Jumaat, 18 Januari 2019

ALAM, ALAMAT, AYAT, ILMU, HUDA DAN IMAM MAHDI



ALAM, ALAMAT, AYAT, ILMU, HUDA DAN IMAM MAHDI  

Salam Jumaat.

1. Tulisan ini adalah tulisan santai yang sedikit berat berkaitan Imam Mahdi dengan menggunakan makna perkataan-perkataan arab-melayu sebagai inti.

2. Perkataan Alam, Alamat, Ayat dan Ilmu berasal dari perkataan arab yang mempunyai erti yang saling berkait antara satu sama lain mengenai pengetahuan dan kefahaman ilmu. Harus diingat bahawa setiap Khalifah Allah daripada Para Nabi dan Rasul hingga Imam Mahdi diutuskan Allah berbekalkan Ilmu dariNya.

3. Perkataan Huda dan Mahdi pula saling terkait merujuk kepada erti ‘petunjuk’ dan ‘yang mendapat petunjuk’. Sudah pasti orang yang mendapat petunjuk adalah orang yang berilmu.

4. Alam = semua benda yang ada di alam ini sama ada yang boleh dilihat dan di rasai secara fizikal mahupun alam ghaib yang lebih tinggi seperti alam roh dan Alam Akhirat

5. Alamat = ia adalah tanda yang menunjuk kepada kedudukan sesuatu atau sesuatu peristiwa

6. Ayat = ia adalah tanda yang bergabung dan terangkum  dalam susunan tertentu  lalu menjadi sesuatu yang diketahui dan boleh difahami lalu menjadikan seseorang yang memerhati itu menjadi tahu tentang tanda-tanda yang ditunjukkan kepadanya  

7. Ilmu = merupakan pengetahuan yang dapat memberi erti dan makna kepada yang memerhati atau yang mempelajari. Apabila dikatakan seseorang itu berilmu, maka juga bermakna seseorang itu telah mengalami proses “ketibaan diri kepada makna dan ketibaan makna kepada diri’

8. Huda = Perkataan yang arab yang bererti petunjuk

9. Mahdi = perkataan arab yang berasal dari akar kata Huda yang bererti seorang yang mendapat petunjuk. 

10. Imam Mahdi adalah seorang lelaki dari keturunan Rasulullah yang mendapat petunjuk yang lahir di akhir zaman sebagai penyelamat manusia. Ada banyak Hadis berkaitan imam Mahd yang boleh kita semak dan bicarakan dalam tulisan lain. Namun cukuplah hadis berikut untuk kita bicarakan tentang Imam Mahdi buat permulaan ini.

11. Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a. dalam sebuah hadis bahwa, Nabi Muhammad SAW bersabda : “Seandainya tidak tersisa dari dunia kecuali satu hari, maka Allah akan memanjangkan hari itu sampai Dia mengutus seorang lelaki dariku atau dari baitku yang namanya menyerupai namaku dan nama ayahnya menyerupai nama ayahku, ia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana sebelumnya telah dipenuhi kezaliman dan kecurangan.” (HR.Abu Dawud dan Ath-Thabrani)

12. Berdasarkan hadis di atas, Allah menyatakan bahawa Dia akan memanjangkan usia dunia (alam ini) demi memberi kesempatan kepada seorang lelaki dari keturunan Rasulullah menyebarkan keadilan. Wah, begitu penting sekali perkara imam Mahdi ini sehingga kiamat dilambatkan bagi memberi laluan kepada Imam Mahdi.

13. Jika Allah memberikan masa tambahan supaya terjadinya urusan Imam Mahdi, maka mengapa tidak kita meluangkan sedikit masa mengkaji tentang imam  Mahdi? 

14. Ramai yang membicarakan serta mem’viral’kan tentang kejadian alam di akhir zaman seperti padang pasir arab bertukar hijau, bencana alam, perang, LGBT, dan wabak penyakit sebagai tanda hampir kiamat. Namun sayangnya sedikit yang memberikan perhatian tentang kedatangan Imam Mahdi sedangkan Imam Mahdi itu adalah manusia yang diciptakan tuhan yang menjadi tanda penting akhir zaman.

15. Mengapa perlu mengimani kejadian akhir zaman? Kerana kejadian akhir zaman banyak dikhabarkan oleh nabi melalui hadis dan juga dikhabarkan melalui kitab-kitab terdahulu. Bahkan agama hindu dan budha juga ada menyentuh tentang fenomena akhir zaman. Kerana kejadian akhir zaman adalah fasa peralihan dan sebagian daripada hari kiamat.

16. Kita tentu sahaja boleh membicarakan tentang kejadian dan perisitiwa yang berlaku pada alam semula jadi sebagai tanda akhir zaman namun itu tidak mencukupi seandainya  tidak diberikan perhatian kepada Imam Mahdi sebagai tanda paling penting. Semua tanda-tanda ini perlu diperhatikan secara bersekali namun masing-masing perlulah diletakkan pada tempatnya mengikut keutamaan dengan menjadikan Imam Mahdi sebagai fokus utama manakala kejadian yang lain sebagai tanda-tanda sokongon dalam kita mengimani kejadian akhir zaman. 

17. Mengapa Imam Mahdi? Kerana Imam Mahdi adalah tanda dan bahasa alam dari jenis manusia yang lebih dekat dan mudah untuk difahami oleh kita sebagai tanda atau ayat Allah berbanding bahasa alam yang ada pada haiwan, tumbuhan, bumi, planet-planet, bintang-bintang dan matahari. Kerana Imam Mahdi menyampaikan mesej petunjuk dan dakwah  seperti yang telah dilakukan oleh Khalifah Allah terdahulu dari kalangan para nabi, rasul dan wasi untuk meninggikan kalimah tauhid. Maka sudah pasti Imam Mahdi akan berbicara, berhujjah dan menyusun ayat perkataan dalam bentuk tulisan dan percakapan yang dapat difahami untuk membimbing manusia lain sesuai dengan zamannya.

18. Jangan jadi seperti orang Yahudi terdahulu yang mengetahui dan meyakini banyak tanda-tanda tentang kedatangan Utusan Khalifah Allah nabi terdahulu. Namun apabila didatangkan seruan dengan hujjah percakapan dan tulisan, lalu mereka menolak dan mendustakannya dan meminta-minta mukjizat. Dan yang terkedapan dalam menentang utusan Allah adalah dari golongan pembesar dan ulama-ulama yang mengetahui isi kitab.

19. Ya, saya tahu ada yang meragui kedatangan Imam Mahdi kerana telah banyak Imam Mahdi palsu yang mendakwa dirinya. Namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mempercayai kedatangan imam Mahdi kerana peraturan mengenal setiap Khalifah Utusan Allah telah Allah tetapkan di hari pertama Nabi Adam diciptakan. Saya akan diskusi perkara ini di lain masa, In Sha Allah.

20. Soalnya apakah kita sudah bersedia untuk mendengar, mengkaji dan meniliti hujjah tentang kedatangan Khalifah Allah Al Mahdi? Semoga kita semua diberi petunjuk olehNya

Jumaat, 18 Januari 2019

Tiada ulasan:

Catat Ulasan