Khamis, 8 November 2012

KHUTBAH AL YAMANI




Bahagian 1

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad dan Ahli Keluarganya di kalangan para Imam dan para Mahdi.

Firman Allah SWT: “Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya balasan hari akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa.” (Surah Yusuf: 56) 

Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kamu akan Allah SWT yang berkuasa ke atas segala sesuatu dan janganlah kamu takut akan mereka yang tidak mampu melakukan sesuatu. Bahkan tiada siapapun yang mampu melakukan sesuatu melainkan dengan daya kekuatan dan kehendak Allah SWT.

Kamu adalah pengembara di dalam kehidupan ini dan setiap yang berkembara pasti akan sampai ke destinasinya. Jauhilah diri kamu dari sampai ke destinasi neraka dan beramallah untuk sampai ke destinasi syurga. Setiap insan yang berakal hendaklah berusaha mencari jalan yang membawa kepada  makam terpuji kerana tiada gunanya penyesalan setelah tamat tempoh masa dan kesediaan (merujuk kepada kebangkitan Al-Qaim a.s).

Kamu selaku orang yang benar-benar beriman, setelah kamu mengetahui bahawa kamu berada di atas jalan kebenaran adalah daripada Allah SWT dan bukannya daripada Ahmad Al-Hassan, dan seterusnya beragama dengan agama kebenaran sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Dialah yang menciptakan kamu untuk tujuan ini iaitu untuk mengetahui kebenaran. Beramallah, beramallah dan beramallah sehingga kamu terputus nafas (mati). Amalan itulah penyelamat kamu kerana tiada kebaikannya bagi orang yang mengetahui tetapi tidak mempraktikkan ilmunya.

Bahkan kebenaranlah dan kebenaran itulah yang aku serukan kepada kamu bahawa Iblis (laknat Allah ke atasnya) tidak mempraktikkan ilmunya kerana dia adalah ulamak pasif (Ulamak yang tidak mempraktikkan ilmunya).

Beramallah dengan apa yang telah kamu ketahui daripada Allah SWT tanpa rasa gentar atau teragak-agak, tidak kira sehebat manapun ia di mata manusia yang menumpukan kepada dunia dan segala kebendaannya tanpa mengambilkira Allah SWT.   

Kebenaranlah yang aku serukan kepada kamu, bertenanglah wahai orang-orang yang beriman, salam sejahtera ke atas kamu dari Tuhan yang Maha Pengasih. Allah SWT akan menyelamatkan kamu kerana DIA sangat Pemurah lagi sangat berBangga dalam melindungi hamba-hambanya yang terpilih di sepanjang zaman.

Aku serukan hanya kebenaran kepada kamu, bahawa adalah menjadi kebanggaan seorang bapa dalam melindungi anak-anak dan kaum keluarganya, jadi bagaimana mungkin Tuhan Yang Maha Kuasa tidak melindungi hamba-hambaNYA yang menjadi pilihanNYA?

Benar, kamu telah memilih untuk menolong Allah SWT dan DIA menerima kamu untuk menolong agamaNYA kerana DIA Maha Pemurah dengan limpahan kurnia yang banyak dengan imbalan yang sedikit.

Oleh itu, beramallah, beramallah dan beramallah, ianya adalah perlumbaan ke syurga dan berbahagialah mereka yang bergelar juara kerana nama-nama mereka tertulis di dalam rekod kehidupan yang abadi.       

Sejak mula lagi selalu aku katakan bahawa hidayah petunjuk itu adalah dari Allah SWT dan bukan dari Ahmad Al-Hassan.

Barangsiapa yang mendapat hidayah Allah SWT tidak akan sekali-kali berganjak walaupun hancur gunung-ganang kerana dia meminta kebenaran daripada kebenaran itu sendiri. Kenal Allah dengan Allah, dan mengikuti khalifah Allah dengan Allah SWT.

Setelah kamu mengetahui kebenaran sekarang, maka aku katakan: janganlah kamu menjadi Ansar (pembantu) Ahmad Al-Hassan , hamba yang bakal mati dan tidak mampu melakukan sesuatupun, tetapi jadilah Ansar kepada Allah Yang Sentiasa Hidup lagi tidak akan mati dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Jadilah Ansar Allah kerana DIA Maha Pemberi yang mengurniakan DiriNYA kepada sesiapa yang benar-benar tulen dalam membantuNYA.

Manusia sering berkata: kami adalah Ansar si pulan atau si pulan. Adapun bagi kamu, katakanlah bahawa kami adalah Ansar Allah.       

Aku hamba yang miskin, melihat bahawa kamu semua dalah lebih baik dari diriku, malahan aku melihat diriku tidak layak sebagai hamba kepada mereka yang beriman dengan kalimah Allah dan beramal dengan kalimah Allah, serta bersabar dalam menghadapi kesusahan, penindasan dan dituduh berbohong berkaitan zat Allah SWT.

Aku berasa terhormat dan diberkati dengan tanah yang dipijak oleh kaki Ansar Allah yang sebenar. Aku melihat diriku dan ahli keluargaku sebagai sesuatu yang kecil untuk dipersembahkan di hadapan kekasihku Allah SWT. Adapun harta kebendaan, aku tidak melihatnya sebagai suatu yang perlu diambil kira dan berharga, malah ianya tersangat kecil untuk aku persembahkan di hadapan Allah SWT.

Aku biasa dan masih menunggu saat-saat kematian tidak kira siang maupun malam kerana padanya perpisahan dengan musuh-musuh Allah dan pertemuan dengan kekasih Allah SWT iaitu Muhammad dan Ahlulbaytnya, para Nabi dan para Wassiy (pemegang wasiat para Nabi yakni khalifah atau pengganti mereka). Maha Suci Allah, aku tidak pernah merasakan kematian sebagai jalan keluar kecuali bagi mereka yang memintanya, malahan aku rasakan maut itu memanggil-manggil mereka melarikan diri darinya.

Aku telah biasa bersendirian dan masih suka mengasingkan diri dari manusia kebanyakan untuk menikmati keakraban bersama kekasihku Allah. Allah Maha Mengetahui betapa berat untuk aku berada di khalayak ramai melainkan bagi menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, menunjuk dan mengarahkan mereka kepada Allah SWT. Juga bagi mengingatkan mereka akan Allah SWT dengan membawa berita gembira tentang syurga  dan memberi amaran kepada mereka tentang neraka. Sebenarnya, terlalu berat bagiku untuk berada di kalangan saudara-saudaraku yang beriman khususnya disebabkan penghargaan dan penghormatan yang mereka berikan padaku sedangkan aku tidak melihat diriku layak menikmatinya. Aku juga merasa amat takut akan Allah SWT, sekiranya DIA menghukum atau menyalahkanku atas penghormatan istimewa mereka kepadaku. 

Aku hanya berkata yang benar, bahawa aku tidak pernah meminta sesiapa pun memberi taatsetia kepadaku. Malah apa yang berlaku semasa era penindas Saddam adalah sekumpulan penuntut Hawzah Ilmiyyah Najaf telah memutuskan untuk memberikan baiah (taat setia) kepadaku sebagai utusan Imam Mahdi a.s selepas melihat visi melalui mimpi, kasyaf dan mukjizat. Setelah itu mereka mula meminta penuntut-penuntut lain di Hawza Ilmiyyah Najaf untuk berbaiah kepadaku. Allah Maha Mengetahui begitu juga mereka mengetahui sedemikian. Itu adalah baiah yang pertama.

Setelah itu ramai dari mereka mengundurkan diri melainkan sebilangan kecil yang masih setia dengan perjanjian Allah. Mereka yang berundur ini mula mencanangkan bahawa visi yang mereka lihat melalui mimpi dan kasyaf adalah daripada Jin, dan mukjizat sebagai amalan sihir. Mereka biasa menggelarkan aku sebagai benar lagi jujur sebelum mereka mula menggelar aku sebagai ahli sihir dan pembohong. Aku pulang semula ke rumahku dan meneruskan amalanku sebelum ini sambil menikmati keakraban hubungan dengan kekasihku Allah SWT, redha dengan Qadha dan QadarNYA, serta sabar lagi yakin bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan pahala orang-orang yang melakukan kebaikan. 

Dengan izin Allah setelah kejatuhan rejim penindas Saddam, sebilangan kecil yang masih setia dengan perjanjian Allah memutuskan untuk mengajak orang ramai tanpa mendapat arahan dan keizinan daripadaku untuk berbuat demikian, malah aku tidak pernah bertemu dangan mereka ketika itu. Mereka datang kembali memberi taat setia (baiah) kepadaku dan memaksaku keluar dari kediamanku. Maka ini adalah taat setia (baiah) yang kedua. Setelah itu dakwah tersebar luas dan berkembang menyebabkan bertambahnya bilangan mereka yang beriman.    

Setelah berlakunya murtad Haider Al-Mushattat dan kelompoknya, tiada yang kekal dengan perjanjian Allah melainkan sedikit yang masih setia. Maka, aku kembali semula ke kediamanku sambil menikmati semula keakraban hubungan dengan kekasihku Allah SWT dan bersabar dengan nikmat kesusahan yang diberikanNYA. Aku tidak pernah mengajak sesiapapun untuk memberikan taat setia (baiah) kepadaku, tetapi dengan kehendak Allah SWT telah datang sekumpulan mereka yang telah disucikan Allah dengan kesetian kepada Ahli Keluarga Muhammad (Aal Muhammad)untuk memperbaharui semula taatsetia (baiah) mereka, yang mana Allah telah memilih mereka sebelum diciptakan dunia ini lagi bagi membantu Qaim dari Ahli Keluarga Muhammad. Ini adalah taatsetia (baiah) yang ketiga setelah dua kali terpukul dengan teruk dikepalaku.      

Segala puji dipanjatkan kepada Allah yang menjadikan aku serupa dengan Dzul Qarnain dan juga serupa dengan Amirul Mukminin Ali a.s. Segala puji juga kepada Allah yang tidak menjadikan aku meminta-minta kepimpinan (Imamah) sebaliknya ia meminta-mintaku kepadanya. Segala puji juga kepada Allah yang tidak menghinakanku dengan meminta-minta dunia, sebaliknya menjadikan dunia yang meminta-minta kepadaku.

Demi Allah aku tidak meminta sebarang kekuasaan dan pangkat kedudukan atau ketaatan dan kepatuhan manusia kepadaku dan arahanku, melainkan dengan perintah Allah SWT dan perintah Imam Mahdi a.s. Jika bukan kerana tertegaknya hujjah ke atasku dan kehadiran pembantu-pembantuku (Ansar), pasti akanku humbankan tali kekhalifahan ke atas pautannya. Demi Allah dunia ini padaku hanyalah sepertimana telah dipamerkan Allah SWT kepadaku dan sepertimana digambarkan oleh bapaku Ali bin Abi Talib a.s iaitu “... seperti peluh khinzir di telapak tangan pesakit kusta.”

Berbahagialah kamu wahai orang-orang yang beriman!, kerana kamu telah mengiktiraf Ketuanan Allah, kekuasaanNYA dan lantikanNYA. Manakala mereka yang menolak agama Allah, menentang KetuananNYA dan membantah perlantikan Ilahi dari kalangan ulamak-ulamak Jahat dan pengikut-pengikut mereka, aku menyeru kepada mereka; “berbuatlah sesuka hati kamu. Sesungguhnya kamu membuka jalan kepada wasi (khalifah) sebenar samada kamu suka atau tidak, kerana kamu pasti akan kehilangan dunia ini dan juga akhirat, sesungguhnya itu adalah kerugian yang nyata. Beginilah keadaan kamu sebenarnya, menyedari hakikat kerugian  kamu di dunia ini dari sehari ke sehari. Telah terbukti bahawa kamu tersilap perhitungan dan perkiraan kerana kamu menghitung segala sesuatu selain Allah. Lihatlah betapa tidak berertinya Allah pada neraca perkiraan kamu:  “Dan tiadalah mereka mengandaikan Allah sesuai dengan andaian yang sebenarnya”. (Quran 6:91)   

Kesedaran mula berputik di dalam diri mereka yang bertaqlid kepada ulama-ulama sesat bahawa ulama-ulama ini telah meletakkan mereka di lembah terpencil dan gelap yang tiada lansung makanan, minuman ataupun cahaya seolah-olah kematian yang pasti di dalam kegelapan. Para ulama pasif ini mula menafikan kata-kata dan perbuatan mereka, dan bertindak seperti pengembala kambing yang meninggalkan gembalaannya untuk dibaham oleh sang serigala.  

Aku berseru kepada pengikut-pengikut mereka; “Tinggalkanlah mereka dan ikutilah kebenaran yang pahit lagi berat ini, kerana disitulah letaknya penyelamat kamu. Tidakkah kamu melihat bahawa mereka telah meninggalkan kamu untuk dibaham oleh serigala?”. Apakah ada manusia waras lagi berakal yang akan terselamat dari kematian yang pasti di dunia ini dan juga di akhirat? Takutlah kamu akan DIA yang mampu membinasakan kedua-dua ruh dan jasad di neraka nanti.



Bahagian 2


Wahai manusia! sekalian ulama-ulama sesat tersebut telah menambat hati kamu dengan menyamakan kepalsuan seakan-akan kebenaran, sesungguhnya syubhah (kesamaran)  itu dinamakan syubhah kerana ia seakan-seakan menyamai kebenaran. Amirul Mukminin Ali a.s berkata: “Dinamakan syubhah (kesamaran) itu sebagai syubhah kerana ianya seakan-akan menyamai kebenaran, adapun penaung-penaung Allah (Awliya Allah) cahaya penyuluh bagi mereka adalah keyakinan dan berbuktikan jalan petunjuk. Manakala musuh-musuh Allah mengajak kepada kesesatan dan mereka berbuktikan kesamaran atau kebutaan”. 


Mereka telah mengajak kamu kepada Shura Kecil (Shugra)  dan telah mengubah hukum-hakam Allah sepertimana halnya perlakuan mereka yang berada di Al-Saqifa. Shura utama (Kubra) telah pun berlaku sebelum ini sepertimana mereka lakukan ke atas Ali bin Abi Talib (a.s) di Madinah, begitulah juga pada hari ini mereka lakukan pula ke atas Imam Al-Mahdi (a.s) di Iraq, iaitu pusat pemerintahan Daulah Al-Mahdi yang diberkati. Hudhaifah bin Al-Yamani dan Jabir bin Abdullah Al-Ansari meriwayatkan bahawa mereka mendengar Rasulullah (SAWA) bersabda: “Kesengsaraan, kesengsaraan buat umatku di dalam shura utama (kubro) dan shura kecil (sughro). Mereka kemudian bertanya tentang keduanya, seraya Rasulullah SAWA bersabda: Adapun Shura besar akan berlaku di Madinahku selepas kewafatanku bagi merampas kekhalifahan saudaraku dan hak anak perempuanku. Adapun Shura kecil itu akan berlaku ketika Ghaibah utama (Kubro) (merujuk kepada ghaibnya Imam Al-Mahdi (a.s) secara total dari pandangan umum) di Zawra (Baghdad) untuk mengubah Sunnahku dan menukar hukum-hakamku.”

Dalam satu riwayat yang panjang dari Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib (a.s), dia berkata: “Wilayah kekuasaan akan kembali ke Zawra (Baghdad) dan urusan akan berjalan dengan shura (pemilihan). Barangsiapa yang mengatasi ke atas selainnya akan melakukan sedemikian. Pada ketika itu, akan keluarnya Sufyani yang akan bermaharajalela menindas manusia dengan siksaan yang mengerikan di muka bumi selama Sembilan bulan...”. Sehingga dia (a.s) berkata:”Setelah itu akan keluarnya Al-Mahdi yang memberi petunjuk dan mendapat petunjuk kebenaran, yang akan mengambil panji dari tangan Isa bin Maryam a.s.”       

Wahai sekalian manusia! aku berseru kepada kamu untuk menyelamatkan diri kamu dari godaan ulama-ulama sesat yang sesat lagi menyesatkan. Renungkanlah kembali situasi yang telah terjadi pada umat-umat terdahulu. Apakah kamu dapati ulama sesat ini membantu mana-mana nabi atau mana-mana wassiy (khalifah)? Oleh itu, janganlah kamu ulangi perbuatan yang sama kembali dengan mengikut jejak langkah ulama sesat ini dan bertindak menentang pemegang wasiat (wasiy) bagi Imam Mahdi (a.s), sepertimana halnya umat-umat terdahulu telah mengikuti jejak langkah ulama sesat dalam memerangi para awsiya (khulafa) dan nabi-nabi yang diutuskan.

Insaflah diri kamu buat kesekian kalinya dan tanyalah diri kamu soalan ini, “Pernahkah kamu bertanya Rasulullah (SAWA) dan para Imam (a.s) berkenaan ahli-ahli fiqh atau ulama akhir zaman, sebelum kamu bertanya kepada ulama akhir zaman tentang wasi (khalifah) bagi Imam Mahdi (a.s)? Pernah kamu bertanya Al-Quran tentang ulama ketikamana diutuskan nabi dan wasi, apakah sikap yang sentiasa ditunjukkan mereka? Pernahkah kamu bertanya Al-Quran, siapakah yang menyalakan api untuk membakar Nabi Ibrahim (a.s)? dan siapakah yang mahu membunuh Nabi isa (a.s)? dan siapakah penentang Nabi Nuh, Hud, Saleh, Shuaib, Musa, Yunus, kesemua nabi-nabi dan wasi-wasi (a.s)?

Jika kamu tidak menginsafi diri kamu dan tidak menjawab persoalan ini sekarang, maka sudah pasti kamu akan menjawabnya di neraka nanti sepertimana jawapan Al-Quran: “Dan mereka berkata lagi: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.” (Al Quran 33: 67)

Sekiranya kamu bertanya Allah SWT di dalam Hadis Mi’raj pasti kamu akan mendapatkan jawapannya, sepertimana Rasulullah SAWA telah bertanya Allah SWT di dalam riwayat yang panjang sehingga ke sabda baginda: Aku berkata, “Ya Tuhan, bilakah ianya akan berlaku (merujuk kepada kemunculan Qaim)?, Allah telah mewahyukan kepadaku, “Ia pasti akan berlaku bila lenyapnya ilmu dan kejahilan berleluasa, bertambahnya pembaca Al-Quran dan berkurang pengamal-pengamalnya, berleluasanya pembunuhan, dan berkurangnya ulama feqah yang benar berbanding ulama feqah yang sesat lagi khianat.”

Rasulullah SAWA bersabda dalam hadis yang lain: “Akan datang zaman ke atas umatku bila tiada satupun yang tinggal dari Al-Quran melainkan tulisannya dan Islam melainkan namanya sahaja, mereka yang menggelarkan diri mereka dengan Islam adalah yang paling jauh dengannya, masjid-masjid mereka dibina dengan indah namun kosong dari petunjuk. Ulama pada zaman tersebut adalah sejahat-jahat ulama di bawah lindungan langit, akan lahir daripada mereka ujian (fitan) dan kepada mereka ujian itu akan dikembalikan.”

   
Aku berseru kepada kamu, wahai manusia! tinggalkanlah penyembahan berhala-berhala (merujuk kepada ulamak sesat) itu kerana mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan Allah. Tindakan kamu mematuhi mereka bermakna kamu menyembah mereka selain dari Allah SWT. Daripada Abi Baseer, daripada Al-Sadiq (a.s), telah berkata: aku berkata kepadanya: “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai Tuhan selain dari Allah.” Seraya dia (a.s) berkata lagi: “Demi Allah tidak sedemikian, mereka tidak mengajak manusia untuk menyembah mereka kerana jika mereka mengajak manusia untuk menyembah mereka sudah pasti tidak akan dijawab seruan mereka. Sebaliknya mereka menjadikan yang halal itu haram dan yang haram itu halal, dari situ manusia telah menyembah mereka secara tidak mereka sedari.”

Aku menyeru kamu untuk mengiktiraf Ketuanan Allah dan menolak Ketuanan Manusia. Aku menyeru kamu supaya taat kepada Allah dan menolak ketaatan kepada syaitan serta kepatuhan kepada sekutu-sekutunya dari kalangan ulama-ulama pasif.

Aku mengajak kamu supaya takut kepada Allah SWT dengan mengakui Ketuanannya dan menolak selain darinya tanpa memperdulikan realiti politik yang dicorakkan oleh Amerika.

Aku menyeru kepada kamu supaya menolak kebathilan walaupun ia sesuai dengan selera kamu. Aku mengajak kamu supaya mangakui dan mengikuti kebenaran walaupun tiada manusia di dunia ini yang mahu kepadanya.

Teruslah bersama pahit kebenaran kerana di dalam kepahitannya itu ada penawar bagi penyakit kronik.  Teruslah bersama kebenaran yang tidak akan meninggalkanmu  sebarang kawan.

Teruslah bersama cahaya kebenaran sedangkan kamu tidak menginginkan selain daripada Allah SWT dan juga hari Akhirat, jauhilah daripada segala perhiasan dunia dan kegelapannya.

Telah berkata Abu Dzar Al-Ghifari: “kekasihku Rasulullah SAWA telah bersabda: Berkata benarlah wahai Abu Dzar, dan sejak dari itu aku telah berkata benar sehinggakan ianya meninggalkanku tanpa sebarang kawan.” Sebagaimana kamu telah membaca di dalam Al-Quran: 

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al Quran 3:26)

Juga sebagaimana yang kamu laung-laungkan di dalam ibadah Haji:

“Aku patuhiMU Ya Allah, aku patuhiMU, aku patuhiMU, tiada sekutu bagi kamu, aku patuhiMU, Segala puji dan nikmat bagi kamu segala kekuasaan, tiada sekutu bagi kamu.”

Praktikkanlah ayat ini dan aplikasikan kepatuhan (Talbiyah) ini, pada saat itu kamu akan dapati bahawa perlantikan (khalifah) itu adalah di tangan Allah dan bukan di tangan manusia. Apa yang tidak kena dengan kamu? Apa pula penilaian kamu? 

“Aku patuhiMU Ya Allah, aku patuhiMU,  bagi kamu segala kekuasaan, tiada sekutu bagi kamu.” Walaupun mereka menidakkan KekuasaanMU dan KetuananMU samada di zaman terdahulu atau di akhir zaman.

Dan mereka yang menidakkan perlantikan Allah serta pengikut-pengikut mereka akan mengetahui kelak ke tempat mana mereka akan kembali.

Sesungguhnya kesudahan yang baik itu adalah bagi orang-orang bertaqwa iaitu mereka yang tidak sesekali menerima sebarang pengganti kepada perlantikan Allah dan tidak menjadikan sebarang sekutu bagi Allah dalam KekuasaanNYA.

Adalah amat mengaibkan untuk mengulang-ulangi kata-kata (Talbyiah) di dalam Ibadah Haji mereka, sedangkan dalam masa yang sama mereka tidak mempraktikkannya dan tidak pula mengakui lantikan Allah (khalifahnya) atau KekuasaanNYA seolah-olah mereka adalah binatang ternakan, tidak dapat menghayati apa yang mereka ucapkan. Malah mereka lebih sesat dari itu kerana mereka diciptakan untuk menghayati apa yang diucapkan, tetapi tetap merendahkan martabat mereka.

Dan [inilah] suatu permakluman dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar bahwa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu [kaum musyrikin] bertaubat, maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. Dan beritakanlah kepada orang-orang kafir [bahwa mereka akan mendapat] siksa yang pedih.

Hanya kebenaran yang aku katakan kepada kamu wahai orang-orang yang beriman, Yazed (Laknat Allah ke atasnya) tidak boleh membunuh Al-Hussain a.s.

Kerana Hussain a.s telah bangkit untuk menegakkan Ketuanan Allah yang ditolak dalam peristiwa Al-Saqifa dan Shura besar.

Hussain a.s telah berjaya menegakkan Ketuanan Allah dengan meletakkan kekuasaan dan perlantikan itu milik Allah iaitu di tangan Allah dan bukannya di tangan manusia.

Hasil daripada titisan darah Hussain (a.s), ahli keluarganya, dan para sahabatnya telah membuahkan umat yang beriman dan sanggup bersemuka dengan para penzalim (taghut) yang menguasai pemerintahan umat ini.


Umat yang beriman ini tidak pernah redha dengan khalifah selain daripada yang dilantik oleh Allah SWT selama lebih seribu tahun.

Tetapi selepas itu hadir ulama pasif (Ghayru Amilin) di akhir zaman memusnahkan apa yang telah dibina oleh Hussain (a.s) dengan titisan darahnya yang suci.

Mereka hadir dengan penegakkan Ketuanan Manusia dan penolakkan Ketuanan Allah. Mereka menjual agama Allah dengan nilaian keduniaan yang sedikit, sekaligus beranggapan bahawa minda mereka yang tidak sempurna itu mampu mengenalpasti kepentingan dunia umat ini, tanpa mengambil peduli nasib umat ini di akhirat kelak. 

Bahagian 3

Kebenaranlah aku serukan kepada kamu wahai orang-orang yang beriman, mereka tidak mampu membunuh Hussain (a.s) dan juga Revolusi Ilahinya yang bertujuan menegakkan perlantikan Ilahi sentiasa berkekalan di hati orang-orang yang beriman.

Bagi mereka yang mengaku menangisi atau menziarahi Hussain (a.s), Hussain (a.s) pasti akan melaknat mereka kerana mereka adalah pembunuhnya pada zaman ini.

Mereka telah cuba untuk menghancurkan revolusi Hussain (a.s) dan mengkaburkan matlamatnya, tetapi mereka gagal dan Syaitan (l.a) telah memalukan mereka. Setelah tangan kamu yang suci memegang nyalaan api revolusi Hussein (a.s), dan setelah kamu memutuskan untuk terus mengekalkan matlamatnya yang diberkati iaitu Ketuanan Allah di bumiNYA dengan titisan darah kamu yang suci.

Ahmad Al-Hassan adalah hamba yang lemah yang tiada suatu pun melainkan keimanan bahawa “Tiada kekuatan melainkan dengan Allah” dan keimanannya itu sekiranya dia berhadapan dengan gunung-ganang sekalipun pasti akan dapat dihancurkannya. Aku sedia maklum bahawa mereka memiliki wang yang tidak terkira banyaknya yang mampu dilonggokkan ke atas orang-orang yang menyembah mereka selain Allah SWT. Aku juga maklum bahawa mereka mempunyai mesin media massa, daulah serta kekuasaan yang mencanang dan mengimplementasikan bagi pihak mereka iaitu Amerika, yang saling memuaskan antara satu sama lain.

Aku maklum bahawa mereka memiliki banyak kebendaan dunia ini, tetapi aku akan berhadapan mereka dengan kalimah ini iaitu “Tiada kekuatan melainkan dengan Allah”.

Dan akan berhadapan dengan mereka sepertimana Hussein (a.s) berhadapan dengan keturunan mereka terdahulu. Seluruh dunia akan menyaksikan Karbala baru di muka bumi ini.

Karbala yang ada Hussein (a.s) dan para Sahabatnya (a.s), dengan bilangan yang sedikit mengajak kepada kebenaran, dan kepada Ketuanan Allah. Di samping menolak Ketuanan Manusia, demokrasi ala Amerika dan Saqifa ulama-ulama pasif.

Karbala yang di dalamnya tetap ada Shurayh Al-Qadhi, Shimr bin Jhawsan dan Shibth bin Rab’iy, ulama-ulama sesat lagi pasif yang memfatwakan pembunuhan Hussein (a.s).

Karbala yang tetap ada Yazid bin Muawiyah, Abdullah bin Ziyad, Sirjaun dan Rom iaitu Amerika dibelakang mereka.

Dunia juga bakal menyaksikan pertempuran sengit risalah terbaru buat Isa bin Maryam ke atas Bumi Suci (Iraq).

Di Bumi Suci tersebut akan wujudnya Isa a.s dan ansar-ansarnya, dengan bilangan yang sedikit, tertindas lagi sentiasa waspada terhadap manusia kebanyakan yang akan merenggut mereka.

Akan wujud juga di Bumi Suci tersebut ulama-ulama Yahudi yang menuntut supaya dibunuh Isa a.s, dan Rom iaitu Amerika yang menurut permintaan mereka serta berusaha untuk membunuh Isa a.s.

Telah berkata Isa a.s: “Wahai ulama jahat, urusan Allah itu bukanlah seperti yang kamu kehendaki atau yang kamu pilih, bahkan kematian yang kamu rancangkan dan kebinasaan yang kamu usahakan dan pembukaan jalan kepada waris sebenar.”

Kesemua pertarungan sengit tersebut telah dan bakal berlaku di bumi ini (Iraq). Beginilah yang Allah dikehendaki, maka jadilah sepertimana dikehendakinya. DIA lah yang memenangkan wali-waliNYA, para nabi dan rasulNYA.

“Dan sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi rasul,  Sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan. Dan sesungguhnya tentara Kami itulah yang pasti menang.” (Al Quran 37:171-173)

Tuhan Muhammad pasti akan menang mengatasi orang-orang yang zalim di bumi ini. DIA pasti akan menang mengatasi keturunan pembunuh Hussein (a.s) kerana mereka berasa puas dengan tindak-tanduk nenek moyang mereka.

Barangsiapa di kalangan kamu yang ingin beriman, maka berimanlah kerana yang murni akan bertambah kemurniannya dan yang suci akan bertambah kesuciannya selepas itu. Barangsiapa yang mahu ingkar, maka ingkarlah dan perbanyakkanlah penindasan agar kamu menjadi lebih berselaput dengan najis.

Ikutilah ulama pasif kamu, kumpullah kayu api buat menyalakan api untuk Ibrahim (a.s), ejeklah Noah (a.s), sediakanlah pedang beracun untuk ditetak di kepala Ali (a.s) dan persiapkanlah kuda-kuda untuk meremukkan dada Hussein (a.s). Tetapi aku tidak akan sesekali berkompromi, tidak akan ada tawar menawar, tidak akan berhenti menentang Uthman dan mendedahkannya di khalayak umum.

Benar, penentangan yang aku hadapi sekarang makin sulit berbanding dengan penentangan yang dilalui datukku Rasulullah (SAWA), dengan berhala Quraysh kerana mereka adalah berhala yang diperbuat daripada batu.

Manakala berhala yang aku tentang hari ini adalah berhala yang memakai baju Rasulullah (SAWA), menyamar sebagai menjunjung Al-Quran dan mengaku sebagai Naib kepada Imam Mahdi (a.s).

Berhala yang memikul legasi peninggalan musuh-musuh para nabi dan rasul, serta mahir dalam menjunjung Al-Quran di hujung tombak bagi memecahbelahkan tentera Ali (a.s). Tetapi mereka tidak menyedari bahawa “Tiada kekuatan melainkan dengan Allah”.

Segala puji bagi Allah. Aku tidak keseorangan, malahan bersama-samaku sekumpulan kecil mukmin yang aku hormati dengan penuh perhormatan untuk aku berkhidmat kepada mereka. Mereka menjunjung kebenaran di dalam hati-hati mereka dan berjalan menuju Allah, menuju Cahaya dan tidak akan redha melainkan dengan Cahaya yang tiada kegelapan padanya.

“Dan bacakanlah kepada mereka berita penting tentang Nuh di waktu dia berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, jika terasa berat bagimu tinggal [bersamaku] dan peringatanku [kepadamu] dengan ayat-ayat Allah, maka kepada Allah-lah aku bertawakkal, karena itu bulatkanlah keputusanmu dan [kumpulkanlah] sekutu-sekutumu [untuk membinasakanku]. Kemudian janganlah keputusanmu itu dirahsiakan, lalu lakukanlah terhadap diriku, dan janganlah kamu memberi tangguh kepadaku. (Al-Quran 10:71)

Beginilah yang Allah kehendaki sepertimana ia biasa dijuarai oleh penindas-penindas dengan membunuh rasul-rasul dan orang-orang beriman, kerana kami tidak diciptakan untuk dunia ini tetapi akhirat. Ya Allah, sekiranya ini dapat mencapai redhaMU, maka ambillah sehingga Engkau Redha

Atau sehingga Tuhan menterbalikkan zaman ini agar seluruh dunia dapat menyaksikan kemenangan sebilangan kecil manusia tertindas yang beriman bahawa “Tiada kekuatan melainkan Allah” dan dapat mengalahkan penindas yang paling kejam, yang pernah dikenali di muka bumi ini.

Maka ulama-ulama sesat ini akan berkata, malah terbukti sebahagian mereka telah pun berkata:”Bunuhlah Ahmad Al-Hassan kerana percakapannya berlawanan ulama”. Benar, percakapannya bertentangan dengan ulama kerana dia ingin mengembalikan Sunnah Rasulullah SAWA sepertimana baru.

Apakah jenis ulama mereka ini? Mereka menentang orang yang mengajak kepada sebahagian kebenaran, sedangkan aku mengajak mereka kepada kebenaran keseluruhannya, iaitu sirah para nabi dan rasul, sirah para Imam dan wasiy, sirah Muhammad dan Ali, sirah Hussein, sirah Imam Mahdi a.s.

Sirah Isa a.s yang berkata: “Khadamku adalah tanganku, tungganganku adalah kedua kaki, bumi adalah tilamku, dan batu adalah bantalku. Pemanasku di musim sejuk adalah sinaran matahari, suluhanku di waktu malam adalah bulan, makananku adalah kelaparan, sloganku adalah ketakutan, pakaianku adalah bulu biri-biri, buahan dan selasihku adalah tumbuhan bumi untuk binatang liar dan ternakan. Aku tidur ketika aku tidak punyai apa pun dan begitu juga ketika aku jaga, namun begitu tiada seorang pun di muka bumi ini yang lebih mewah dari aku.“

Aku tidak hadir untuk mengajak kepada kebenaran total atau kebenaran mutlaq, tanpa persediaan dan persiapan dari Allah SWT.

Allah menjadikan kamu mengetahui realiti ulama-ulama sesat ini ketikamana DIA telah mengutuskan ulama-ulama Amilin (yang beramal dengan ilmu mereka) yang mengajak mereka kepada sesuatu daripada kebenaran, tetapi mereka telah ditentang oleh ulama-ulama pasif ini dengan pembunuhan dan pengusiran. Mereka membunuh personaliti ulama-ulama ini bagi membuka jalan kepada penindas-penindas untuk membunuh jasad mereka dan mengusir mereka, di antara mereka ini adalah Sayyed Khomeini, Sayyed Muhammad Baqir Al-Sadr dan Sayyed Muhammad Muhammad Sadiq Al-Sadr.

Telah buta bagi mata yang tidak dapat melihat kebenaran atau mengabaikannya. Apakah perangkap yang telah mereka gunakan untuk memerangkap kamu, wahai manusia?

Apakah masuk akal bila kamu dipaksa setiap kali untuk membunuh nabi, wasi atau ulama aktif (amilin) ini dan berjalan seiringan dengan ulama-ulama sesat lagi menyesatkan ini. Setelah berjaya menyingkirkan mereka, kamu pun memukul dada dan mengalirkan air mata bagi menunjukkan penyesalan atas perbuatan kamu yang keji itu.




Bahagian 4



Kemudian kamu mengulangi perkara yang sama berulang-ulang kali dalam mengikuti ulama-ulama sesat ini atau dengan kata lainnya kamu dipatuk oleh ular yang sama dari lubang yang sama setiap kali. Sedarlah wahai mereka yang lena. Sedarlah wahai mereka yang mati.

Tahukah kamu statusku dan status mereka dari kalangan ulama pasif dari lidah Isa a.s? Oleh itu, dengarkanlah perumpamaan ini dari Isa a.s:

“Di sana terdapat pemilik ladang anggur yang meninggalkan ladangnya kepada pekerja-pekerjanya dan pergi berjauhan. Setelah itu didapati beliau mengutus wakil-wakilnya untuk menuntut semula ladang tersebut dan juga hasilnya, namun pekerja-pekerjanya telah membunuh wakil-wakil tersebut. Kemudian beliau mengutuskan anaknya dan berkata, “Mereka hendaklah takut kepada anakku dan menyerahkan kembali ladang dan segala hasil kepadanya.”

Tetapi apabila mereka melihat sang anak tersebut mereka berkata, “Ini adalah satu-satu anaknya dan dia adalah pewarisnya, mari kita bunuh dia supaya ladang dan hasilnya kekal di tangan kita.”

Mereka yang merampas ladang tersebut adalah ulama sesat dan pemiliknya adalah Imam Mahdi a.s, dan wakil-wakil yang diutuskannya adalah ulama-ulama aktif (amilin) yang dibunuh dan diusir. Manakala anaknya, dialah yang menyerukan kepada kamu sekarang ini: Sedarlah wahai mereka yang lena. Sedarlah wahai mereka yang mati. Bangunlah       

“Dan tidak [pula] sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.” (Al-Quran 35:22). Sedarlah wahai mereka yang lena. Sedarlah mereka yang mati, kerana ulama-ulama pasif ini bermatlamat dunia mereka, sama matlamat dunia Harun (Al-Rashid) iaitu untuk membunuh atau memenjarakan Musa bin Jaafar a.s.

Sedarlah wahai mereka yang lena. Sedarlah wahai mereka yang mati. Janganlah kamu ikuti ulama-ulama pasif ini dan berjalan seiringan dengan mereka ke jurang neraka. Kembalilah kepada Allah kerana DIA SWT dalam setiap apa yang telah dan sedang diperbuatNYA di Iraq dan seluruh dunia, adalah untuk menarik perhatian manusia agar mereka kembali mendapat petunjuk kepada kebenaran.

Allah SWT berfirman: “Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari [akibat] perbuatan mereka, agar mereka kembali [ke jalan yang benar].” (Al-Quran 30:41)

FirmanNYA lagi: “Dan sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat  sebelum azab yang lebih besar; mudah-mudahan mereka kembali [ke jalan yang benar].” (Al-Quran 32:21)

FirmanNYA lagi: “Dan tidaklah Kami perlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kecuali ia lebih besar dari tanda-tanda yang sebelumnya. Dan Kami timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali [ke jalan yang benar].“ (Al-Quran 43:48)

FirmanNYA lagi: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling  kamu dan Kami telah menerangkan tanda-tanda (kekuasaan Kami), supaya mereka kembali (bertaubat).” (Al-Quran 46:27)

Kembalilah kepada Allah, kembalilah kepada kebenaran, kembalilah kepada Kitab Allah dan tuan punyanya, kerana dengan kembali kepada kebenaran adalah yang terbaik buat kamu di dunia mahupun akhirat. Ia juga merupakan keselamatan buat kamu daripada azab siksaan di dunia ini maupun di akhirat kelak.

Tiada pilihan lain lagi untuk keselamatan kerana hari ini adalah Hari Allah (Yaum Allah) yang mana pendokong-pendokongnya (awliya) pasti menang. “Dan [Ibrahim] menjadikan kalimat itu kekal pada keturunannya supaya mereka kembali.“ (Al-Quran 43:28)

Telah berkata Amirul Mukminin Ali a.s: “Dan sesungguhnya akan datang kepada kamu zaman selepas aku ketikamana tiada satu pun yang lebih tersembunyi melainkan kebenaran, tiada yang lebih terungkap melainkan kebathilan atau lebih terbiasa selain berbohong terhadap Allah dan juga RasulNYA. Dan Tiada barangan jualan yang lebih murah harganya pada manusia zaman itu melainkan Al-Quran bila dibaca dengan pembacaan sebenar dan tiada yang lebih berharga melainkan bila ia diseleweng daripada maksud sebenarnya. Dan tiada yang lebih tertolak di bumi ini melainkan kebaikan serta lebih diterima ramai melainkan kemungkaran.

Maka Al-Quran dikesampingkan oleh pembawanya, manakala dilupakan oleh orang yang menghafaznya. Al-Quran dan penjunjung sebenarnya pada zaman itu adalah orang buruan yang dinafikan, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan dan berjalan seiring di jalan yang sama, yang tiada tempat berteduh untuk berlindung.

Al-Quran dan penjunjungnya pada masa tersebut berada di tengah-tengah manusia kebanyakan tetapi tidak tergolong di dalam mereka atau bersama-sama dengan mereka.

Kerana kesesatan dan petunjuk tidak mungkin akan bersetuju dan bersatu.  Begitu juga kaum manusia bersepakat atas perpecahan dan berpecah-belah dalam persatuan, seolah-olah mereka adalah imam (pemimpin) kepada Kitab (Al-Quran) dan bukan Kitab sebagai imam mereka.

Justeru, tiada apa yang kekal pada mereka melainkan namanya, dan tidak diketahuinya melainkan tulisan dan manuskripnya. Sepertimana sebelumnya mereka telah mencacat celakan orang-orang yang soleh dengan pelbagai cara, dan menggelar kejujuran mereka tentang Allah sebagai fitnah, dan membalas perbuatan baik dengan perbuatan jahat.

Wahai orang-orang yang beriman, hari ini adalah hari Haji, tahniah ke atas haji kamu; tiada bezanya samada kamu berada di hadapan Kaabah atau di rumah.

seolah-olah kamu mengerjakan ibadah haji walaupun berada di rumah kamu kerana Rumah Allah itu ada di dalam hati kamu.

Hakikatnya, Allah telah memfardhukan ibadah haji ke atas manusia untuk mereka memberikan bai’ah (taatsetia) dan pertolongan mereka kepada Qaim dari Keluarga Muhammad. Oleh itu, bagi mereka yang berpaling dari memberi taatsetia dan membantu  Qaim dari Keluarga Muhammad, kepada siapakah mereka memberikan bai’ah atau taatsetia mereka?

Kebenaran yang aku serukan kepada kamu, mereka telah mati tidak lagi hidup dan tidak menyedari bila mereka akan dibangkitkan semula. Orang-orang Arab Jahiliyyah sering melakukan haji; “Sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu, tidak lain hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.” (Al-Quran 8:35)

Mereka pada hari ini adalah sama seperti mereka-mereka yang terdahulu, “Maka sesungguhnya untuk orang-orang zalim ada bahagian [siksa] seperti bahagian teman-teman mereka [dahulu]; “maka janganlah mereka meminta kepada-Ku menyegerakannya.” (Al-Quran 51:59)

Sesungguhnya, Allah telah memberi peringatan kepada mereka yang berpaling daripada azab. Maka tiada lagi alasan bagi mereka yang telah diberikan peringatan: “Dan sesungguhnya jika Kami undurkan azab dari mereka sampai kepada suatu waktu yang ditentukan, niscaya mereka akan berkata: Apakah yang menghalangiNYA? Ingatlah, di waktu azab itu datang kepada mereka tidaklah dapat dipalingkan dari mereka dan mereka diliputi oleh azab yang dahulunya mereka selalu memperolok-olokkannya.” (Al-Quran 11:8)

Segala puji hanya bagi Allah semata-semata. Ya Allah, bagiMU segala puji dan pengharapan.Ya Allah, aku sebelum ini tidak mengetahui tentang Kitab atau Iman, maka Engkau berikan aku pengetahuan.

Ya Allah, sebelum ini aku tersesat maka Engkau berikan petunjuk kepadaku.

Ya Allah, sebelum ini aku tersalah jalan maka Engkau telah tunjukkan aku jalan.

Ya Allah, sebelum ini aku sakit maka Engkau sembuhkan aku.

Ya Allah, sebelum ini aku bertelanjangan maka Engkau pakaikan aku pakaian.

Ya Allah, sebelum ini aku kelaparan maka Engkau berikan aku makanan.
Ya Allah, sebelum ini aku kehausan maka Engkau berikan aku minuman.

Ya Allah, sebelum ini aku miskin maka Engkau kayakan aku.

Ya Allah, sebelum ini aku yatim piatu maka Engkau berikan aku perlindungan.

Tiada dayaku mengucapkan syukur kepadaMU kerana aku tidak melihat sebarang kebaikan melainkan daripadaMU.  

Tiada siapa yang mampu menangkis kejahatan daripadaku melainkan Engkau.
Maka segala puji bagiMU sepertimana sepatutnya bagi kemuliaan wajahMU dan KeagunganMU.

Ya Allah, selawat ke atas Muhammad serta ahli keluarganya, dan bukakanlah pintu hatiku untuk mengingatiMU agar dapatku menghayati wahyuMU, mengikuti perintahMU dan meninggalkan segala laranganMU.

Ya Allah, selawat ke atas Muhammad serta ahli keluarganya, janganlah Engkau palingkan wajahMU daripadaku, dan janganlah Engkau cegahkan aku dari mendapat kelebihanMU, janganlah Engkau nafikan aku dari kemaafanMU.

Jadikanlah aku pembantu kepada penaung-penaungMU dan memusuhi musuh-musuhMU.

Kurniakanlah aku keinginan daripadaMU dan kecenderungan kepadaMU, penyerahan kepada perintahMU, kepercayaan kepada KitabMU dan mengikuti sunnah NabiMU Muhammad SAWA.

Ya Allah, jadikanlah perjalanan hidupku sebagai ratapan, diamku sebagai berfikir dan kata-kataku sebagai zikir, ampunkanlah dosa besarku dan sertakanlah bersekali dengan bapa-bapaku para solihin, segala puji hanya untukMU dari awal hingga ke akhir, zahir dan batin.

Ya Allah, sampaikanlah salamku kepada rasulMU yang mendapat pertolongan, dibantu lagi ditunjukkan, penyedar lagi penyebar Muhammad SAWA.

Aku memohon kemaafan, keampunan serta bertaubat kepadaMU dan kepada dia (Muhammad SAWA) dalam sebarang kecacatan dalam menyampaikan risalah mengenai KhalifahMU dan anaknya yang tertindas iaitu Muhammad bin Al-Hassan (Imam Mahdi a.s), selawatMU ke atas dia dan bapa-bapanya yang suci.

Sejahtera ke atas mukminin dan mukminat di timur dan juga di barat, dan semoga Allah mencucuri rahmat dan berkat ke atas kamu semua. 

Tiada ulasan: