Jumaat, 14 Ogos 2009

Cerita Pasal Reta Benda

Viva la consumerisme!!

Apa yang boleh saya katakan bahawa ekonomi moden adalah korup sama sekali. Kenapa? Kerana ia menghabiskan dan mencekik semua kebaikan yang ada di dunia ini bukan kerana keperluan, tetapi kerana Duit! Duit! Duit! Untung! Untung! Untung!. Apa yang kita dapat? Sampah, racun, pencemaran dan semua yang boleh menurunkan kualiti hidup seorang manusia.

Apa yang memeranjatkan tentang barang-barang yang kita beli dan gunakan adalah ia diciptakan bukan untuk bertahan lama.Mengapa? kerana barang yang tahan lama akan hanya merugikan pengeluar kerana tiada orang yang membeli barang baru selagi barang yang digunakan masih boleh dipakai.

Sebenarnya tidak semua barang yang diciptakan itu tidak bertahan lama. Contohnya kereta. Kereta mempunyai jangka hayat yang panjang lebih daripada 20 tahun. Bayangkan apa yang akan jadi kepada pengeluar jika kereta yang dikeluarkan akan dibeli semula oleh pelanggan yang sama dalam tempoh 20 tahun? Tiada keuntungan yang dihasilkan. Jadi apa yang pengeluar kereta buat untuk kekalkan momentum pembelian oleh orang ramai dan menjana keuntungan?
Ya, mereka mencipta model kereta yang baru. Dengan ini secara tak langsung mereka telah mencipta imej bahawa model kereta yang lama adalah lapuk dan tidak wajar dimiliki lagi.

Bagaimana mereka mencipta imej ini? Iklan. Iklan adalah satu kaedah penipuan yang paling efektif dalam mencipta imej-imej yang menggambarkan gaya hidup yang unggul yang hanya boleh dicapai jika terus menghambakan diri dengan membeli barang-barang yang baru.

Setuju? jika tidak setuju, apa kata kita tonton video di bawah.

Renung-renungkan dan selamat beramal!!


Khamis, 6 Ogos 2009

WASIAT RAJA-RAJA MELAYU


KUALA LUMPUR 6 Ogos — Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah :


1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA)

2. Kami istiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu istihar dan simpan, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50% selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

3. Bagi menjaga kamu dan melindungi anak-anak kamu harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU untuk membenteras kekacauan dalam Negara dan ancaman dari luar Negara.

4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah Negara ini.

5. Kami tetapkan ISLAM ialah agama Persekutuan.

6. Kami tetapkan juga bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU dan,

7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).


Berita selanjutnya ->.....

FenomenaZaman : Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin sudah tentu gelisah dan tidak senang hati dengan keadaan orang Melayu hari ini yang jelas semakin ditekan oleh pelbagai isu dan sentimen yang timbul ekoran kerakusan pengkhianat yang sering mengusik dan menguris hati orang-orang Melayu dan raja-rajanya. Selepas ini pasti akan ada lebih banyak lagi titah baginda jika golak emosi orang-orang Melayu dan kepentingannya terus dicuit

Ahad, 26 Julai 2009

شرک مودن

سواتو هاري بوجڠ دأرهکن اوليه ڤݢاواي اتسن ڤرݢي منينجاو دوا بواه کواترس کراجأن يڠ تله لاما تيدق دهوني. سلاين ايت بوجڠ جوݢ دأرهکن سوڤاي مميندهکن بارڠ-بارڠ يڠ اد د رومه برکنأن ک تمڤت يڠ لاين. بوجڠ تله مموتوسکن اونتوق منمڤه سبواه لوري 3 تن دان مناءيقيڽ برسام ببراڤ اورڠ ڤکرجا يڠ لاين. بوجڠ ڤون برتولق منوجو ديستيناسي تنڤا مڽدري ݢرق ݢريڽ دڤرهاتيکن. ستله سلساي کرجا، بوجڠ ڤون ڤولڠ ک ڤجابت دان برتمبوڠ دڠن ڤوان سو. مک برلاکوله ڤربوالن انتارا مريک.

ڤوان سو : \"کامو ڤرݢي ک مان تادي بوجڠ؟\"

بوجڠ : \"ڤرݢي تيڠوق کواترس د بوکيت ساءوجان ڤوان. ستاف-ستاف يڠ لاين ڤون اد ايکوت سکالي تولوڠ بنتو. باڽق يڠ روسق. اورڠ دولو يڠ دودوق د سيتو تق جاݢ ايلوق-ايلوق.\"

ڤوان سو : \"ساي نمڤق کامو ناءيق لوري تادي. کناڤ تق مينتا کريتا خاص اونتوق کامو؟. بودق-بودق د ڤجابت اين بوکن ماءين ݢلق لاݢي سمبيل مڠوتوق بيلا نمڤق کامو مناءيقي لوري دڠن مماکاي تالي ليهير. لاين کالي مينتله کريتا. کامو تو کن ڤݢاواي، کنا جاݢ مرواه دان تارف تو سيکيت. ستاف کامو يڠ لاين د ڤجابت ڤون توروت ݢلقکن کامو جوݢ تاو.\"
بوجڠ : \"تق ڤ له… جيمت سيکيت دويت کراجأن. کالاو ناءيق کريتا ننتي ده ممباذير ميڽق دان ڤمندو\"، جواب بوجڠ دالم نادا کورڠ سنڠ.

ستله سلساي، بوجڠ ڤون ڤولڠ ک ڤجابت. دالم ڤرجالنن، بوجڠ ترفيکير تنتڠ کات-کات ڤوان سو. اڤاکه بنر مرواه دان ايميج بوجڠ جاتوه هاڽ کران مناءيقي سبواه لوري ڤد وقتو بکرجا؟ ادکه کران بوجڠ سأورڠ ڤݢاواي، مک ايميج دان تارفڽ ترجليڤوق بيلا مناءيقي سبواه لوري؟ تارف د مات سياڤا؟ د مات ستاف باوهن، راکن سکرجا & ڤݢاواي اتسن ؟

ڤرسيڤسي. اي اداله چارا باݢايمانا سساورڠ ايت منيلاي سسواتو يڠ دڤندڠ. موڠکين بنر اڤ يڠ دڽاتاکن اوليه ڤوان سو. تاڤي بنر د سودوت مان؟ کبڽقکن اورڠ ممڤوڽاءي ڤرسيڤسي يڠ سام سڤرتي ڤوان سو. کبڽقکن اورڠ منڠݢڤ بهاوا ايميج سأورڠ ڤݢاواي مستيله کمس، سيݢق دان کندرأن يڠ ديناايکيڽ جوݢ هاروس منتڤ دان بوکنڽ مناءيقي موتوسيکل اتاو کريتا کنچيل@کليسا اڤاته لاݢي کالاو مناءيقي سبواه لوري. تاڤي اڤ سبنرڽ ايت ڤرسيڤسي؟ بارڠکالي اي جوݢ بوليه دکاتاکن سباݢاي کڤرچايأن.

تيدق تيمبول سؤال ايميج دان تارف سساورڠ ايت جاتوه اتاو ترچالر هاڽ کران مناءيقي لوري. لوري تيدق ممڤوڽاءي سبارڠ کواس اونتوق مرنداهکن تارف سساورڠ يڠ مناءيقيڽ. بݢيتو جوݢ دڠن کندرأن ميواه، واڠ، ککايأن، دان جاوتن سمواڽ تيدق ممڤوڽاءي کواس اونتوق منجاتوهکن اتاو مناءيقان ايميج سساورڠ ملاءينکن هاڽ ڤرسيڤسي يڠ تيمبول دان برماءين د ميندا دان جيوا. موڠکين اين برلاکو دالم مشارکت کيت کران ترڤراڠکڤ دالم بوديا نيݢاتيف کونسومريسمى يڠ برأصل دري بارت.

Khamis, 23 Julai 2009

SYIRIK MODEN



Suatu hari Bujang diarahkan oleh pegawai atasan pergi meninjau dua buah kuaters kerajaan yang telah lama tidak dihuni. Selain itu Bujang juga diarahkan supaya memindahkan barang-barang yang ada di rumah berkenaan ke tempat yang lain. Bujang telah memutuskan untuk menempah sebuah lori 3 tan dan menaikinya bersama beberapa orang pekerja yang lain. Bujang pun bertolak menuju destinasi tanpa menyedari gerak gerinya diperhatikan. Setelah selesai kerja, Bujang pun pulang ke pejabat dan bertembung dengan Puan Su. Maka berlakulah perbualan antara mereka.

Puan Su : "Kamu pergi ke mana tadi Bujang?"
Bujang : "Pergi tengok kuaters di Bukit Saujana puan. Staf-staf yang lain pun ada ikut sekali tolong bantu. Banyak yang rosak. Orang dulu yang duduk di situ tak jaga elok-elok."
Puan Su : "Saya nampak kamu naik lori tadi. Kenapa tak minta kereta khas untuk kamu?. Budak-budak di pejabat ini bukan main gelak lagi sambil kutuk bila nampak kamu naik lori dengan pakai tie. Lain kali mintalah kereta. Kamu tu kan pegawai, kena jaga maruah dan taraf tu sikit. Staf kamu yang lain di pejabat pun turut gelakkan kamu juga tau."
Bujang : "Tak pe lah… jimat sikit duit kerajaan. Kalau naik kereta nanti dah membazir minyak dan pemandu", jawab Bujang dalam nada kurang senang.
Setelah selesai, Bujang pun pulang ke pejabat. Dalam perjalanan, Bujang terfikir tentang kata-kata Puan Su. Apakah benar maruah dan imejnya jatuh hanya kerana menaiki sebuah lori pada waktu bekerja? Adakah kerana Bujang seorang pegawai, maka imej dan tarafnya terjelepok bila menaiki sebuah lori? Taraf di mata siapa? Di mata staf bawahan, rakan sekerja & pegawai atasan ?
PERSEPSI. Ia adalah cara bagaimana seseorang itu menilai sesuatu yang dipandang. Mungkin benar apa yang dinyatakan oleh Puan Su. Tapi benar di sudut mana? Kebanyakkan orang mempunyai persepsi yang sama seperti Puan Su. Kebanyakkan orang menganggap bahawa imej seorang pegawai mestilah kemas, segak dan kenderaan yang dinaikinya juga harus mantap dan bukannya menaiki motosikal atau kereta kancil atau kelisa apatah lagi kalau menaiki sebuah lori.
Tapi apa sebenarnya itu persepsi? Barangkali ia juga boleh dikatakan sebagai kepercayaan.
Tidak timbul soal imej dan taraf seseorang itu jatuh atau tercalar hanya kerana menaiki lori. Lori tidak mempunyai sebarang kuasa untuk merendahkan taraf seseorang yang menaikinya. Begitu juga dengan kenderaan mewah, wang, kekayaan, dan jawatan semuanya tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan atau menaikan imej seseorang melainkan hanya persepsi yang timbul dan bermain di minda dan jiwa. Mungkin ini berlaku dalam masyarakat kita kerana terperangkap dalam budaya negatif konsumerisme yang berasal dari Barat.