulah persaingan dikalangan syarikat-syarikat pengeluar yang mengeluarkan barang sama dengan membuat sedikit ubahsuai dan penambahbaikan bagi membuktikan mereka lebih maju kehadapan berbanding pesaing mereka. Selepas itu berbondong-bondong orang ramai mendapatkan produk yang lebih maju dan terkini itu kononnya ia lebih memudahkan dan meningkatkan taraf hidup.


Hakikatnya telah berlaku banyak pembaziran dan merosakan bumi. Mereka telah menggunakan hasil bumi dengan boros demi mencari keuntungan yang sedikit. Lihat sahaja pencemaran disana sini. Mengapa perlu ada banyak syarikat yang bersaing pada hal mereka mengeluarkan produk yang sama?


Nanti ada orang yang berkata "Mana boleh macam tu! Kalau satu syarikat yang monopoli, nanti penggunalah yang akan dibuli. Syarikat boleh sesuka hati menaikkan harga barang."


Teori Demand & Supply menyatakan jika permintaan barangan di dalam sesuatu pasaran itu meningkat, maka kemungkinan harga barang tersebut juga akan meningkat disebabkan ramai orang memerlukan barang yang terhad. Kononnya ini membuktikan barang tersebut adalah sesuatu yang berharga. Ya betul, barang tersebut adalah sesuatu yang berharga bagi orang-orang yang sentiasa memenuhi nafsu syahwatnya sahaja dan bukannya bagi orang-orang yang sentiasa menahan diri dan mendidik nafsunya.


Bagi si pengeluar dan pembuat barang-barang pula, pertama sekali yang difikirkan adalah bagaimana cara membuat untung. Mereka sentiasa memikirkan cara bagaimana membuat keuntungan ke atas masyarakat disekelilingnya. Ditambah pula dengan teori strategi pemasaran yang telah bayak dibangunkan oleh tokoh-tokoh dibarat, maka tipu daya juga semakin bertambah kompleks dan sukar dimengerti (Fikirkan cara bagaimana skim cepat kaya dan MLM berfungsi). Cara lama yang paling biasa digunakan ialah dengan menyorokkan barangan dan menghadkan pengeluaran. Apabila barang terhad, orang ramai menjadi panik seperti penagih dadah. Kelihatan orang ramai terdesak. Zasssss.... harga dinaikkan. Tiada pilihan. Satu kosong. Kemenangan di pihak pengeluar dan kekalahan di pihak pengguna. Tapi cara ini mudah dikesan oleh orang ramai dan pihak berkuasa.  




Hak Cipta
Ilmu pada hari ini mulianya adalah pada kedudukan nombor dua. Yang paling mulia adalah wang. Sampaikan koleksi doa-doa kesukaan Rasullah yang mereka cetak untuk dijual kepada orang ramai tertulis "Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi dan isi kandungan buku ini dalam apa jua bentuk dan dengan apa cara sekalipun, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada ................. Sdn Bhd.". Untungnya mereka ini bukan sahaja mendapat pahala. Bahkan wang ringgit juga mereka perolehi setiap kali buku kecil berharga RM 5.90 di Semenanjung dan RM 8.90 di Sabah dan Sarawak ini diulang cetak. Kalau nak cerita pasal isu hak cipta ni memang panjang lebar. Ia merangkumi hampir keseluruhan ciptaan & teknologi yang dibangunkan oleh manusia. Ilmu yang diperolehi tidak diamalkan dengan niat yang murni dan suci melainkan terdapat keinginan untuk mendapatkan keuntungan yang sedikit di dunia.


Yang paling untung sekali adalah bank. Merekalah yang paling atas sekali di dalam rantaian makanan kewangan. Syarikat pengeluar dan pengguna sentiasa berada di bawah mereka. Mereka ini (bank) ibarat bookie bola yang mengatur perlawanan di antara pasukan pengeluar dengan pasukan pengguna. Modal mereka hanyalah wang, wang dan wang. Mereka membuat keuntungan kewangan dengan hanya bermodalkan kewangan. Sungguh mudah. Kata orang putih ' They make money out of thin air'. 


Begitulah kebanyakkan manusia pada hari ini. Di dalam kehidupan seharian mereka memberikan sesuatu yang sedikit kepada yang lain dengan harapan untuk memperolehi sesuatu yang lebih banyak daripada orang lain. Mereka ini lebih banyak mengambil berbanding memberi. Jika begini, bagaimanakah boleh diharapkan pengorbanan daripada mereka ini? Sanggupkan mereka berkorban? Hanya mereka yang benar-benar bersih jiwanya yang sanggup berkorban.


Bersambung nanti...insya Allah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan