Semua orang-orang wajib baca artikel ini. Di petik daripada blog Jebat Must Die
Sehari sebelum Aidilfitri yang lepas,  saya telah membaca satu artikel menarik yang ditulis oleh Tan Sri  Muhammad Ali Hashim, bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor  Corporation di dalam Harian Metro.  Ya tuan-tuan dan puan-puan, di dalam  Harian Metro. Tajuk artikel tersebut ialah ‘Budaya Bisnes Jepun sama dengan Melayu’.
 Saya sedikit kesal kerana artikel  sebagus itu sepatutnya ditempatkan di dalam Berita Harian dan di dalam  Utusan Malaysia. Tidak perlu diletak di dalam News Straits Times kerana  berdasarkan kepada bahan berita NST sejak akhir-akhir ini, mereka tidak  mungkin akan meletakkan sebarang artikel yang memperkasakan Agenda  Melayu di dalam ruangan rencana mereka.
 Artikel tersebut amat menarik kerana  ianya membahaskan lagi apa yang perlu diperbaiki di dalam saranan  kerajaan untuk meningkatkan tahap kemajuan ekonomi Bumiputera di dalam  negara ini. Artikel tersebut mempertikaikan kewujudan idealogi-idealogi  asing yang mungkin lebih memudaratkan keadaan ekonomi Melayu. Ini amat  ketara kerana wujudnya idealogi-idealogi tersebut di dalam intipati  Model Baru Ekonomi  yang jelas akan menggantikan dasar-dasar ekonmi  negara sebelum ini. Ianya juga membincangkan secara lanjut apa yang  perlu kita lakukan agar tiada pihak-pihak yang akan mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru sebelum ini.
 Artikel tersebut berbunyi seperti berikut:
  MINGGU lalu, saya telah menarik  perhatian pembaca kepada perlunya Melayu membebaskan perniagaan daripada  campur tangan politik dan kepentingan individu.
 Tujuannya ialah mengelakkan berulang  ketirisan dan kebocoran ekuiti seperti banyak berlaku sebelum ini,  setelah dasar penswastaan dilancarkan secara agresif. Dalam konteks  Melayu yang masih lemah mengurus bisnes serta bersaing di pasaran  terbuka, dasar penswastaan menekankan keutamaan pemindahan hak milik  kerajaan menerusi pegangan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  kepada individu dan swasta Melayu mengakibatkan banyak pegangan ekuiti  terlepas kepada orang lain.
 Kosnya pula sangat tinggi, sama ada dari  segi kewangan, pembaziran sumber dan kerugian akibat kehilangan masa  serta terlepas bisnes ke tangan orang lain. Antara contoh kesilapan  apabila Agensi Pembangunan Bandar atau UDA perlu dihidupkan semula,  setelah melalui proses penswastaan sebelum ini.
 Bagaimana ini boleh berlaku? Sebenarnya pada ketika itu terdapat pengaruh ideologi politik liberal yang mencontohi amalan di Britain dan Amerika Syarikat (AS).  Model ekonomi liberal mendominasi pemikiran tidak senang dengan peranan  kerajaan dalam ekonomi. Malah mereka berpandangan negatif terhadap  penglibatan kerajaan dalam bisnes, sekalipun bertujuan menyeimbangkan  keadaan. Saya percaya satu lagi  pengaruh besar, berpunca daripada kalangan bukan Melayu khasnya sektor  bisnes Cina menganjurkan kerajaan tidak terlibat dalam bisnes. Mereka  dilihat meremehkan mana-mana tindakan kerajaan menjayakan agenda sosial  seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan semua program melibatkan kerajaan  untuk mencapai matlamat keadilan ekonomi dan melindungi kepentingan  golongan lemah. 
 Pandangan anti-GLC dan penglibatan kerajaan dalam bisnes daripada perspektif orang Cina perlu kita fahami dengan lebih mendalam.  Ia terbit daripada perspektif minda, konteks budaya dan perspektif  hidup yang berbeza. Ia tidak semestinya diinterpretasikan sebagai  bersifat anti-Melayu. Bagi saya ia mencerminkan nilai hidup yang  menzahirkan budaya bisnes orang Cina di mana-mana, termasuk di negara  China.
 Untuk  menjelaskan perbezaan budaya ini lebih lanjut, saya memetik pandangan  penulis Cina keturunan Taiwan yang memerhatikan perbezaan organisasi  bisnes Cina berbanding Jepun. Chin Ning-Chu dalam bukunya “The Asian Mind Game” menyatakan “…one  Chinese look like a dragon. But when three Chinese get together, each  one look like a pig. One Japanese look like a pig, while three Japanese  look like a dragon.” 
 Sememangnya telah tertanam dalam minda orang Cina, khasnya di seberang laut untuk tidak meyakini kerajaan. Mereka tidak menyenangi semua pihak berkuasa, terutama kerajaan diterajui orang bukan Cina. Penulis  Cina menyatakan antara sebabnya untuk mengelak membayar cukai tinggi  serta menjamin rahsia kepentingan bisnes daripada diketahui orang luar,  termasuk sesama Cina. Ramai berpendapat ini berlaku kerana budaya dan  nilai hidup orang Cina berpaksi kepada institusi keluarga yang menjadi  tunggak. Orang Cina mempercayai ahli keluarga dan kaum kerabat  daripada orang lain. Dalam kata lain, pada umumnya Cina merupakan  masyarakat yang tidak mengutamakan jemaah. Keluarga dan individu lebih diutamakan berbanding masyarakat atau bangsa. 
 Justeru, bisnes Cina sengaja memilih  keluarga sebagai teras organisasi dan sekiranya terdapat korporat  gergasi di kalangan mereka, ia kerap berpaksi kepada milik keluarga.  Atas dasar ini, satu bisnes keluarga bersaing sengit dengan keluarga  lain. Di peringkat individu Cina, masing-masing tidak mahu kalah,  bersifat kiasu dan menurut Chin Ning-Chu, berkelakuan  seperti babi apabila mereka ramai. Ini mungkin punca kenapa persepsi dan  ideologi masyarakat Cina di Malaysia umumnya negatif dan tidak senang  terhadap mana-mana anjuran kerajaan atau GLC ke dalam bisnes, lalu  membangkitkan anti-GLC dan pro-penswastaan. Malangnya,  diperhatikan ramai Melayu terbawa-bawa dan terpengaruh dengan pendirian  apa yang baik buat bisnes orang Cina tidak semestinya baik juga untuk  Melayu mengikut amalan budaya Melayu dan pegangan nilai Islam.
 Terdapat perbezaan asas nilai budaya, minda dan persepsi Melayu, khasnya sebagai Muslim. Perbezaan ini sama dengan perbezaan antara nilai hidup dan budaya Jepun berbanding Cina, seperti digambarkan Chin Ning-Chu.
 Nilai budaya Jepun kelihatan lebih banyak persamaannya dengan Melayu. Jepun juga mengutamakan kepentingan besar masyarakat dan berbudaya jemaah.
 Itu sebabnya Jepun menyusun strategi  bisnes dengan memilih corak organisasi berbeza dengan Cina. Mereka  cenderung membina organisasi korporat dan memasyarakatkan kepentingan  besar bisnes. Sebagai contoh, syarikat Matsushita dan Toyota, sekalipun  asalnya dimiliki keluarga Matsushita dan Toyoda, apabila  membesar, diberi dokongan penuh institusi Jepun dengan sumber modal  besar daripada institusi termasuk bank dan institusi kewangan serta  pelaburan dan syarikat perdagangan Sogo Shosha. Hari ini keluarga  Toyoda, pengasas Toyota memiliki saham tidak lebih dua peratus dalam  syarikat yang menjadi syarikat pembuat kereta paling berjaya di dunia.
 Bahagian terbesar saham dimiliki institusi serta badan-badan untuk mewakili kepentingan masyarakat ramai Jepun.
 Dengan  demikian, kuasa politik oleh Melayu harus mengambil kira perbezaan  budaya Melayu sebagai Muslim yang mengutamakan sistem berjemaah.  Justeru, susunan strategi untuk kejayaan bisnes tidak boleh mengikut  sepenuhnya cara orang Cina. Budaya politik Melayu perlu sedar hakikat  ini dan menterjemahkannya ke dalam strategi menjayakan agenda bisnes  Melayu.
 Tegasnya, budaya politik Melayu perlu diubah. Ia tidak lagi harus didominasi mereka yang cuma memperjuangkan politik untuk kepentingan peribadi.  Hadis Rasulullah tegas menyatakan: “Apabila tiga orang Islam keluar  berjalan, hendaklah seorang daripadanya dijadikan imam (pemimpin)”. Ini  menggambarkan betapa Islam mementingkan umatnya berjemaah. Dalam konteks  bisnes, anjuran ini menekankan supaya kita mengambil pendekatan  “bunyanun marsus”. (Al-Quran, Surah As Saff, Ayat 4), yang bermaksud  kita diminta menyusun barisan seolah-olah berada dalam “satu binaan  tersusun kukuh”.
 Kesimpulannya, faktor utama  merosakkan perjuangan membina kekuatan ekonomi dan dapat menyelamatkan  Melayu daripada terus tercicir terletak pada budaya politik golongan  berkuasa. Jika kita selama ini lemah, puncanya kerana budaya politik di golongan berkuasa yang melemahkan. 
 Misalnya,  budaya politik yang hanya mengikut dan meniru saja segala rentak dan  cara Cina (atau Barat) berbisnes, tanpa menyelami kesannya memudaratkan  kepentingan Melayu. Pemikiran mempengaruhi ideologi politik seperti ini wajib dirombak dan diketepikan. Kejayaan  bisnes untuk membina kekuatan serta keperkasaan ekonomi Melayu tidak  dapat dicapai selagi ideologi politik dan susunan strategi tidak  didasarkan kepada kaedah diserasikan dengan minda Melayu.  Selagi ini berlaku, akan terdapat konflik, sama ada dalam individu  terbabit, mahu pun semua anggota masyarakat. Kesannya, perpaduan Melayu  terancam dan sukar hendak disatukan kembali.
 Selain itu, jika  sikap mementingkan individu diteruskan, ia menjadi punca utama majoriti  Melayu menganggap ramai ahli perniagaan, bisnes dan korporat dalam  masyarakat sendiri bersikap rakus. Selagi dasar  penswastaan kepada kepentingan individu dengan agresif diperjuangkan,  dan selagi GLC serta peranan institusi dinafikan, selagi itu kita akan  berpecah dan berkonflik. Pakej  dasar dan strategi tidak boleh memandang ringan usaha membela  kepentingan Melayu sebagai masyarakat jemaah dengan membiarkan budaya  politik Melayu mengenepikan amanah dan tanggungjawab kepemimpinan.
 
 Terima kasih diucapkan kepada Tan Sri  Muhammad Ali Hashim. Artikel tersebut bukan sahaja dihasilkan oleh orang  yang cerdik, malah ianya ditulis oleh seseorang yang bijaksana dan  mempunyai akal yang panjang (wise). Kepandaian sahaja tidak cukup untuk  menjadi arif di dalam sesuatu bidang. Seseorang tersebut mestilah ada  pengalaman yang panjang di dalam menentukan hala tuju perjalanan ekonomi  negara ini.
 Malangnya, di dalam menentukan halatuju  negara ini, kerajaan tidak menimba pengalaman daripada mereka yang arif,  akan tetapi, kerajaan cuba mendapatkan nasihat dari mereka yang tidak  layak untuk menjadi tuan penasihat.
 Terima kasih.