Ahad, 27 November 2011

HIJRAH - SANGGUPKAH KITA MENEMPUH JALAN ITU?





Assalamualaikum Warahmatullah

Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Maal Hijrah  merupakan salah satu peristiwa besar di dalam sejarah Islam. Namun sejauh manakah kita menghayati peristiwa yang besar ini dan terapkan di dalam kehidupan kita seharian?


Ada dua keadaan yang perlu diperhatikan ke atas peristiwa Hijrah ini yang melibatkan golongan Muhajirin dan Ansar.


Yang pertama
Berhijrah dari atau meninggalkan suatu keadaan dan tempat ke arah suatu keadaan dan tempat yang lain dan lebih baik. Itulah tindakan yang dilakukan oleh orang-orang Muhajirin


Yang Kedua:
Kekal diam dan menunggu di suatu tempat serta sanggup memberi kepada orang lain dan menerima orang yang datang berhajat. Itulah tindakan yang dilakukan oleh orang-orang Ansar.


Perhatikanlah wahai saudaraku! Perhatikanlah apa yang telah dilakukan oleh orang-orang terdahulu dari kalangan Muhajirin dan Ansar! Kedua-duanya menempuh jalan sukar demi keredhaan Allah dan Rasul-Nya




Atas keyakinan dan iman yang teguh
kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi menegakkan Islam tercinta



Tauladan yang boleh kita pelajari dari golongan Muhajirin dan Ansar

Mereka golongan Muhajirin sanggup meninggalkan Mekah dan kaum kerabat serta segala kekayaan yang dimiliki semata-mata mengikut nabi demi menyelamatkan iman dan akidah mereka. Golongan Muhajirin ini sudah tentu sedar bahawa kebaikan berhijrah lebih baik buat mereka berbanding duduk kekal di Mekah yang penuh penentangan orang-orang kafir Quraish. Mereka sudah tentu tidak akan berhijrah jika mereka tidak meyakini  janji Allah dan Rasul-Nya.

Manakala orang-orang Ansar adalah orang yang menetap di Madinah dan sanggup menerima kedatangan orang-orang Muhajirin. Kebaikan yang dibuat oleh orang-orang Ansar mendapat pujian daripada Allah dan Rasul-Nya seperti yang dirakam di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi seperti berikut : 

dan orang-orang (Ansar) Yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang Yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula Dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa Yang telah diberi kepada orang-orang Yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang Yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka Dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa Yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang Yang berjaya. SURAH AL-HASYR - AYAT 9

Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan berhijrah serta berjihad Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, danorang-orang (Ansar) Yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam Yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan Pembela antara satu Dengan Yang lain. dan orang-orang Yang beriman Yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu Dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum Yang ada perjanjian setia di antara kamu Dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa Yang kamu lakukan. SURAH AL-ANFAL - AYAT KE 72

dan orang-orang Yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) Yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam Yang berhijrah itu), merekalah orang-orang Yang beriman Dengan sebenar-benarnya. mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia Yang mulia. SURAH AL-ANFAL - AYAT KE 74
dan orang-orang Yang terdahulu – Yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang Yang menurut (jejak langkah) mereka Dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan Yang besar. SURAH AL-TAWBAH - AYAT 100
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar Yang mengikutnya (berjuang) Dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; Sesungguhnya Allah amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka. SURAH AL-TAUBAH - AYAT KE 117


Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w melihat beberapa orang kanak-kanak lelaki dan perempuan menyambut seorang pengantin. Maka Nabi s.a.w berdirimemberi penghormatan dan bersabda: Ya Allah, mereka adalah orang yang aku cintai. (Nabi mengulangnya sebanyak tiga kali. Iaitu Kaum Ansar.(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam r.a katanya: Rasulullah s.a.w berdoa: Wahai tuhanku! Ampunilah Orang-orang Ansar, anak-anak Ansar dan keturunan Ansar

Diriwayatkan daripada Abu Usaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik kabilah Ansar ialah Bani Najjar, selepas itu Bani Abdul Asyhal, selepas itu Bani al-Haris bin Khazraj, selepas itu Bani Saidah. Sementara itu, pada setiap kabilah Ansar ada kebaikan. Saad berkata: Setahu aku, Rasulullah s.a.w mengutamakan kami. Ada yang berkata: Baginda s.a.w mengutamakan kamu dari kaum lain. 
(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Realiti kita Pada hari ini berbeza dengan orang-orang Muhajirin dan Ansar

Kita mungkin pernah terfikir dan berasakan bahawa melepaskan sesuatu atau meninggalkan sesuatu itu mungkin akan merubah dan menjadikan diri kita lebih baik. Contoh yang mudah adalah merokok. Ramai yang sedar akan bahaya merokok kepada kesihatan diri dan orang lain. Namun untuk membuang tabiat dan ketagihan itu seperti amat sukar sekali. Pelbagai kempen telah dijalankan oleh kerajaan namun ianya ibarat seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Buktinya, jumlah perokok semakin meningkat pada setiap tahun dan dianggarkan lebih kurang 10,000 orang telah berhijrah ke alam kubur kerana wabak rokok pada setiap tahun. 



Bagi perokok yang beragama Islam, pada bulan puasa mereka mampu menahan diri daripada merokok disiang hari tetapi sayangnya kembali merokok selepas berbuka puasa. Bagi yang lebih berjaya sedikit, disepanjang bulan Ramadhan langsung tidak menyentuh rokok tetapi sayangnya sebaik sahaja Syawal menjelma, rokok itu hampir sama kedudukannya dengan kuih raya dan ketupat rendang. Mungkin pengaruh dan bisikan Jin kepada perokok itu amat kuat sekali dan pada setiap hari mendesak dan merayu kepada tuannya supaya diberikan "makanan". 

Jika tidak merokok, maka sudah pasti badan dan fikiran pun berasa tidak kena dan tidak selesa. Mula berasa gelisah dan gelisah itu tidak mententeramkan dan menyusahkan. Maka kita pun akan terus merokok dan merokok kerana kita tidak sanggup berasa susah sedikit untuk membuang ketagihan. Padahal kita pada mulanya lebih senang tanpa rokok. Pelik bin ajaib, hari ini kita sanggup bersusah payah mengadaikan wang dan kesihatan demi  sedikit kelazatan batil yang datang dari racun yang bernama rokok.  

Bagi sesetengah keluarga yang baru menimang cahaya mata, mereka sudah tentu memikirkan soal menjaga dan mengasuh anak. Setiap ibu pasti mempunyai naluri untuk menjaga dan mengasuh anaknya dengan tanganya sendiri. Tetapi soalnya apakah mampu menyara keluarga jika si ibu berhenti bekerja dan hanya ayahnya sahaja yang bekerja? Tepuk dada tanyalah poket!

Sebenarnya kebanyakkan kita mampu untuk menyara keluarga jika hanya si bapa sahaja yang bekerja. Soalnya bukan masalah wang semata. Soalnya ialah apakah kita mampu mengubah cara kita berbelanja dan cara hidup kita. Jika dahulu masa kita bujang kita selalu sibuk dengan barang-barang yang berjenama dan agak mewah, dengan pakaian, kasut dan aksesori badan yang  mahal. Dan kalau boleh kita mahu kekalkan keadaan itu sampailah kita sudah berumah tangga dan beranak pinak. Kalau dulu masa bercinta boleh selalu makan kat McDonalds, KFC, dan Pizza Hut maka selepas kahwin pun mesti mahu benda yang sama kalau boleh setiap hari.

Percaya atau tidak, kebanyakkan kita agak sukar untuk 'downgrade' gaya hidup kita. Kita bimbang jika kawan-kawan kita atau jiran kita menganggap kita sudah jatuh miskin. Kita tidak sanggup untuk berhijrah meninggalkan sesuatu yang kita anggap dan rasakan sebagai suatu kemewahan. Kita tidak sanggup untuk berasa sedikit kekurangan. Kalau boleh kita ingin sentiasa berasakan diri kita ini mempunyai kelebihan berbanding orang lain atau paling kurang setara dengan orang lain yang kita anggap sebagai mempunyai kelasnya yang tersendiri.

Maka hari ini kita lihat ramai orang yang sentiasa sibuk memikirkan cara bagaimana untuk mendapatkan pendapatan yang lebih supaya  dapat mengekalkan gaya hidup mewah. Kalau boleh mahu lebih kaya lagi supaya kita menjadi lebih istimewa dan berbeza berbanding kebanyakkan orang. Kita mahu menjadi pada kedudukan yang paling atas di dalam piramid sosial.


Dan kerana mahu hidup mewah, maka dengan senang dan mudah kita akan ditipu dua kali. Pertama kita tertipu dengan permainan duniawi dan syaitan. Kedua, kita mungkin tertipu dengan manusia yang menjanjikan pelbagai skim yang kononnya boleh membuatkan kita menjadi kaya seperti skim MLM tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.


Kebanyakkan kita juga gagal mengikut tauladan orang-orang Ansar yang banyak memberi kepada orang Muhajirin. Orang-orang Ansar berkasih sayang dengan orang-orang Muhajirin dengan cara berkongsi harta. Malah ada yang sanggup mencerai isteri poligami untuk dikahwinkan kepada orang-orang muhajirin. Sesungguhnya orang-orang Ansar ini memang amat disayangi oleh Rasulullah kerana sikap mereka yang amat pemurah kepada orang-orang Muhajirin. 


Hari ini jika ada pengemis yang menghampiri kepada kita pun kita akan bersangka buruk dan buat acuh tidak acuh sahaja. Ramai dikalangan kita beranggapan bahawa golongan ini adalah pemalas, penipu ataupun dihantar oleh sindiket peminta sedekah. Mungkin ramai yang tidak tahu akan sabda nabi kepada sahabatnya Abu DZar yang menyatakan bahawa sedekah itu ajaib dengan ditegaskan sebanyak tiga kali! Nabi juga berpesan supaya bersegera sedekah kerana bala tidak akan melangkah sedekah dan dengan sedekah juga akan mengubati penyakit yang dihidapi. Sesungguhnya sedekah itu lebih baik daripada ubat dan skim insuran atau takaful.
Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila hubungan kekeluargaan dan silaturahim terputus kerana mengejar dunia. 


Dahulu kita sering mendengar nasib ibu-bapa yang dihantar ke rumah orang-orang tua kerana anak-anak tidak sanggup menjaga mereka. Hari ini keadaan semakin parah apabila kita lihat ada ibu bapa yang mengambil langkah menyaman anak-anak mereka kerana sikap anak yang tidak bertanggungjawab dan kurang ajar serta tidak mengenang budi.


http://www.bharian.com.my/articles/BapasamantigaanakRM2juta/Article






Ada juga kisah seorang yang bergaji besar RM 4500 sebulan tetapi tidak mampu bersedekah kepada ibu bapa kerana kononnya menangung hutang bank, sara hidup dan insurans pendidikan anak sehingga akhirnya kedua orang tuanya menyaman anak mereka kerana telah mungkir janji setelah harta orang tuanya ditukar nama kepada anak mereka. (Rujuk sini untuk info.) Macam mana nak mampu kalau kita asyik fikir bagaimana untuk menghabiskan pendapatan untuk menyenangkan diri sendiri sahaja sehingga melupakan keberkatan dengan bersedekah kepada kedua ibu bapa. Sesungguhnya ini merupakan salah satu tanda semakin hampirnya hari kiamat.


Kesimpulannya


Saya mengajak diri saya sendiri dan tuan/puan untuk memerhatikan perkara ini dengan berat agar kita saling berkasih sayang antara satu sama lain seperti yang telah ditunjukkan oleh orang-orang Muhajirin dan Ansar.


Kita tidak akan berjaya berhijrah jika kita tidak sanggup untuk meninggalkan kelazatan dunia yang sementara dan penuh tipu daya. Kita juga tidak akan berjaya behijrah jika kita tidak sanggup untuk bersusah payah demi memberikan kesenangan kepada orang lain.


Oleh itu marilah kita sama-sama merenung amalan kita dan mengurangkan kecenderungan ke arah duniawi semata-mata. Marilah kita sama-sama mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri terutamanya orang-orang yang terdekat dengan kita bermula daripada ibu-bapa, jiran tetangga, kaum kerabat dan sahabat handai. Dan jika ada yang datang meminta, sebaiknya tunaikanlah hajatnya. Jika ingin menolak sekalipun tolaklah ia dengan manis dan bersopan santun.


Akhir kata, selamat menyambut Tahun Hijrah 1433 /2011 Masehi.



Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan.


Solawat!



4 ulasan:

  1. salam,

    "hijrah bermula daripada niat..."

    niatkan sesuatu yang baik,nantinya takdir Tuhan akan menyusul memaksa kita mengotakan apa yang telah diniatkan...

    dan di masa itulah setiap hati2 yang beriman digoncangkan melebihi goncangan air ketika mendidih...

    semoga kita semua terdiri dari mereka yang berjaya dalam penghijrahan masing2...

    insyaAllah...

    BalasPadam
  2. HIJRAH BERLAKU SETELAH TIGABELAS TAHUN PROSES INTENSIF MEMANTAPKAN IMAN - ISLAM - IHSAN - QIAMAT DAN TANDA2 QIAMAT..YANG TERANGKUM DALAM PERKATAAN 'ADDEEN' [yg diabaikan orang sekarang]......... TIGABELAS TAHUN DALAM suasana tekanan dominasi KAFIR JAHILLIYAH QURAISH kpd ummat yang masih kecil fisikal serba lemah dan miskin... TELAH MEMBERI KEKUATAN DAN KEMANTAPAN IMAN YANG TINGGI YANG MELONJAKKAN AZAM KENTAL DIPASAK NIAT MURNI DAN IKHLAS SERTA TAWAKKAL YANG TINGGI... .....UNTUK BERHIJRAH DIJALAN ALLAH , SUDAH PASTI DISAMBUT GOLONGAN ANSOR MADINAH YANG SABAR DAN SETIA MENUNGGU JAUH, SEBULAN PERJALANAN PENUH CABARAN.... 450KM DARI KOTA MEKAH .

    MEREKA ADALAH GOLONGAN pioneer /AWWALIN YANG MENDAPAT RAHMAT DAN BERKAT DARI ALLAH ATAS TARBIYYAH DAN KEKENTALAN JIWA MEREKA DIBAWAH KERASULAN MUHAMMAD S.A.W [ AL-TAWBAH - AYAT 100 ]

    APABILA ULAMA2 HARI INI TELAH DITIMPA [diprogramkan untuk ditimpa] WABAK WAHNU : PESONA KECEMERLANGAN DUNIA KAYA MEWAH [EKONOMI/POLITTK/SOSIAL : HARTARIBA /TAKHTA DEMOKRASI YAHUDIZIONIS /MASYARAKAT SEKULAR] SERTA MEMINGGIRKAN KEUTAMAAN AKHIRAT KERANA TAKUT DAN BIMBANG MATI AKAN DISOAL DIQUBUR, DIMAHSYAR DAN DILONTAR KENERAKA ,KERANA ALLAH BENCI KEPADA MEREKA...[ASSHAF 61:2-3] .......MAKA APAKAH YANG TERJADI KEPADA UMMAT.....TENTULAH LEBIHPARAH HINGGA SAMPAI KETAHAP KOMA DAN MATI.

    LALU APAKAH ORANG YANG TIDUR BISA MEMBANGUNKAN ORANG KOMA ATAU MATI ???

    http://www.facebook.com/pages/Ulama-SUU-WAL-Fitnah/226533224076205

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah & Tahniah kerana sanggup berhijrah meninggalkan keburukan & kemungkaran untuk mencari kebaikan dan redha Illahi.

    BalasPadam
  4. salam saudara F.Z,

    kami ada perkara penting untuk dibincangkan dengan saudara...sila beri respon secepat mungkin di email kami...

    nursyahadah9111@gmail.com

    BalasPadam