Rabu, 3 September 2014

PERATURAN ILAHI DALAM MENGENALI HUJJAH ATAU KHALIFAH ALLAH DI MUKA BUMI



BAGAIMANA MEMBEZAKAN PENGKLAIM KEBENARAN DAN KEBATHILAN?


Adakah Allah SWT telak meletakkan peraturanNYA dalam mengenali  pengklaim kebenaran pada setiap zaman iaitu Hujjah Allah SWT ke atas hambaNYA serta Khalifah Allah SWT di muka bumiNYA? Mentaatinya bermakna mentaati Allah SWT. Manakala Ingkar kepadanya bermakna ingkar kepada Allah SWT. Beriman dengannya dan tunduk kepadanya adalah keimanan dan tunduk kepada Allah SWT. Menafikannya serta berpaling daripadanya adalah penafian kepada Allah SWT dan berpaling daripadaNYA.


Adakah Allah SWT terlupa atau dengan sengaja meninggalkan hal ini? sedangkan DIA SWT adalah Penguasa Sebenar dan telah menetapkan setiap sesuatu dengan sebaik-baik ketetapan. Firman Allah SWT di dalam surah Al Ra'd, ayat 8:

"Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung di dalam rahim itu atau yang lebih, dan setiap sesuatu itu ditetapkan di sisiNYA dengan kadar yang tertentu".

DIA SWT juga Maha Mengetahui sebagaimana firmanNYA di dalam surah Saba', ayat 3:

Demi Tuhanku yang Maha Mengetahui segala perkara yang Ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu . Tiada tersembunyi dari pengetahuanNYA barang seberat debu yang ada di langit atau di bumi dan tidak ada yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang lagi nyata".

Jelas sekali bahawa keperluan kebijakan Ilahi dalam meletakkan peraturan bagi mengenali khalifah Allah di muka bumiNYA pada setiap zaman. Peraturan ini juga mestilah telah ditetapkan sejak hari pertama Allah SWT menjadikan khalifah bagi mewakiliNYA di muka bumiNYA ini. Tidak mungkin ianya ditetapkan kemudian iaitu dalam salah satu risalah-risalah terkemudian yang diturunkan dari langit, melainkan telah ditetapkan bersama-sama dengan kewujudan manusia pertama iaitu Adam a.s. Sepertimana keyakinan umum yang tidak menafikan kewujudan Iblis LA sejak hari pertama lagi. Manusia amat memerlukan peraturan ini dalam mengenali pembawa kebenaran Ilahi agar tidak dijadikan alasan untuk tidak mengikuti serta mentaatinya. Mereka mungkin beralasan bahawa tidak mampu membuat perbezaan disebabkan tidak pernah wujud sebarang peraturan Ilahi dalam mengenali khalifah Allah ini. Namun di sana wujud ketetapan yang diyakini oleh semua umat Islam berkaitan dengan peristiwa di hari pertama Allah SWT menjadikan khalifah bagi mewakiliNYA di muka bumiNYA. Ianya adalah seperti berikut:

1) Allah SWT telah menaskan atau memperuntukkan ke atas Adam a.s di hadapan para Malaikat dan juga Iblis bahawa dia adalah khalifah di muka bumiNYA, sebagaimana firmanNYA:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Al-Baqarah:30)

2) Setelah itu, Allah SWT mengajarkan Adam a.s kesemua nama-nama iaitu nama-nama Ketuhanan, sebagaimana firmanNYA:

"Dan Dia telah mengajarkan Adam akan segala nama-nama, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama-nama ini semuanya jika kamu golongan yang benar”. (Al-Baqarah:31)

3)Kemudian Allah mengarahkan mereka yang menyembahNYA pada waktu tersebut iaitu para Malaikat dan Iblis untuk sujud kepada Adam a.s, sepertimana dalam firmanNYA:

“Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanKu) maka hendaklah kamu sujud kepadanya” (Al-Hijr:29),

dan

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin, lalu dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: Pengganti yang mereka pilih itu”. (Al-Kahf:50)

Ketiga-tiga ini adalah peraturan yang ditetapkan Allah SWT dalam mengenali hujahNYA atas umat manusia dan khalifah Allah SWT di muka bumiNYA. Ianya adalah Sunnah Allah (Aturan Allah) yang telah ditetapkan dalam mengenali khalifah Allah sejak dari hari pertama penciptaan Adam a.s lagi. Ianya akan terus berkekalan sehingga pengakhiran dunia iaitu hari Kiamat, sebagaimana firmanNYA:

“Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang berlaku kepada orang-orang yang telah lalu dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu”. (Al-Ahzab:62)

"Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu”. (Al-Fath:23)

PERATURAN ILAHI DALAM PENENTUAN IMAM, KETUA DAN KHALIFAH ALLAH ADALAH BERSESUAIAN DENGAN FUNGSI AKAL YANG SIHAT.


Secara logiknya mana-mana insan yang memiliki kilang, ladang, kapal atau apa sahaja yang melibatkan pekerja yang bekerja untuknya. Hendaklah dia menentukan salah seorang daripada pekerja-pekerjanya untuk menjadi ketua dan dijelaskan namanya agar tidak berlaku anarki. Perlantikan ini juga perlu ditetapkan pada orang yang paling tahu dan berkelebihan, serta diarahkan semua pekerja agar mentaati ketua tersebut dalam melaksanakan apa yang diinginkannya. Kegagalan pemilik untuk berbuat demikian pasti akan mengakibatkan impiannya hancur musnah kerana ketiga-tiga aspek ini menggambarkan kebijakan seseorang. Oleh itu, sekiranya kita berkeyakinan bahawa kesemua aspek ini adalah keperluan bagi manusia yang bergelar pemilik, bagaimana pula kita mengharuskan salah satu dari tiga aspek ini ditinggalkan Allah SWT, sedangkan DIA SWT adalah Pemilik dan Penguasa mutlak buat semesta alam ini?

Pebagai contoh pemilik bot, kilang, ladang atau apa sahaja yang memerlukan sekumpulan orang yang bekerja untuknya, bukankah dimestikan padanya untuk menentukan kapten botnya, pengarah kilangnya atau ketua bagi mereka? Jika dia meninggalkan perkara tersebut sehingga menyebabkan tenggelamnya bot atau musnahnya kilang atau berlaku sesuatu yang berbahaya, maka sudah tentu pemilik itu dianggap bodoh atau tidak bijak.

Tetapi setelah ditetapkan kapten bot, pengarah kilang atau ketua dan ternyata bukanlah yang paling berkebolehan dalam bidangnya. Ini pasti mengakibatkan kekurangan dalam produksi kilang atau berlakunya sesuatu yang menyebabkan bahaya tertentu seperti tenggelamnya bot disebabkan kejahilan ketua ini dalam mengendalikan prosedur-prosedur dan operasi berkaitan botnya. Sudah tentu pemiliknya akan dopersalahkan dan dicop sebagai bodoh atau tidak bijak. Ianya adalah satu kemestian dan keperluan untuk memilih yang paling tahu di kalangan pekerjanya atau melengkapkannya dengan ilmu sepatutnya agar berkelayakan dan berkemampuan dalam memimpin bot untuk kembali semula ke darat dengan aman dan mengoperasikan kilang sehingga memperolehi produksi terbaik.

Setelah itu, pemilik tersebut perlu mengarahkan pekerja-pekerjanya untuk mematuhi orang yang dilantiknya itu. Jika tidak ianya akan menyebabkan pekerja-pekerjanya bertindak sesuka hati mereka setelah tidak diarahkan untuk berbuat demikian?. Bila berlakunya anarki, maka sudah tentulah pemiliknya akan dianggap sebagai kurang bijak atau bodoh kerana tiada faedahnya menetapkan kepimpinan atau ketua yang berkelayakan, sekiranya tidak diarahkan mentaatinya. Tidak akan ada orang yang berakal lagi bijaksana akan berpendapat selain daripada ini iaitu wajib ditentukan ketua yang mempunyai ilmu atau kepandaian yang mencukupi serta diwajibkan untuk mematuhi arahannya.

Ini semua dibuktikan di dalam Al-Quran bilamana Allah SWT menetapkan peraturan ini bersama-sama dengan penentuan Adam a.s sebagai khalifah Allah yang pertama di atas muka bumiNYA. Ini adalah peraturan dalam mengenali khalifah Allah atau hujahNYA ke atas hamba-hambaNYA, sekaligus peraturan dalam mengenal Allah SWT kerana dengan mengenali khalifah Allah ini, maka akan dikenali Allah SWT. Peraturan Ilahi ini disebutkan dalam firmanNYA seperti berikut:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Al-Baqarah:30)

"“Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”. (Al-Baqarah:31)

“Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanKu) maka hendaklah kamu sujud kepadanya”. (Al-Hijr:29)

Malahan terdapat banyak teks di dalam kitab Taurat dan Injil yang menerangkan hal yang serupa iaitu peraturan dalam mengenali khalifah Allah atau peraturan dalam mengenal Allah SWT, sepertimana yang telah diterangkan.

Persoalannya, siapakah pemegang wasiat (Wassiy) Rasulullah SAWA? siapakah orang yang paling alim selepas Rasulullah SAWA? Siapakah yang diarahkan oleh Rasulullah SAWA dengan perintah Allah SWT supaya ditaati selepasnya? Peribadi yang melengkapi ketiga-tiga peraturan Ilahi ini mestilah wujud pada setiap zaman. Jika ada yang mengatakan ianya tidak wujud, maka dia telah menuduh Allah SWT sebagai tidak bijaksana? Siapakah yang ingin berkata sedemikian? Soalan ini hendaklah dijawab dengan hati yang insaf dalam mencari kebenaran.

Di samping itu, jika kita renungi mereka yang menolak untuk tunduk kepada perintah Allah SWT, tidak menerima kewujudan perantara antaranya dan Allah SWT, dan membantah untuk menjadikan Adam a.s sebagai kiblatnya kepada Allah SWT adalah Iblis Laknatullah (Tawoos al-Malaikah) sejak dari mula lagi. Ya, diulang sekali lagi bahawa yang membantah untuk sujud kepada Adam a.s adalah Tawoos Al-Malaikah iaitu yang paling alim dan paling banyak ibadahnya kepada Allah SWT di kalangan Malaikat. Seharusnya kita mengambil iktibar dan bertadabbur dalam dalam menjawab persoalan yang telahpun disebutkan Allah SWT dalam firmanNYA:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin, lalu dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: Pengganti yang mereka pilih itu”. (Al-Kahf:50)

PERINCIAN PERATURAN ILAHI BAGI MENGENAL KHALIFAH ALLAH


Peruntukan Ilahi ke atas Adam a.s berevolusi ke dalam bentuk wasiat disebabkan wujudnya khalifah terdahulu bilamana dinaskan atau diperuntukkan ke atas orang selepasnya dengan perintah Allah SWT berdasarkan kewajipannya sebagai khalifah Allah di muka bumiNYA, sebagaimana yang difirmankan:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (Al-Nisa’:58)

Tujuan Allah SWT mengajarkan Adam a.s nama-nama tersebut adalah untuk mengenalkannya akan hakikat sebenar nama-nama ketuhanan, memperelokkan dia dengannya dan memanifestasikannya pada dirinya sebelum bergelar khalifah Allah di muka bumiNYA. Maka tindakan Adam a.s menerangkan kepada para Malaikat nama-nama tersebut adalah untuk mengenalkan mereka akan hakikat sebenar nama-nama ketuhanan, yang mana diciptakan mereka daripadaNya. Oleh itu Allah SWT mengenalkan Adam a.s akan kesemua Nama-nama ketuhanan bersesuaian dengan kedudukannya sebagai khalifah Allah. Adapun di kalangan Malaikat tiada satu pun yang tahu melainkan hanya satu atau beberapa nama yang diciptakan mereka daripadaNya. Dengan ilmu dan hikmah ini, maka terbuktilah hujah Adam a.s sebagai khalifah Allah SWT ke atas para Malaikat.

Perkara ketiga di dalam peraturan Ilahi ini ialah arahan Allah SWT kepada para Malaikat dan Iblis untuk sujud kepada Adam a.s. Ini bagi mempraktikkan perbuatan yang perlu dilakukan oleh khalifah Allah selaku individu yang diamanahkan khilafah padanya. Ianya juga bagi mempraktikkan peranan yang perlu dimainkan oleh ejen-ejen (Malaikat) Allah SWT selaku pekerja dan penuntut di sisi khalifah Adam a.s. Sekaligus menetapkan bahawa Ketuanan dan Kekuasaan Allah SWT di atas muka bumiNYA hanya dapat direalisasikan dengan mentaati khalifah Allah di muka bumiNYA. Hal yang sama juga berlaku pada semua Rasul termasuk Nabi Muhammad SAWA, di mana mereka a.s membawa panji yang sama iaitu kepatuhan (Bai’ah) hanya kepada Allah atau Ketuanan dan Kekuasaan hanya untuk Allah SWT. Kesemua mereka a.s berhadapan dengan tentangan orang-orang yang ingin mengekalkan status quo iaitu Ketuanan Manusia dan sekaligus menolak Ketuanan dan Kekuasaan Allah SWT, sehinggakan mereka a.s sentiasa dicurigai disebabkan tuntutan dan pertentangan ini. Isa a.s dikatakan datang untuk menuntut pemerintahan Bani Israel, sepertimana yang dituduhkan musyrikin Quraysh kepada Nabi Muhammad SAWA : “bukan Syurga dan bukan Neraka tetapi kekuasaan yang diinginkanya” atau dengan kata lain Muhammad SAWA diutuskan untuk menuntut kekuasaan bagi diri dan keluarganya. Tuduhan yang sama juga dilemparkan kepada Ali a.s sebagai gilakan takhta kekuasaan.

Namun bagi pengkaji-pengkaji sirah, realiti sebenar yang berlaku adalah sebaliknya kerana penolakan mereka a.s terhadap dunia serta segala perhiasan yang ada di dalamnya samada berupa harta benda atau pangkat kekuasaan adalah amat nyata sekali. Mereka a.s hanya melaksanakan perintah Allah SWT supaya menuntut pengembalian Ketuanan dan Kekuasaan Allah SWT di muka bumiNYA. Malah mereka a.s mengetahui bahawa manusia tidak akan sekali-kali menyerahkan kekuasaan tersebut kerana akan ditentang dengan cara diperlekeh, dihina, dikeji, cubaan bunuh dan dipenjarakan. Inilah yang berlaku kepada pengganti serupa Isa a.s bilamana dipakaikan mahkota duri dan diperlekehkan sebelum dia disalib. Hal sedemikian juga berlaku kepada Ali a.s bilamana dipecahkan pintu rumahnya sehingga menyebabkan remuk tulang rusuk isterinya Fatimah a.s, serta diheret keluar secara paksa sedang pedang-pedang berkilauan di mukanya. Musa ibnu Jaafar Al-Kadhim a.s juga dipenjarakan sehingga maut bilamana dia a.s menetapkan sempadan Fadak sebagai Kekuasaan dan khilafah Allah di muka bumiNYA.

Beginilah tanggapan tipikal orang-orang jahil yang sentiasa beranggapan bahawa tuntutan empunya sebenar kekuasaan Ilahi sebagai alasan untuk menjatuhkan mereka, sambil meneriakkan di muka empunyanya bahawa kedatangannya untuk menuntut kekuasaan bagi kepentingan dirinya sendiri. Realiti sebenarnya bukan itu yang diinginkan oleh khalifah Allah ini dalam menuntut kekuasaan dunia, kerana dia sedia maklum bahawa tuntutannya ini akan menjadi sebab utama kehormatannya dicela dan diperlekehkan serta bakal ditentang hebat oleh mereka yang jahil ini. Malahan mereka yang jahil ini akan menggunakan cara yang biasa digunakan oleh kebanyakan manusia iaitu jalan tipu daya dan pemalsuan atau pembunuhan dan ancaman ketakutan untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Ini terbukti bilamana Ali a.s menuntut kekuasaan dan berkata “aku adalah pemegang wasiat Rasulullah SAWA dan aku adalah khalifah Allah di muka bumiNYA”, Namun realiti sebaliknya yang berlaku iaitu Abu Bakar bin Quhafah yang mendapat kekuasaan duniawi, yang kemudiannya berkata “perbetulkanlah aku kerana aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu”. Dalam situasi ini, Adakah Ali a.s yang tamakkan dunia atau Abu Bakar yang zuhud akan kekuasaan dunia? Sedangkan Abu Bakarlah yang mengingkari hak Ali a.s sebagai khalifah Allah dan mengingkari wasiat Rasulullah SAWA kerana berkehendakkan kekuasaan dunia? Apakah rasional kamu???

Secara khususnya wasiat didatangkan bersama-sama dengan pemegang-pemegang wasiat (Awsiya’) a.s sebagai menguatkan tuntutan mereka a.s di masa yang paling sukar. Sebagai contoh Hussain a.s dalam peristiwa karbala berkata kepada mereka yang memeranginya: ”carilah di muka bumi ini orang yang paling hampir dengan Muhammad SAWA nescaya kamu tidak akan menjumpainya selain aku” (انا سبط محمد الوحيد على هذه الأرض). Seterusnya Hussain a.s menguatkan tuntutannya dengan wasiat dan nas Ilahi:

“Satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui” (Ali-Imran:34).

Mereka yang memahami ayat ini akan cepat mengetahui bahawa Hussain a.s hendak memberitahu tentang wasiat yang ada berserta dengannya a.s kerana dia a.s adalah satu-satunya zuriat yang diamanahkan khilafah dan masih hidup.

PERATURAN ILAHI DI ZAMAN KEMUNCULAN IMAM MAHDI A.S


Setelah kita mengetahui kewujudan peraturan Ilahi dalam mengenali Khalifah Allah di muka bumiNYA sepertimana yang disebutkan di dalam Al-Quran dan juga ditunjukkan oleh para Nabi dan Rasul Alaihimussalam. Maka perlulah kita memanfaat dan beramal dengan peraturan Ilahi di zaman kemunculan yang suci ini iaitu zaman Yusuf keluarga Muhammad kerana mereka yang tidak mempraktikkan peraturan ini adalah terdiri daripada pengikut-pengikut Iblis LA sepertimana yang diterangkan sebelum ini. Di dalam kitab injil juga diterangkan tentang Nabi Isa a.s telah menguatkan dakwaannya bahawa Nabi-nabi terdahulu di kalangan Bani Israel telah menyebutkannya, memberi khabar gembira tentangnya dan berwasiat tentangnya dan disebut namanya dalam kitab Taurat. Dia a.s datang untuk mengajarkan Al-kitab dan hikmah sambil menegakkan panji Ketaatan kepada Allah dan menuntut kekuasaan dan ketuanan Allah SWT di atas muka bumiNYA.

Begitu juga terdapat banyak riwayat di kalangan Ahli keluarga Muhammad (Aali Muhammad) a.s yang menyokong fakta berkaitan dengan peraturan Ilahi ini supaya pendokong-pendokong (Syiah) mereka tidak tersesat. Tetapi amat malang sekali kerana mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pendokong-pendokong Ahlulbayt a.s di akhir zaman memilih untuk mengingkari dan menentang riwayat-riwayat ini dan juga Al-Quran yang mulia. Seterusnya mengikuti jejak langkah Ulamak Pasif (Ghayru Amilin) yang menyesatkan mereka serta mencampuradukkan yang hak dengan yang bathil sehingga mereka gagal untuk kembali kepada peraturan Ilahi dalam mengenali hujah Allah dan khalifahNYA. Peraturan Ilahi ini juga adalah merupakan ujian Allah SWT ke atas umat manusia keseluruhannya sepertimana terdapat dalam Al-Quran dan telah diterangkan sebelum ini. Semoga mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pendokong-pendokong Ahlulbayt (Syiah ahlulbayt) dan juga penganut-penganut agama yang lainnya dapat memberi perhatian kepada peraturan Ilahi ini dan seterusnya dapat menyelamatkan diri mereka dari siksa api neraka.

Oleh itu, sekiranya datang pemilik kebenaran Ilahi iatu pemegang wasiat dan pembawa berita gembira yang dikhabarkan oleh para Nabi Allah dan juga rasul-rasul terdahulu, maka akan diketahui peribadi tersebut melalui tiga perkara ini:

1. Wasiat:

Iaitu orang yang terdahulu mewasiatkannya dan mencirikannya dengan nama, sifat dan tempat tinggalnya sepertimana wasiat kerasulan Muhammad SAWA daripada nabi-nabi yang terdahulu tentang namanya, sifatnya, tunggangannya iaitu unta dan juga tempat tinggalnya iaitu Faran atau Mekah dan di sekitarnya (Arafat). Begitu juga banyak riwayat yang menunjukkan wujudnya pemegang wasiat di akhir zaman iaitu Mahdi pertama atau Al-Yamani lengkap dengan namanya, sifatnya, tunggangannya dan juga tempat tinggalnya.

2. Ilmu dan Hikmah

Sebagaimana Rasulullah SAWA diutuskan dengan ilmu dan kebijakan, begitulah juga halnya dengan pemegang wasiat di akhir zaman tersebut. firman Allah SWT:

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah, dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Al-Jumu’ah: 2)

Rasul dalam ayat di atas adalah ditujukan kepada Muhammad bin Abdullah SAWA yang diutuskan di permulaan umat ini, setelah itu Allah berfirman lagi: “Dan juga yang lain dari mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka; dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Al-Jumu’ah:3)

Rasul yang dimaksudkan dengan (وأخرين منهم) iaitu “yang lain dari mereka” adalah Mahdi pertama daripada anak Imam Mahdi Muhammad bin Hassan Al-Askari a.s, yang juga utusannya. Diajarkan juga kepada mereka Al-Kitab dan hikmah sebagaimana Rasulullah SAWA. Nama baginda SAWA di langit adalah Ahmad, manakala Mahdi pertama namanya di dunia adalah Ahmad dan namanya di langit adalah Muhammad. Dia a.s adalah gambaran kepada Rasulullah SAWA iaitu diutuskan sepertimana diutuskan Muhammad SAWA, dan melalui jalan dakwah sepertimana dilalui Muhammad SAWA. Di sana pasti akan wujudnya Quraysh serta pemimpin-pemimpinnya, ummul Qura (Mekah), hijrah, Madinah dan setiap perkara yang mengiringi dakwah Rasulullah SAWA. Cuma situasinya sahaja yang berbeza manakala prinsip utamanya adalah sama.

3. Tuntutan Ketuanan dan Kekuasaan Allah

Empunya kebenaran Ilahi atau pemegang wasiat ini mestilah merealisasikan kebijakan dan ilmu pengetahuannya dalam segenap segi realiti kehidupan seharian. Syukur kepada Ilahi kerana dengan kurniaNYA telah terbukti bahawa kesemua “ulama pasif” (ulama’ ghayru amilin) mengajak kepada ketuanan manusia melalui pilihanraya, syura dan saqifah di akhir zaman. Melainkan pemegang wasiat sebenar yang sentiasa mengajak kepada Ketuanan dan Kekuasaan Allah SWT, serta tidak pernah lari dari jalan yang diterangkan oleh Muhammad SAWA dan Ahlulbaytnya alaihimussalam. Ianya adalah jalan yang ditetapkan Allah SWT untuk mendaulatkan panji Rasulullah SAWA iaitu Ketaatan kepada Allah (bai’ah kepada Allah).

Mereka yang selainnya telah bertindak mendaulatkan panji pilihanraya dan ketuanan manusia iaitu dengan jalan ketaatan kepada Taghut dan memenuhi kehendak-kehendak mereka. Malahan mereka mengajak manusia berbondong-bondong menyertainya dan memperdayakan orang-orang yang jahil tentang akidah sebenar yang diredhai oleh Allah SWT, sedangkan Ahlulbayt a.s telah memperjelaskan perkara ini dengan terang lagi nyata. Sebaik-baik contoh adalah darah Imam Hussain a.s di Karbala dan ucapan Fatimah a.s ketikamana umat Islam Madinah mengenepikan khilafah Ali a.s sebagai pemegang wasiat dan khalifah sebenar Rasulullah SAWA:

“Wahai ummat manusia yang bergegas ke arah ucapan batil, yang diam dan rela atas tindakan keji dan merugi. Apakah kalian tidak merenungkan Al-quran atau ada tembok di hati kalian?. Tidak demikian yang sesungguhnya, melainkan perbuatan buruk kalian telah mengalahkan hati kalian. Maka dia telah merampas telinga dan mata kalian. Sejelek-jelek penakwilan adalah penakwilan kalian. Seburuk-buruknya ganti adalah kebatilan yang kalian jadikan sebagai ganti dari kebenaran. Demi Allah sesungguhnya kalian akan menerima beban yang berat dan akibat yang dahsyat (di hari kiamat nanti). Ketika tabir telah terungkap bagi kalian dan tampak bagi kalian sesuatu yang di belakangnya adalah kesulitan. Dan tampak bagi kalian, dari Tuhan kalian, sesuatu yang tidak kalian sangka-sangka sebelumnya, dan di sanalah pengikut-pengikut kebatilan akan merugi”. Kitab Ma’ani Al-Akhbar, Syeikh Al-Sadduq, ms 355.

Pada hari ini, mereka menyedari bahawa diri mereka telah mengikuti dan mengambil jalan orang-orang yang telah terlebih dahulu sesat. Apakah realiti yang kamu hadapi sekarang ini azab dari Allah SWT atau tidak? Jauh di lubuk hati kamu mengakui bahawa ini adalah azab dari Allah SWT tetapi kamu takut untuk mengakuinya dengan lidah kamu bahawa Ahmad Al-Hassan adalah utusan Imam Mahdi a.s. Ini adalah risalah Ketuhanan sepertimana firman Allah SWt:

“dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul” (Al-Isra’:15).

MUKJIZAT SEBAGAI MEDIUM KEIMANAN?

Mukjizat kebendaan tidak mungkin menjadi medium untuk berimannya manusia kepada Allah SWT, malahan Allah SWT tidak meredhai keimanan berasaskan kebendaan semata-mata seperti ini. Sekiranya Allah SWT menerima iman sebegini, sudah pasti diterimaNYA keimanan Firaun setelah melihat Mukjizat kebendaan yang tidak dapat disangkal lagi iaitu melihat terbelahnya laut sambil menyentuh tembok laut yang tinggi dengan tangannya sendiri, seraya berkata:

“Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)” (Yunus:90) .

Namun begitu Allah SWT tidak meredhai keimanan sebegini dan berfirman lagi:

“Adakah sekarang (baru engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?” (Yunus:91).

Seterusnya Allah SWT membiarkan badan Firaun tidak luput agar manusia di kemudian hari berfikir, firmanNYA lagi:

“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami! (Yunus:92).

Amat malang sekali kerana hanya sedikit dari kalangan manusia yang mengambil pengajaran dari ayat dan peristiwa ini. Begitulah mukjizat tidak mungkin dapat membuatkan manusia beriman sepertimana yang mereka kehendaki, kecuali berimannya manusia dengan berat hati kerana dipaksa untuk menerima sesuatu yang hebat setelah tidak mampu berhadapan dengannya. Keislaman sebegini hanyalah Islam pada mata kasar dan bukannya Islam dalam ertikata tunduk kepada yang tidak Nampak (Ghaib) iaitu Allah SWT. Mereka yang bertadabbur dengan kisah para Nabi a.s akan mendapati bahawa mereka a.s didatangkan dengan perkaran yang sama iaitu kesamaan yang tersebar luas di zaman mereka a.s. Musa a.s diberikan tongkat yang boleh menjadi ular besar di zaman yang terdapat banyaknya ahli sihir yang menukarkan tongkat menjadi ular bagi memukau pandangan orang ramai. Begitu juga Isa a.s diberikan mukjizat dapat menyembuhkan penyakit ketikamana tersebar luasnya perubatan di zamannya. Nabi Muhammad SAWA juga diberikan mukjizat Al-Quran ketikamana umat Arab mengagung-agungkan sajak dan syair. Hal sedemikian berlaku adalah untuk kesamaran (اللبس), sebagaimana firmanNYA: “Dan kalau Kami jadikannya malaikat (sebagai Rasul), tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran” (Al-An’aam:9). Kesamaran ini adalah bagi memberi ruang kepada mereka yang tidak beriman dengan perkara ghaib agar dapat mentafsir dan seterusnya beriman dengan perkara ghaib. Jika tidak, keimanan mereka hanya berdasarkan kebendaan semata-mata dan bukanlah keimanan dan keislaman sebenar yang diterima oleh Allah SWT, sepertimana dalam firmanNYA:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Pada hari pembukaan itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)” (Al-Sajdah:29).

Kesimpulannya, kesempurnaan Iman itu adalah beriman dengan perkara Ghaib seratus peratus sepertimana keimanan para Nabi dan Awsiya’ alaihimussalam. Tiap kali keimanan itu bercampur aduk dengan tanda, isyarat, karamah ataupun mukjizat kebendaan ianya adalah keimanan yang paling rendah dan tiada nilainya di sisi Allah SWT. Keimanan dan keislaman yang hanya berdasarkan kekuatan serta kesempurnaan mukjizat semata-mata adalah tidak diterima sepertimana tertolaknya keimanan dan keislaman Firaun. Ini kerana keimanan sebegini adalah seratus peratus keimanan kebendaan, sedangkan Allah SWT menggambarkan bahawa orang-orang beriman itu adalah orang yang beriman dengan perkara-perkara Ghaib:

“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”. (Al-Baqarah:3)

“Iaitu mereka yang takut Tuhannya dengan beriman kepada perkara Ghaib dan mereka pula gerun cemas akan hari kiamat”. (Al-Anbiya’:49)

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada mereka yang takut akan Tuhan mereka dengan beriman kepada perkara Ghaib, serta mereka mendirikan sembahyang dan sesiapa yang membersihkan dirinya maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali”. (Al-Fathir:18)

“Sesungguhnya peringatan dan amaran hanyalah kepada orang menurut Al-Quran serta ia takut Ar-Rahman dengan beriman kepada perkara-perkara Ghaib. Oleh itu berilah kepadanya berita yang menggembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia”. (Yaseen:11)

“Orang yang takut akan Al-Rahman dengan beriman kepada perkara-perkara Ghaib serta dia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat”. (Qaf:33)

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang menolongNYA serta Rasul-rasulNYA dengan beriman kepada perkara-perkara Ghaib, sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”. (Al Hadid: 25)

“Sesungguhnya orang-orang yang takut akan Tuhannya dengan beriman kepada perkara-perkara ghaib, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar”. (Al-Mulk:12)

Terjemahan bebas

Sumber: http://ar.al-mehdyoon.org/adela/adela/9anoun.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan