Rabu, 10 Oktober 2012

LETAKKAN MASING-MASING PADA TEMPATNYA







Artikel ini merupakan wawancara oleh Dewan Budaya bersama Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Boleh Prof. ceritakan sedikit bagaiamana ISTAC ini dibina?

PROF. SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS:  Pada mulanya hanya saya dengan Encik Mat Ali dan Haji Ali. Encik Mat Ali saya minta dari Universiti Kebangsaan Malaysia, sebab  dia sudah lama berkerja dengan saya. Kemudian, setahun lebih begitu, Dr. Wan Mohd. Nor pula. Jadi kita sahaja yang membuat ini semua. Pertama sekali mereka ini semuanya faham apa yang saya nak buat. Maknanya semua sekali turut serta dan dengan cergas. Tetapi kalau sekiranya tiap-tiap sesuatu yang hendak dibuat itu mesti dimesyuaratkan dulu, panggil 30 atau 40 orang, tidak akan jadi apa-apa. Bercakap dan bercakap sahaja, nanti ada yang tidak setuju itu dan tidak setuju ini, kerana kebanyakan mereka tidak tahu. Biasanya projek seperti ini sekurang-kurangnya mengambil masa lima tahun baharu siap. Itu pun kalau mereka buat dengan cergas, dan projeknya pula bukan seperti projek ini. Yang biasa siap dalam masa lima tahun itu projek-projek biasa, dengan bangunan yang biasa. Bukan macam ini. Apabila saya sebut ‘institut’, mereka fikir macam projek-projek biasa itu. Saya pun tak nak cakap. Saya buat sahaja. Mereka fikir kita buat macam biasa itulah. Apabila sudah jadi baru mereka nampak. Dan mereka pun hairan macam mana projek begini boleh siap dalam masa satu tahun setengah sahaja.

Bagaiamana Prof. boleh mendapat autonomi begitu, untuk melaksanakan kerja-kerja pembangunan institut ini?


Itu pun kerja yang susah juga. Yang pertama sekali saudara Anwar Ibrahim pada tahun 1986/1987 begitu, apabila berjumpa dengan saya dia mengatakan, “Sekarang Prof. boleh buatlah apa yang dahulu Prof. rancangkan, dalam idea kita.” Saya memberitahunya saya boleh buat, tetapi syaratnya saya mesti diberi autonomi. Autonomi di sini maksud-nya institut ini bukan macam institut-institut lain yang ada. Dan yang saya tahu tak ada pun dalam dunia ini institut seperti yang kita nak buat ini. Objektif kita lain. Baca objektif sahaja sepatutnya orang sudah boleh memahami bahawa institut ini bukan sebuah institut biasa. Sturkturnya pun lain. Kita kena buat institut ini menerusi Universiti Islam Antarabangsa bukan kerana apa, kerana institut ini institut antarabangsa, dan bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Kalau dibawa ke parlimen, nanti menimbulkan banyak masalah. Jadi dengan cara dibuat melalui universiti barulah tidak menimbulkan masalah. Dan saya minta selepas itu jangan campur tangan dalam urusan kita. Maknanya biar saya buat sendiri. Hendak mendapat perkara itu memang susah, sebab banyak orang tak faham, dan macam-macam. Tetapi bagaimanapun setelah berbincang-bincang dengan saudara Anwar dan juga kementerian, hampir dua tahun berbincang, akhirnya dapatlah juga.

Yang dikatakan autonomi itu ialah dari segi pentadbiran, kewangan, dan juga akademik. Ini bermakna yang perlembagaan universiti pun mesti diubah untuk membolehkan institut seperti itu ditubuhkan. Untuk mengubah itu lambat juga, kerana perkara itu perlu mendapat perkenan sultan, yang menjadi constitutional head. Tetapi akhirnya perubahan itu dibuat juga. Dari segi pentadbiran maknanya kedudukan saya ini sama dengan kedudukan naib canselor dalam universiti, bahkan dalam beberapa perkara naib canselor pun tak ada kuasa seperti yang ada pada saya. Autonomi dari segi kewangan maksudnya kita membuat belanjawan, kita serahkan kepada kementerian, dan kementerian berikan wang itu langsung kepada kita, tidak melalui universiti. Cara ini cepat. Begitu juga cara saya membuat kerja ini pun cepat. Saya memang biasa cepat. Jadi mesti ada orang yang faham ini semua. Pustakawan kita mesti tahu beberapa bahasa, sekurang-kurangnya bahasa Melayu, Arab dan Inggeris. Jadi saya ambil yang saya kenal. Dan dia pun kena buat kerja-kerja yang belum pernah dibuatnya. Kalau di tempat-tempat lain dai duduk di belakang meja saja, bagi arahan. Di sini tidak. Tulis-tulis surat arahan tidak perlu. Dia kena buat sendiri, semua. Begitu juga kalau sekiranya arahan kita hendak apa-apa daripada kementerian, biasanya saya minta Cik Mat Ali supaya pergi lekas. Saya tulis, minta dia bawa surat itu ke sana, tunggu di sana, biar mereka jawab, dan bawa balik. Kalau hantar dengan pos nanti berbulan-bulan baru dapat jawapan. Jadi perkara-perkara macam ini kita buat semua, dengan cepat.

Saya sendiri juga berurusan dengan banyak orang yang berkaitan dengan pembangunan institut ini. Kita buat mengikut peraturan. Tidak terkeluar daripada prosedur. Saya sendiri yang mengarah mereka semua, bukan orang lain, bukan arkitek. Semua tugas arkitek saya ambil, melainkan juruteknik yang harus membuat pelan yang akan dibawa ke Dewan Bandaraya dan lain-lainnya. Itu kita mesti gunakan mereka. Selain itu semuanya saya buat, dengan orang-orang yang berkaitan, seperti orang-orang yang membuat perabotnya, misalnya. Saya yang membuat reka bentuknya. Saya terangkan bagaimana yang saya hendak, begitu begini, dan saya pun pergi ke tempat membuatnya, dan lihat sama ada yang dibuatnya itu betul atau tidak. Kontraktor pun kita juga yang mengarahnya. Maknanya semua sekali kita buat, daripada mencari tanah untuk tapaknya, membuat lakaran…. Daripada lakaran itu kemudian dibuat sukatannya. Kadang-kadang mereka tidak biasa membuat sukatan bangunan yang begini. Kalau dibandingkan dengan bangunan biasa, yang kita buat tiga tingkat ini biasa dibuat lima atau enam tingkat. Dan biasa orang buat ada standard-nya. Silingnya, pintunya, semua ada standard. Sekarang mereka kena buat semua tak ada standard.


Dari segi sistem kerja, cara-cara kerjanya, Cuma menggunakan beberapa orang sahaja, tidak ramai pekerja, sedangkan kerjanya banyak. Mengapa Prof. memilih untuk berkerja dengan hanya beberapa orang, sedangkan…?


Kalau nak ikutkan kerjanya memang banyak, tetapi saya buat dengan Cik Mat Ali saja. Sebab, pertama sekali nak cari orang yang ikut apa perintah saya susah juga. Keduanya, saya fikir itu lebih cekap kerana saya sendiri berkerja begitu. Barangkali orang lain tidak buat begitu kerana cara bekerja mereka lain. Dan pada fahaman saya, lebih sedikit staf lebih lancar kita berkerja. Kalau banyak sangat nanti banyak yang tidak ada kerja, atau banyak yang tidak buat seperti yang kita suruh buat. Banyak juga yang tak tahan kalau kena marah. Jadi ini maknanya orang yang faham betul baru tahu bahawa kalau kita marah itu bukan marah dalam hati, marah di luar saja. Tujuannya supaya dia buat kerja dengan betul. Nak cari orang yang seperti itu tidak mudah. Jadi, itulah, maknanya macam satu orang yang buat kerja. Kalau ada yang lain pun dia mesti ikut. Ya, hasilnya sekarang orang nampak, bukan!

Kalau Prof. boleh ringkaskan secara yang paling ringkas tentang falsafah di sebalik reka bentuk bangunan itu sendiri?


Gambaran institut ini semuanya datang daripada imaginasi kita. Bukan saya pergi ke satu-satu negeri tengok situ tengok sini, dan ambil sedikit di sana, sedikit di sini, tidak. Itu memang daripada khayalan kita. Tetapi khayalan ini mesti memberikan satu watak ataupun peribadi Islam, mesti ada ciri-ciri Islam. Jadi kalau orang datang ke sini dapat dirasakannya ini bangunan apa, tanpa perlu kita sebut. Itu nombor satu. Nombor dua, orang yang buat macam ini mesti tahu agama Islam dengan mendalam. Mustahil boleh buat ini kalau tidak tahu agama Islam. Banyak ilmu Islamiah yang dia harus tahu. Kemudian dia juga tentulah harus mempunyai imaginasi dan khayalan yang jelas dan agak lengkap. Kebanyakan orang tidak dapat mengkhayalkan bangunan. Mula-mula dulu ada orang bertanya sama ada kita ada model atau tidak, sebab orang buat rumah pun ada model. Tetapi ini tidak perlu model. Semuanya sudah ada, kita sudah gambarkan, sudah berasa macam mana. Mesti ada perasaan juga, bukan sahaja imaginasi. Yang penting sekali ialah hendak mengeluarkan ciri-ciri yang betul. Menurut fahaman saya, itu sudah tercapai, kerana pada malam perasmiannya itu, banyak scholar Islam yang terkenal datang, dan mereka saling mengatakan begitu – soal ciri. Mereka dapat merasakannya, antaranya yang berkaitan dengan ilmu,  dengan tuntutan ilmu dan sebagainya.

Dan kita buat itu tidak mahu kena-mengena dengan apa yang saya sebut sebagai sekular. Maksud saya dengan sekular itu bukan soal-soal keduniaan. Itu fahaman orang awam. Maksud saya ialah yang tidak kena-mengena dengan hal-hal rohaniah, seperti bising, banyak kereta, dan sebagainya. Tentu sahajalah kalau banyak masa, kita boleh buat dengan lebih baik. Saya boleh tambah macam-macam, dengan gambar dan sebagainya, tetapi mereka hanya tulis sahaja. Kalau disuruh buat begini, mereka tak boleh buat. Kita tidak menulis tetapi kita buat, sebab semuanya itu sudah ada dalam perasaan. Tentulah orang-orang yang buat dulu pun bukan dia tulis; dia bukan penulis tentang kesenian, tetapi dia yang membuat itu semua, dan penulisan itu timbul kerana dia yang membuat itu semua. Bukan?

Saya boleh tambah macam-macam lagi, khat dan sebagainya. Di luar itu misalnya saya boleh buat khat daripada batu. Khat-khat seni bina biasanya baik kalau dibuat daripada batu. Tetapi masa suntuk sangat nak buat itu semua. Orang-orang kontraktor yang buat itu pun banyak yang tidak terbayangkan perkara ini. Bila siap sedikit demi sedikit, barulah mereka nampak, tetapi tidak keseluruhannya. Mereka pun menunggu-nunggu juga. Buat arch ini pun bukan mudah. Banyak orang menduga itu hanya semicircle, maknanya betul-betul separuh daripada satu bulatan. Padahal bukan separuh, tetapi lebih sedikit daripada separuh. Dan kita nak pasang tiang-tiang itu, orang kita tidak biasa buat. Kontraktor pun tidak biasa, macam mana nak pasang tiang, macam mana nak memasukkannya supaya bangunan itu tampak seolah-olah berdiri pada tiang, padahal tidak. Bagitulah juga, kepala tiang itu semua sekali kita buat, kita reka; bukan kita ikut mana-mana. Kebanyakkannya membawa ciri-ciri Islam, dan mempunyai kaitan dengan Alam Melayu – bunga-bunganya, dan sebagainya. Misalnya pada tiang itu. Itu pun bila saya lukis macam mana pun, tunjuk supaya mereka buat, mereka tak boleh buat, mereka tidak dapat mambayangkannya. Gambar mendatar, sedangkan bentuk sebenar tiga dimensi. Jadi kita kena tolong dia buat dulu daripada tanah liat, lepas itu barulah kita suruh dia perhalusi, sampailah jadi betul. Semuanya saya sendiri yang menunjukkannya. Jadi ini satu kelebihanlah yang ada pada kita. Bukan saya belajar dari mana-mana. Saya tidak belajar architecture. Begitu juga tulisan khat ini, saya tidak belajar. Banyak belajar sendiri.

Prof. sebut tentang ciri-ciri Islam. Kalau Prof. boleh jelaskan apa yang dimaksudkan dengan ciri-ciri Islam itu?


Berkenaan dengan tempat ini, mesti ada keseimbangan – ada simetri. Soal keadilan – menempatkan masing-masing pada tempatnya. Saya selalu memberikan definisi tentang apa yang dikatakan justice, iaitu meletakkan masing-masing pada tempatnya. Dalam Islam biasanya semua mesti ada kesaksamaan. Simetri itu mesti ada. Masing-masing mesti ada perkaitannya. Misalnya fountain atau pancutan air di dalam itu mesti berkaitan dengan yang di luar. Yang di luar itu pun mesti ada perkaitan pula dengan tembok ini, atau tiang itu, atau tingkap di sana. Jadi, masing-masing ada perkaitannya. Semua sekali ada pertalian antara yang satu dengan yang lain. Mesti ada alignment ke mana. Tidak ada yang tersendiri saja begitu. Itu yang kadang-kadang kontraktor silap buat.

Itu satu. Nombor duanya, kita bawa pula beberapa aspek lain seperti mesti ada air, mesti ada kebun, mesti ada sungai. Dalam Quran pun dikatakan “tajri min tahtihal anhar”, mengalir di bawahnya sungai-sungai. Walaupun tidak ada apa-apa, air mesti ada di situ. Banyak ahli arkitek Islam moden sekarang memikirkan bahawa yang dikatakan functional itu mesti ada guna. Jadi dia bertanya, fountain ini untuk apa? Untuk diminumkah? Dia tidak sedar bahawa guna itu tidak bererti mesti boleh diminum atau digunakan untuk air sembahyang. Kalau seseorang yang memandangnya mendapat rasa senang pun, sudah ada gunanya. Jadi kalau ada bunga-bunga pun, itu pun fungsional. Lihatlah rumah orang Melayu di kampong, mesti ada bunga. Kalaupun tidak ada bungaan lain, ada bunga kertas. Kalaupun tidak harum, warnanya ada. Pokok pisang pula ditanam di belakang rumah. Bunga-bunga ditanam di depan. Tetapi sekarang banyak orang menanam pokok pisang di depan. Pokok kelapa pun ditanam di depan rumah. Itu tak betul.

Kalau boleh Prof. lanjutkan sedikit tentang ciri-ciri Islam tadi, dilihat dalam konteks kehidupan kita sekarang, bagaimana?


Itulah yang saya katakan sekular. Rumah menghadapi jalan, menghadapi riuh-redam kehidupan sehari-hari…sedangkan institut seperti ini tentulah memerlukan tempat yang sunyi, tempat kita boleh berfikir, boleh study, ada suasana serius – bukan nak main-main; tetapi juga ada keindahan, boleh duduk dengan tenang, boleh lupakan segala yang berlaku di luar. Kalau di tempat yang bising, orang akan teringatkan hal yang sibuk-sibuk, dan pertikaian sehari-hari, termasuklah segala intrigue dan macam-macam lagi. Kita hendak keluar sedikit daripada situ, kita hendak memandang ke dalam, jangan ke luar sahaja, kerana dalam dan luar itu realitinya satu. Islam tidak mengatakan yang luar itu tidak real. At-tijarah, iaitu macam jual beli – transaction.Yang dia jual beli itu ialah dirinya sendiri. Jangan fikir yang bisnes ini hanya bisnes luar sahaja. Dalam masa kita melakukan bisnes luar, kita sendiri pun sedang bergiat dalam satu bisnes yang sangat serius, iaitu jual beli diri kita. Menjual diri kita supaya diri yang asal itu jadi rugi dan yang untung hanya diri haiwani sahaja; ataupun kita kawal diri yang haiwani supaya yang untung ialah diri yang rohani. Nama Allah s.w.t sendiri di dalam Quran disebut Zahir dan juga Batin. Memang hakikatnya begitu. Tetapi orang sekarang kebanyakkannya jadi sekular. Kurang hendak bersendirian. Banyak sangat yang sibuk dengan hal-hal kehidupan sekular. Berlumba-lumba di situ. Kehidupan sedemikian di dalam Quran disebut at-tijarah, iaitu macam jual beli –transaction. Yang dia jual beli itu ialah dirinya sendiri. Jangan fikir yang bisnes ini hanya bisnes luar sahaja. Dalam masa kita melakukan bisnes luar, kita sendiri pun sedang bergiat dalam satu bisnes yang sangat serius, iaitu jual beli diri kita. Menjual diri kita supaya diri yang asal itu jadi rugi dan yang untung hanya diri haiwani sahaja; ataupun kita kawal diri yang haiwani supaya yang untung ialah diri yang rohani.

Banyak orang sudah lupakan ini semua. Dengan secara sedar, bukan dengan secara main-main ritual sahaja. Ada orang berfikir ini boleh dicapai dengan masuk tarekat dan sebagainya….padahal ini kita boleh buat sendiri tanpa perlu masuk itu semua. Orang yang masuk itu sebab dia nak cari ketenteraman; dia protes dengan kehidupan luar. Kita tak buat begitu. Cara Rasulullah pun tidak begitu. Baginda berkecimpung dengan kehidupan luar dengan secara penuh, dia juga tidak meninggalkan kehidupan dalam. Itu satu cara yang sukar hendak kita capai. Kebanyakan orang tidak boleh mencapai kedua-dua sekali. Sama ada dia pergi ke sana, ataupun dia pergi ke sini. Extreme. Kita mencari keseimbangan di tengah-tengah. Justice tadi ialah meletakkan diri kita pada tempat yang wajar, supaya kita seimbang, kerana kedua-duanya itu hakikat. Bukan yang satu batil, dan yang satu hak.

Orang-orang bukan Islam pun, ahli-ahli fikir dulu, banyak mendapat pengaruh Islam juga, dan mereka pun berkata begitu. Mereka berkata “Happy is he who has put under his feet the noisy stride and hell of greed.” Itu kata-kata salah seorang ahli fikir bukan Islam. Maknanya: bahagialah dia yang dapat meletakkan di bawah telapak kakinya riuh-redam kehidupan ini, dan mengawal tamaknya kepada kehidupan. Tujuan agama akhirnya begitu. Ini bukan menyalahi faham development yang dihebohkan sekarang. Development pada kebudayaan Barat sekarang ini adalah sekular, iaitu hanya soal-soal dalam dunia ini sahaja, di bumi ini sahaja. Dan dalam hal dia melaksanakan development itu, dia buat banyak kerosakan, kerana dia tidak meletakkan masing-masing pada tempat yang wajar. Itulah sebab timbulnya environmental pollution. Tempat sesuatu itu telah dikacau-kacaukan, dirosakkan. Jadi maknanya pokok-pokok pun kita mesti letakkan pada tempatnya yang wajar. Begitu juga dengan bangunan. Segala hal mesti diletakkan pada tempat yang wajar. Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa Allah yang Khalik, yang menjadikan segalanya, telah memberikan sukatan dan meletakkan masing-masing pada tempat yang wajar, tetapi insane yang menukar-nukarkannya dan membuat kacau.

Tentulah nanti ada yang bertanya, dari mana kita nak tahu tempat yang wajar itu? Itulah, kerana tidak tahu maka dia mestilah ikut ajaran orang yang tahu, orang-orang yang ada hikmah, yang mempunyai ilmu sebenar yang diwarisi daripada nabi-nabi. Jadi, autoriti-autoriti mesti ada. Tetapi zaman sekarang, kalau orang sudah menafikan autoriti, memikirkan semuanya sama, tidak ada autoriti, masing-masing membuat halnya sendiri, jadi ini semuanya hilang. Yang dikatakan hikmah itu tidak ada lagi. Itu yang saya selalu katakan  bahawa kerosakan ilmu ertinya kerosakan dalam soal keadilan. Keadilan menghendaki adanya ilmu. Kalau tidak ada ilmu macam mana nak tahu tempat yang wajar untuk masing-masing? Diri kita sendiri pun kita harus tahu tempat kita yang wajar. Letakkan diri kita pada tempat yang wajar barulah kita dapat ketenteraman dalam diri. Ketenteraman dalam diri itulah yang disebut Islam. Salah satu makna Islam itu tenteram. Itu hasil daripada meletakkan pada tempat yang wajar. Memang tujuan para seniman pun akhirnya nak cari tempat itu. Kalau dia melukis gambar dengan warna-warnanya, dia nak dapatkan apa yang dikatakan harmoni. Harmoni itu tidak lain daripada meletakkan sesuatu pada tempat yang wajar. Di rumah kita pun bukan semua barang kita longgokkan pada satu tempat. Kita susun dan atur masing-masing pada tempatnya. Jadi apabila kita masuk ke rumah itu, kita berasa tenang. Cuba kalau masa saudara tidak ada di rumah ada orang datang menukar-nukarkan semuanya, bila saudara balik tentu rasa tak sedap bukan? Sebetulnya, the whole life is nothing but that, nak cari tempat itu. Jadi, agama Islam menunjukkan jalan yang sebenarnya. Kalau itu tidak diikuti, tidak adalah tempatnya, jadi kacau semua.  

Fasal development tadi, dulu saya selalu kritik, dan saya selalu beri amaran: Jangan kita ikut dasar-dasar orang Barat yang moden ini, sebab mereka hidup berdasarkan faham tragedi. Tragedi adalah satu cara hidup bagi orang Barat. Maknanya satu pandangan falsafah mengenai hidup. Mereka beranggapan insan ini tidak boleh diam, tidak boleh mencapai keamanan. Mereka sudah menafikan itu, dan akhirnya semuanya disyaki – doubt. Itu jadi panduan mereka. Kalau ada keyakinan pun hanya keyakinan bahawa kita mesti syak. Itu keyakinan mereka. Tetapi itu bukan keyakinan. Oleh sebab syak, mereka senantiasa dipacu oleh syak, untuk senantiasa bergerak. Mereka fikir dinamik itu ertinya begitu. Mereka tidak sedar kemungkinan adanya satu macam dinamisme yang juga bergerak tetapi juga diam. Mereka fikir dinamik itu mesti bergerak terus sedangkan ada juga dinamik yang tidak berubah-ubah. Bagaimana dengan Tuhan? Kita tak boleh mengatakan yang Tuhan itu berubah-ubah begitu, sedangkan Dia juga dinamik. Dia senantiasa dalam keadaan itu, mengikut Quran. Dan Dia bukan di atas, di bawah, atau di tepi, tetapi di mana-mana pun ada sahaja wajah-Nya. Maknanya faham ketuhanan dalam Islam ini tidak sama dengan falsafah Greek, dan falsafah Barat. Jadi yang dikatakan dinamisme bukan bererti bahawa kita senantiasa harus berubah.

Dalam hal perubahan itu ada juga yang permanent, yang tidak berubah. Perubahan tidak mungkin jadi kalau tidak ada permanent. Dengan sendirinya erti perubahan itu boleh berlaku. Dan landasan itu tidak berubah. Lihatlah diri kita sendiri. Kita ini senantiasa berubah. Tiap-tiap saat diri kita sudah lain daripada yang sekarang. Orang bukan tak tahu, seribu tahun dulu lagi, orang macam Ibnu Sina semua sudah berkata begitu. Dia mengatakan bahawa darah daging kita ini pun tiap-tiap saat berubah. Badan kita ini tidak sama dengan badan kita sewaktu kita masih budak kecil dulu. Tetapi dalam tiap-tiap saat dia berubah itu, ada yang tidak berubah, iaitu diri kita yang dikatakan roh atau soul itu. Kalau itu berubah, macam mana kita boleh ada identity. Macam mana kita boleh ingat kita ini kita. Jadi walaupun badan kita berubah, semua berubah, tetapi diri kita tidak berubah. Diri kita tetap kenal kita ini siapa? Itu yang dikatakan soul. Dan dia itu pun bukan dia diam statik saja. Dia senantiasa dalam keadaan dinamik. Jadi maksud saya, faham dinamik orang-orang ini semua bukan sahaja tidak jelas, tetapi tidak lengkap. Mereka fikir dinamik itu harus berubah. Mereka tidak sedar bahawa ada satu macam dinamisme yang merangkumi kedua-duanya – permanent dan change.

Jadi, faham  development mereka itu cuma change, change, change, tidak ada matlamat akhir. Nak tuju ke mana? Fahaman sekular sekarang berkata, jangan tanya itu, kerana masa hadapan harus terbuka. Tidak ada masa hadapan yang tertutup. Maksudnya mesti dihapuskan semua pandangan alam yang final. Itu ertinya menentang agama, tentu sahaja menentang Islam, sebab kita ada pandangan final. Kita mengatakan alam ini pun suatu hari nanti akan binasa. Bahawa tujuan akhir kita ada di tempat lain. Faham sekular menentang itu. Dia kata itu semua bohong. Yang ada hakikat, inilah, bumi ini, kehidupan sehari-hari ini. Ini sahaja.

Dari segi development atau pembangunan tadi….


Nanti. Saya belum habis lagi soal pembangunan itu. Jadi sebab itu orang-orang Barat sangat gemar  dengan cerita Sisyphus yang menolak batu. Dan orang kita pun terikut-ikut. Maknanya dia fikir perubahan itu sama seperti menolak batu ke atas bukit, sampai ke atas nanti batu itu menggelongsor balik ke bawah, lalu ditolak lagi ke atas dan terus baegitu. Dia fikir itulah development, padahal itu bukan development. Development itu dari perkataan develop,  yang ertinya kita harus memperbaiki keadaan yang ada kepada keadaan yang lebih baik lagi. Begitu juga progress yang ertinya ada yang dituju. Dalam Bahasa Melayu kita ada kata kemajuan. Mustahil ada kemajuan tetapi tidak ada tujuan. Katakanlah ini Johor Bahru. Kita belum pernah pergi ke sana, tetapi kita dengar adanya di sana, jadi kita hendak pergi ke sana. Kalau kita berjalan ke sana, itu dikatakan progress toward ke Johor Bahru. Tetapi kalau kita berjalan ke sini, itu bukan progress ke sana; kita tidak akan sampai ke Johor Bahru, kecuali kalau dibetulkan balik ke sana. Progress mesti ada yang dituju. Dan tujuan itu mesti sudah ada, sudah lengkap, sudah final, tidak berubah-ubah. Kalau tujuannya berubah-ubah, sekejap ada sekejap hilang, sekejap di sini sekejap di sana, macam mana hendak dikatakan itu progress? Dan progress bukan dalam jangka masa lima tahun sekali, dan lima tahun lagi sekali, baru hendak dilihat. Itu macam orang yang buta, tidak tahu jalan. Dalam Quran surah Al-Baqarah dimisalkan mereka itu seperti orang yang memasang api, kemudian Tuhan menghilangkan api itu dan meninggalkan mereka dalam kegelapan, dengan kilat dan petir. Mereka takut, lalu mereka tutup telinga mereka dengan jari, dan mereka tunggu kilat yang akan datang. Bila kita datang mereka pun berjalan lagi. Inilah yang disebut oleh mereka progress, civilization sekarang ini.

Progress ertinya mesti ada jalan yang jelas, yang kita tujui. Development bukan sahaja mempunyai erti yang zahir atau yang jasmani. Manusia ini bukan jasmaniah sahaja. Dia juga satu intelek, satu spirit. Dia bukan hanya darah daiging sahaja. Tetapi psikologi moden dan fahaman sekular Barat sudah menafikan itu semua. Mereka fikir manusia ini macam binatang sahaja; hanya binatang ini sudah lebih maju daripada binatang lain. Tentu kita tidak setuju dengan fahaman itu. Itu yang dikatakan sekular – dikeluarkan unsur-unsur rohaniah daripada segala perkara, daripada hal hidup, hal insan dan daripada alam sekalipun. Mereka mengatakan bahawa alam ini hanya benda sahaja. Dan bukan ada apa-apa benda-benda ini, kita boleh ubah-ubah. Memang betul. Tetapi nak mengubah-ubah ini kita mesti cari keadilan. Segala-galanya mesti diletakkan pada tempatnya, sebab semuanya itu bukan sekadar benda sahaja, tetapi juga simbol. Dalam Quran dikatakan alam ini juga ayat. Ayat itu simbol, seperti kata-kata dalam teks. Kalau saudara asyik melihat perkataan, seperti golongan ahli linguistik sekarang yang suka study the word, kaji bagaimana strukturnya, bagaimana bunyinya dan sebagainya, kalau saudara asyik melihat perkataan seperti itu, saudara tidak akan membaca bukunya. Jadi, begitulah yang dibuat oleh sains moden terhadap alam ini. Dia anggap  ini, oh…dia terharu dan terpikat…tidak sedar bahawa ini ada makna lain di dalamnya. Kita mesti membacanya macam membaca buku. Sebab itu Quran mengatakan alam ini ayat, yang menunjuk kepada makna-makna tertentu. Jadi sains sepatutnya buat seperti itu. Kalau dia asyik mengkaji benda-benda itu sebagai benda sahaja, itu macam orang yang melihat perkataan tadi, yang akhirnya makna buku dan ilmu yang ada pada buku itu tidak mereka dapat.

Soal sains dan simbolisme ini, ada simbol yang jelas, dan ada simbol yang samar. Simbol yang jelas itu misalnya kalau kita hendak pergi ke Johor Bahru tadi, kita tak tahu jalannya. Apabila sampai ke suatu simpang, misalnya Simpang Renggam, di situ ada banyak tanda jalan, menunjuk ke sana ke sini. Apabila saudara tiba di situ, katakanlah waktu malam gelap dan hujan pula, tentulah saudara perlahankan kereta untuk melihat tanda jalan itu, kearah mana yang hendak diikut. Dengan bantuan lampu kereta, saudara pun nampak tanda yang menunjukkan arah ke Johor Bahru, tentulah saudara akan membelok ikut arah yang ditunjukkan oleh tanda itu. Itu maknanya simbol itu jelas. Mengapa jelas? Kerana mudah. Maknanya simbol itu tidak menunjukkan pada dirinya, dia menunjukkan arah ke Johor Bahru. Wujud dia kerana adanya Johor Bahru. Tetapi  bayangkan apa yang akan berlaku kalau simbol ini dibuat daripada marmar, dengan tiang batu yang diukir, di atasnya pula ada patung, dan patung itu mempunyai banyak tangan yang menunjuk ke sana sini, dan jari yang menunjuk itu pula ada cincin berlian dan sebagainya; tulisannya dibuat indah-indah dengan huruf daripada emas. Itu pun simbol juga, dan dia pun menunjukkan arah ke Johor Bahru, tetapi bila saudara sampai di situ saya yakin saudara akan berhenti di situ, di dalam hujan di tengah malam, kerana simbol itu sudah menarik perhatian. Itu simbol yang samar, yang taksa, yang menunjuk kepada dirinya, bukan kepada arah. Alam ini pun begitu juga, ada dua simbol, yang pertama Al-Quran, itu ayat-ayat Tuhan juga, dalam perkataan, jelas. Alam ini pun ayat-ayat juga, tetapi ayat-ayat yang ada di sini taksa. Banyak yang menunjuk pada dirinya. Jadi dia lupa, dia lihat pokok itu cantik, indah, lalu dia pun asyik duduk di situ saja siang malam. Tidak keluar-keluar dari situ. Sains dan teknologi moden buat begitulah.

Soal development pun begitu juga. Kita mesti develop tetapi kita mesti seimbang. Perkara ini sudah 30 tahun saya bercakap. Dulu mereka tidak mahu mendengar ini semua, atau mungkin mereka tidak dapat menangkap maksudnya. Sekarang sekurang-kurangnya Perdana Menteri kita selalu mengatakan bahawa jangan pentingkan soal-soal material sahaja, soal-soal etika dan akhlak pun mesti diperhatikan juga dalam development. Itu bagus. Itu yang kita maksudkan. Kalau sebelah sahaja, ini bukan development. Nanti rosak kita. Sekarang, pergilah sendiri ke negara-negara Barat, apalagi di Amerika, yang dikatakan developed  dalam sains dan teknologi. Tidak ada akhlak langsung. Rosak, hancur, kosong. Jadi sekarang saya menganjurkan juga kepada pemimpin-pemimpin kita, kalau boleh bila menyebut development, jangan disebut yang kita harus maju, develop, develop¸begitu sahaja; nanti orang-orang kita fikir kita ini under-developed atau not developed. Mereka harus juga mengatakan bahawa kita ini sudah develop lebih daripada orang-orang Barat itu dalam hal-hal akhlak. Hanya yang kita maksudkan dengan development sekarang ini ialah dalam sains dan teknologi. Bahkan kita harus mengatakan bahawa negara-negara Barat sekarang ini banyak yang under-developed dalam soal akhlak. Dengan begitu sekurang-kurangnya orang kita berasa, “ Ah, ada juga benda yang kita ini lebih baik daripada mereka.” Bukanlah kita ini tidak ada apa-apa langsung. Bukan? Itu betul. Dalam soal akhlak kita lebih maju. Mereka berkata level of freedom Malaysia itu rendah. Maksud freedom dia itu ialah orang tidak diberi kebebasan untuk berbuat sesuka hati, macam dia. Dia tidak sedar bahawa itu sebenarnya bukan kebebasan. Jadi banyak perkara yang kita kena takrifkan semula. Kita sudah bercakap tentang development, tentang keadilan, sekarang kita bercakap tentang  freedom.  

Sebelum itu, tentang development tadi, apakah Prof setuju yang dari segi teknologi misalnya, kita terus maju dan maju, tidak ada batasnya?

Sains dan teknologi ini kita mesti buat seimbang. Tidak boleh dia jalan sendiri sahaja, kerana semuanya satu. Macam kita katakan tadi hakikatnya kedua-duanya satu. Bukan ada dua hakikat. Falsafah dualisme Barat memang selalu melihat sesuatu itu bermakna dua. Satu yang zahir satu yang batin. Padahal zahir dan batin itu satu, hanya ada dua aspek. Bukan dualisme. Itu satu hakikat, dua aspek. Kita pun satu hakikat dua aspek, satu rohaniah dan satu lagi jasmaniah. Jadi, takkanlah hendak kita lupakan yang satu lagi. Semuanya satu realiti. Kita tidak mengutuk yang jasmaniah, kita tidak mengatakan yang jasmaniah ini bohong dan tidak berguna. Tidak. Yang jasmaniah ini pun hakikat juga. Hanya kita lihat ini satu aspek daripada hakikat, dan ada aspek lain lagi. Kedua-duanya mesti seimbang. Dan kita mesti letakkan masing-masing pada tempatnya, supaya jangan kita jadi keliru, dan akhirnya menempuh kerugian yang amat besar pada diri kita. Mahu tidak mahu pada akhirnya insan akan berfikir tentang dirinya, sebab akhirnya masyarakat dan sebagainya tidak akan dapat juga menempuh semua itu. Tidak ada orang boleh menyelamatkan dia. 

Di barat, oleh kerana fahaman tragedi tadi, mereka sudah suntuk jalan. Ke mana sahaja mereka pergi tak mahu berhenti, tak mahu tenteram, kerana ketenteraman sudah dinafikan, dan dia takut akan ketenteraman. Dengan cara itu dia terfikir-fikir soal nasib diri sendiri. Jadi supaya fikiran itu dihilangkan, fikirnya, lebih baik kita sibuk dalam hal-hal dunia, dan kita anjurkan semua manusia dalam dunia supaya ikut cara kita. Jadi, kita boleh rasa lebih selesa sedikit. Dan apabila semua mengikut, kita katakan bahawa itu universal. Padahal itu bukan universal, itu cuma dibuat-buat. Nilai-nilai yang disebut universal sekarang bermaksud nilai sekular ini, banyak yang tidak universal. Orang Barat yang mendakyahkan begitu. Jadi, harus kita nafikan. Universal bukan begitu maknanya. Universal ertinya sama dianuti oleh semua, dan juga yang absolute; maksudnya yang tidak menempuh perubahan. Tetapi sekular berkata tidak begitu. Dia mengatakan bahawa nilai universal itu ialah yang sama semua, dan yang sama semua ini pun akan berubah di masa depan. Dan perubahan sahaja yang dikatakan sama berlaku di mana-mana, sebab itu dikatakannya universal. Jadi, banyak masalah yang kita hadapi. Sebab itulah apabila kita hendak menubuhkan institut, saya katakan objektif yang pertamanya ialah hendak memberikan takrif-takrif yang betul tentang hal-hal ini, berdasarkan agama kita.

Jadi, kita kembali kepada persoalan freedom. Freedom itu maksudnya kebebasan. Apabila dianalisis perkataan itu, apa makna freedom dalam bahasa Inggeris? Freedom maksudnya keadaan bebas. Bebas daripada apa? Mereka tidak jelas bebas daripada apa. Ertinya, bebas daripada undang-undang yang menyekat kehendak yang natural, misalnya. Maknanya, agama ini semuanya menyekat. Banyak ahli falsafah Barat mengatakan, kerana God maka kita jadi tidak bebas – ini tak boleh, itu tak boleh, ini kena buat, itu kena buat. Jelaslah yang dimaksudkan dengan freedom itu ialah bebas daripada hal dan nilai yang absolute dan final. Mahu ikut cara yang dikatakan natural. Going back to nature itu jadi seperti binatang. Itu yang saya katakan, manusia sudah dijadikan seperti binatang. Sebaliknya, kebebasan itu pada kita bermaksud kebebasan diri yang rohaniah daripada ugutan diri yang jasmaniah. Kita akan mengatakan kita bebas apabila kita dapat mengawal hawa nafsu jasmaniah kita. Tetapi dia berkata tidak. Dia berkata free itu maknanya free mengikut hawa nafsu jasmaniah. Sebab itu dia mengatakan negara kita ini low level freedom

Apa yang patut kita jawab ialah “ya”. Dalam konteks kamu tentulah kamu lihat kami ini low level of freedom, tetapi dalam konteks kami, kami melihat kamu sebenarnya tidak mengamalkan kebebasan, tetapi apa yang kamu buat ialah kezaliman terhadap diri sendiri. ini bukan freedom, sebab itu mereka akan menerima padah dan akibatnya nanti. Mereka bukan tidak sedar ini. Mereka tahu, sebab itu mereka kata oh ini memang nasib manusia begini. Tragedi. Dalam sastera pun mereka sengaja mendakyahkan bahawa memang nasib manusia tidak akan mencapai kesenangan, kesejahteraan, kebahagiaan. Dia hanya menghadapi ranjau sepanjang jalan (nanti Shahnon marah pula). Memang betul nasib manusia begitu, dalam al-Quran juga disebut demikian, tetapi ada jalan keluar. “Innal insaana lafi khus-rin” – sesungguhnya insan ini dalam keadaan rugi habis-habisan. Itulah tragedi. “Illallaziina aamanu wa a’minus saalihaat” – melainkan orang yang beriman dan beramal salih. Maknanya, iman itulah jalan keluar daripada kerugian tersebut. Tetapi mereka menafikan itu, dan mereka memilih jalan tragedi. 

Jadi, kalau saya bercakap fasal rohaniah, tidak bermakna saya duduk diam sahaja, dan tidak develop. Kita mesti ada keseimbangan dan cara-cara yang betul berasaskan agama.Freedom mereka itu tidak boleh kita terima. Kita harus menganalisis semua perkara ini. Kalau tidak nanti kita ikut sahaja semuanya – free, free, free. Dan penulis kita pun menulis tentang freedom. Betul tak? Jadi, ini semua karut. Kita tidak boleh ikut orang-orang itu. Mereka sendiri tahu bahawa mereka tidak ada kesejahteraan dalam hidup. Saudara kalau lama tinggal di Barat, saudara akan tahu – kosong, betul-betul macam tragedi. Sedangkan kita menganggap itu semua natural, bukan problem. Kita faham yang ini hanya sementara. Kita faham ada hakikat kita yang tidak akan mati, dan akan terus menempuh development ataupun evolusi kita di alam rohaniah, bukan di sini. Mereka tukarkan evolusi rohaniah itu ke sini, jadikan sekular. Kerana itulah dia tolak. Dan kerana itu dikatakan kita mesti change, change. Karl Marx yang mengatakan itu, dia berkata, “If you want to make people change, change the environment.” Ini yang mereka buat. Mereka nak paksa orang supaya berubah, mereka ubah keadaan sekelilingnya. Dia buat itu, dia buat ini sehinggakan sekarang, terutama di Amerika, banyak keluarga sudah rosak, sudah hancur. Tidak ada keluarga lagi. Semua orang jadi individu. Masing-masing. Macam binatang. Untuk sementara, beranak begitu begini, apabila sudah besar masing-masing terbang. Masing-masing jadi orang asing. Dan kita pun sekarang sudah mula mengikut cara itu, cara hidup kondominium dan sebagainya. 

Dalam Islam soal keluarga ini tidak boleh hilang, kerana keluarga adalah satu soal yang suci, sacred. Keluarga adalah sebahagian daripada dasar agama, tidak boleh dipecah-pecahkan. Walaupun kita terpaksa hidup di sana sini, tetapi itu jangan rosak. Oleh sebab itu, kita tidak boleh membiarkan orang berbuat sesuka hati, dengan alasan kebebasan. Bebas tidak bermakna you have free sex, free this, free that, everything free, everything equal. No! itu bukan kebebasan. Itu kezaliman. Itu bukan freedom of choice. Dalam Islam istilah yang biasa digunakan sebagai padanan bagi freedom of choice itu ialah “ikhtiar”. Perkataan ikhtiar dalam bahasa Arab berasaskan huruf kha-ya-ra, khair, yang bermakna “baik”. Jadi, ikhtiar tidak bererti freedom of choice. Ertinya yang sebenar ialah freedom of choice for the better – kebebasan memilih yang lebih baik. Kalau kita memilih yang buruk, itu maknanya kita tidak mengamalkan kebebasan memilih. Dan untuk mengamalkan kebebasan memilih kita mesti ada pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang buruk. Kalau tidak bagaimana kita memilih yang baik? Jadi, apabila kita memilih yang baik, itu dikatakan kebebasan. Tetapi kalau kita memilih yang buruk, itu bukanlah kebebasan. Itu zalim. Sebab itu Nabi Adam a.s mengaku, “Innadzalamna anfusana”, kerana dia tidak mengamalkan kebebasan memilih apabila mendengar hasutan iblis, sama ada memilih yang ini atau yang itu. Kerana mendengar hasutan iblis dia telah melanggar perintah Tuhan. Selepas itu dia sedar, dan dia berkata “Innadzalamna anfusana” – sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. itu bukan freedom of choice, itu kezaliman. Tetapi banyak orang berfikir kebebasan itu maknanya memilih satu antara dua, dengan tidak memikirkan yang mana betul dan yang mana salah. Mengamalkan kebebasan ialah memilih jalan yang benar. Memilih jalan yang tidak benar itu sebenarnya kezaliman. Ini mesti dijelaskan.

Kalau saya bertanya kepada saudara sekarang, adakah yang kita bincangkan ini semua sekali bukan perkara yang penting, yang patut kita semua tahu, apalagi sekarang dalam keadaan pesat membuat banyak perubahan dan hendak menuju ke arah memperbaiki keadaan itu. Bukankah ini penting? Bukankah saudara tidak dengar di mana-mana walaupun ada banyak pusat ilmu, pusat agama, dan lainnya? Mereka tidak menyebut perkara ini. Mereka tidak berbincang tentang perkara ini. Mereka tidak sedar bahawa ini perkara asas yang orang patut tahu, dan jangan berkhayal-khayal tulis drama, tulis novel, dan sebagainya tetapi mesej ini semua tidak ada langsung. Sebaliknya mesej dan nilai-nilai kebebasan fahaman Barat itu yang banyak diterapkan. 

Sekarang ini, oleh sebab kesilapan golongan tertentu, misalnya mereka menafikan kebanyakan autoriti melainkan autoriti mereka sahaja; sebaliknya ada autoriti yang diberikan kepada rakyat. Dia tidak sedar bahawa mengikut faham Islam, rakyat tidak ada autoriti, kecuali autoriti untuk memilih pemimpin. Itu memang autoriti rakyat. Tetapi rakyat tidak ada authority berkenaan hal-hal ilmu. Dalam hal-hal ilmu, kita tidak kemukakan kepada rakyat untuk menyelesaikan masalah. Sekarang dibuat begitu. Misalnya suratkhabar, apabila ada masalah dia tanya kepada rakyat, dan siarkan dalam surat khabar, katanya inilah yang rakyat mahu. Dia jadikan rakyat yang buat keputusan apa yang mereka mahu, sedangkan rakyat jelata biasanya tidak mempunyai banyak ilmu, sebab itu mereka buat salah, dan kadang-kadang mereka juga mahukan yang salah, jadi, orang-orang yang berilmu ini ada tugasnya, sekurang-kurangnya memberi nasihat dan bimbingan. Tetapi syaratnya mesti ada autoriti. Kalau autoriti dihapuskan dan disamaratakan semua, jadi tidak ada authoriti; akhirnya rakyat mengambil autoriti, lalu mereka timbulkan macam-macam perkara, tak mahu itu tak mahu ini, mereka mahu itu mahu ini, sehingga akhirnya semua perkara tidak terjawab dengan betul, dan akhirnya jadi masalah. Orang boleh buat apa sahaja yang mereka suka. 

Sebenarnya orang banyak salah faham, mereka fikir kita maksudkan autoriti itu orang tidak boleh menyoal dan sebagainya. bukan itu, tetapi masyarakat harus sedar bahawa ada orang yang mempunyai kelebihan lebih banyak daripada yang lain. Dalam al-Quran pun terdapat banyak ayat yang menerangkan perkara ini. Ertinya mereka harus menghormati dan mengikuti nasihat-nasihat orang berilmu. Mereka tidak harus berkata “Oh, sekarang kita semua sama, kita ada human right, kita semua ada hak masing-masing untuk membuat keputusan”. Saudara hendak didik anak-anak begitu? Nanti dia akan berkata, “Saya ada my own individual right. Sekarang umur saya 18, saya ada hak mengundi. I don’t have to follow you anymore." Bercakap dengan ibu bapa macam itu. Dalam kata lain, inilah yang merosakkan keluarga. Kepupusan autoriti berlaku dalam keluarga, kemudian di peringkat negara berlaku di kalangan rakyat. 

Jadi, sebenarnya masalah kita banyak. Kita baru singkapkan sikit-sikit. Tetapi kalau saudara faham saudara akan sedar betapa perkara ini menyeluruh, dan semuanya kait-mengait. Akar umbi semuanya dalam soal itu, development, freedom, keadilan. Sebab itu saya berharap. Insya-Allah, satu hari nanti kita dapat memberikan public lecture macam ini, dengan harapan ia akan membuat orang berfikir, dan menjadi lebih bertanggungjawab. Fikir dahulu sebelum membuat sesuatu. Dan ini tentu akan menjadi lebih bertanggungjawab. Fikir dahulu sebelum membuat sesuatu. Dan ini tentu akan membawa manfaat. Institut lain tidak ada yang berbuat begini. Mereka sendiri keliru. 

Saya teringat pada kira-kira tahun 1968 begitu, waktu saya menjadi Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya, ada demonstrasi yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa. Pimpinannya bukan Muslim. Demonstrasi itu telah menimbulkan masalah dan saya diminta supaya tolong menyelesaikannya. Masalah itu timbul asal usulnya daripada Fakulti Ekonomi. Suatu hari ada pelajar datang dengan motosikal. Dia meletakkan motosikalnya di tempat parking lot kereta profesor. Apabila profesor itu datang, dia lihat motosikalnya telah disingkir jauh. Dia marah. Dia ambil batu lalu dicalarkannya kereta itu. Apabila profesor keluar dan melihat keretanya begitu, dia marah, siapa yang buat ini? Jadi, akhirnya masalah itu melarat-larat sehingga ramai pelajar jadi marah, sampai mereka buat demonstrasi.

Apabila saya diminta tolong menyelesaikan masalah itu, saya panggil wakil persatuan. Pelajar itu pun datang ke bilik saya. Dia datang itu pun dengan cara yang garang sedikit. Hisap rokok. Saya kata, "Jangan hisap rokok." Dia tak mahu ikut. Akhirnya saya terpaksa jadi macam sarjan mejar, dan dengan gaya perintah saya kata " Stop smoking. Put it down." Dengan cara seperti itu dia terperanjat sikit, dia berhenti merokok. "Sit down." saya perintah lagi. Dia duduk, tetapi dia angkat kaki sebelah. saya kata, "Put your foot down." Dia ikut. Lepas itu saya pun bertanya kepadanya sebab-sebabnya. Dia berkata, "Are we not equal?" Saya mengatakan, "Who told you that we are equal?" Dia berkata, "That's what we are taught."

Jadi ini, yang salah itu siapa? Profesor-profesor itu yang mengajar mereka begitu. Saya diam. Lepas itu saya berkata lagi, "No. We are not all equal. That's all wrong teaching." "Oh, no." jawabnya. "We are all equal. We are all human being ..." dan macam-macam lagi, "So why can't I put my motorcycle there?" Saya katakan, "No, we are not equal. I'll prove it now. Now you take my place, you become the Dean of Art, and let me get your book, I'll attend your lectures. You give my lectures." Dia teragak-agak. saya berkata lagi, "Do it now!" Akhirnya dia berkata, "No Sir, I can't do that." "Ha, therefore we are not equal," kata saya.

Lepas itu saya panggil profesor dan lain-lainnya, saya katakan kepada mereka, Why are you teaching nonsense? Itu semua salah kamu, bukan salah pelajar. Jadi inilah dia, dalam institusi pengajian pun mereka keliru dalam perkara ini. Mereka mengajar macam-macam perkara karut. Dan jangan fikir sekarang sudah tidak ada lagi yang macam itu. Masih, tetap. Secara ikhlas, dalam hal ini kita mempunyai banyak musuh. Kita bukan hendak hentam mereka, kita hendak betulkan. Tetapi ada yang mentafsirkan kita menyerang kedudukan dia. Itu terpulanglah. Jadi, akhirnya kita terpaksa bercakap kepada orang ramai, supaya mereka faham, dan memberi kita peluang meletakkan perkara-perkara pada tempat yang betul. 

Sekarang orang selalu sebut tentang kebangkitan semula Islam. Bagaimana pandangan Prof?


Kebangkitan biasanya mengalami banyak peringkat. Yang sekarang ini saya tidak anggap sebagai kebangkitan. Ini masih dalam keadaan keliru. Macam orang bangun tidur lama. Serupa itulah. Bukan kebangkitan. Sebab kadang-kadang ada macam mengigau. Semua yang kita sebut berdasarkan ilmiah menjadi slogan. Islamization, Islamization, Islamization – slogan. Tak ada makna. Kalau kita tanyakan apa itu Islamization? … hari ini pun dalam suratkhabar saya lihat ada digunakan perkataan itu – Program Islamisasi … Apa itu Islamisasi? Mereka gunakan istilah Islamisasi dengan begitu longgar, jadi slogan. Islamisasi bukan sekadar bentuk luaran, tetapi dari dalam, dan merangkumi banyak perkara lagi. Kalau saudara baca buku Islam and Secularisme kita cuba menjelaskan dan memberikan definisi kepada semua perkara ini. Tidak mudah. Banyak orang tidak memahaminya. Kebangkitan semula … Banyak sangat slogan. Bahkan baru-baru ini mereka berbincang dengan mengenai Malek Bennabi, dengan penerbitan buku dan sebagainya. Padahal apa yang dia kata itu mungkin sudah 30 tahun ketinggalan, tetapi orang masih … Itu menunjukkan orang-orang itu pun sama macam itu fikirannya. Apa yang Malek Bennabi kata? Apanya yang begitu hebat? Jadi, banyak yang dirangkum rambang begitu sahaja. bercampur aduk. Kacau sana kacau sini, jadi tak betul. 

Misalnya mereka suka berkata, “Kita mesti kembali kepada al-Quran”. Itu pun slogan juga. Kalau ditanyai mereka, “Apa yang di dalam al-Quran yang kamu hendak kembali kepadanya? Ayat mana yang kamu maksudkan?’ tidak ada gunanya mengatakan, “Oh, orang Islam akan berubah hanya apabila mereka mengubah diri mereka.” Sudah berapa tahun mereka mengulangi kata-kata itu? Mungkin sudah beratus tahun, sejak bermulanya zaman moden. Tetapi mereka tidak beritahu apa yang hendak ditukarkan itu. Dia berkata “Ubah, kamu mesti ubah diri kamu.” Tetapi apabila kita tanyakan, “Apa yang nak diubah ni? “Oh, ha … begitu begini … Betul tak? Mereka tidak sedar bahawa apa yang kita buat ini sebenarnya memberi definisi kepada perkara-perkara itu – apa benda yang harus di ubah. Apa yang tak berubah dan apa yang harus diubah. Apabila kita kata balik kepada al-Quran, apakah ayat-ayat yang dimaksudkan?

Kita bercakap mengenai ilmu pengetahuan, mengenai epistemologi, psikologi, ini semua sekali banyak, tetapi mereka tak sedar. Susah. Apa yang kita cakapkan kadang-kadang tak difahami dalam zaman sekarang ini, sebab mereka sudah balik 30 tahun dulu. Kemudian ada yang bercakap tentang Muslim colonization, mereka gunakan perkataan colonisability. Orang-orang sains sosial memang biasa membuat istilah-istilah yang mengagumkan, tetapi tidak ada makna, macam Shakespeare kata. “Full of sound and fury, signifying nothing.” Inilah dia. Perkataan panjang yang mereka suka sebut berulang-ulang dalam dewan kuliah akademik. Diulang macam satu penemuan baru. Colonisability mengikut maksud dia itu, orang Islam telah meletakkan keadaan mudah dijajah. Apa itu? Slogan lagi. Itu kita sudah tahu, macam kita tahu kalau makan nasi kamu gunakan tangan. Itu tak perlu apa … itu bukan penemuan besar. 

Apa yang kita mahu tahu ialah orang Islam mudah dijajah? Tentu ada kelemahannya. Dan kita beri jawapannya. Kelemahannya kerana kerosakan ilmunya. Itu bukan jawapan mereka. Tidak ada seorang pun yang berkata begitu, selama seratus tahun lebih itu. Jadi, ahli-ahli sains sosial ini buat istilah baru, colonisability, mereka fikir itu satu penemuan besar. Jadi macam dalam cerita Hans Christian Anderson. Dua orang yang menjadi tukang jahit itu, yang pergi ke satu negeri … mereka itu penipu sebetulnya. Dia sampai dalam negeri itu dia buka kedai, dia letak kaca besar dalam bilik itu, dia buat macam dia sedang menjahit satu macam pakaian indah. Orang pun lihat, tetapi tidak nampak apa-apa. Apabila orang melihat dia diam sahaja, dikatakannya benda ini halus, tidak boleh dilihat dengan mata. Dan orang yang melihat itu hendak mengatakan tidak mahu percaya pun tidak berani, takut dikatakan bodoh pula nanti. Macam orang-orang seniman sekarang ini! Dia lukis begini-begini semua orang kata itu mesti ada makna begitu-begini. Jadi terpaksa mengaku, “Yes, indeed,” sampai kepada raja. Akhirnya ada menteri kata kepada raja, “Tuanku mesti pakai pakaian ini pada hari pertabalan.” Akhirnya ada seorang budak kecil yang menjerit kerana dia melihat raja berjalan tidak pakai baju, telanjang. Barulah orang sedar. Jadi, apakah kita perlu menunggu seorang budak kecil untuk memberitahu kita apa yang hendak buat?


Dalam kebudayaan dan sastera pun kita banyak meniru orang Barat. Saya tidak mengatakan kita jangan buat cara-cara baru atau bentuk-bentuk baru dalam penulisan. Kalau hendak membuat bentuk-bentuk baru pun sekurang-kurangnya mesti berdasarkan sesuatu yang kukuh, yang ada dalam tradisi kita, agama kita, kebudayaan kita, atau dalam tamadun kita. Yang mana yang baik daripada tamadun lain kita ambil, kalau tidak ada pada kita. Yang kekeliruan janganlah kita ambil. Di Barat itu mereka menganggap kehidupan ini absurd. Apatah lagi orang-orang Existentialist. Orang-orang kita pula meniru, dengan tidak memahami. “Aku ini binatang jalang,” katanya. Wah, begitu masyhur. Kamu sudah jadi binatang begitu. Tetapi mengapa kita mesti terima itu? Yang membesar-besarkan Chairil Anwar ini sebenarnya sarjana-sarjana Belanda. Apabila Chairil berkata, “Aku ini binatang jalang.” Mereka mengatakan, “Ha, inilah orangnya yang akhir telah sampai kepada pengalaman seperti kita. Oleh itu, dialah a great man.”

Dengan berkata begitu juga sebenarnya sudah merupakan satu insult kepada Tuhan, yang telah mencipta manusia sebagai makhluk-Nya yang termulia. Kamu mengatakan kamu binatang. Itu tidak menghormati Tuhan. Mereka tidak sedar itu. Sebahagian daripada seniman kita terikut-ikut begitu, dengan tidak sedar. Mereka bukan sahaja tidak tahu tentang agama, bahkan ada yang menyerang agama sendiri. saudara fikir kita akan berdiam diri dalam perkara ini? Kita tak boleh diam. 


Sumber dan kredit kepada :

Rausyanfikir
 Pondok Bicara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan