Rabu, 13 Mac 2013

Katakanlah :Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Semua yang ada akan hancur dan pasti musnah melainkan Allah  dan Dzatnya yang mahasuci.
Ya Rasulullah, Sesungguhnya dirimu dan Ahlul Bait mu telah mengajarkan kepada kami melalui datuk nenek dan kedua ibu bapa kami akan perintah yang datang dari Rabbul Allamin.

Sesungguhnya dirimu manusia yang paling beradab. Dan tiadalah syariat agama itu diturunkan dan disempurnakan kepadamu melainkan dalam keadaan dirimu yang sempurna suci dan paling beradab sekali.

Hanyalah orang-orang yang beradab dan suci yang mampu menerima hidayah dengan izinNya dan mengerti akan syariatmu. Dan semakin beradablah orang-orang yang memegang teguh akan syariatmu ya Rasulullah.

Ya Rasulullah. Dirimu pernah memberitahu bahawa musuh kami itu telah berputus asa untuk menyesatkan dalam perkara yang besar. Dan dirimu telah mengingatkan supaya berhati-hati di dalam perkara yang kecil. Namun selama ini diri kami tidak menyedari dan bersikap tidak acuh.

Dirimu sentiasa memikirkan dan mendahulukan orang lain. Sedang diriku sentiasa memikirkan diriku dan mendahulukan diri.

Ibnu Hisyam memberitahu, bahawa dirimu semasa bayi tidak akan  mahu  menyusu tatkala  saudara  susuan,  anak  kandung  Halimah  alSaadiah  menangis  minta disusukan. Setelah saudara susuanmu tidur kekenyangan barulah dirimu mahu menyusu.

Oh alangkahnya dirimu bagaikan  faham  tentang  keperluan  sifat  mengutamakan  insan  lain. Begitu jugalah sikap dirimu terhadap sepupu-sepupumu dari anak Pakcikmu Abu Thalib di zaman kanak-kanak. Dan begitu jugalah sikap dirimu ke atas umat setelah dewasa dan bergelar Rasul.

Dirimu tidak pernah makan sampai kenyang dan selalu tenang dalam berlapar dan dahaga. Namun diriku makan sampai menjadi malas-malasan dan gelisah memikirkan makanan esok lusa. Dan Saidatina Aisyah memberitahu bahawa inilah bidaah yang pertama oleh umatmu selepas dirimu tiada.

Dirimu selalu bersyukur dengan barang yang sedikit. Sedangkan diriku sentiasa mengeluh walaupun harta sebesar bukit.

Dirimu tetap khusyuk solat walaupun di dalam hujan panah, lembing dan kilauan pedang . Sedangkan diriku terkeluh dihati hanya kerana sesuatu yang berdering disebelah sidang.

Dirimu tidak pernah membalas walaupun disakiti lisan dan badan. Malah dirimu ibarat bunga yang meninggalkan bau harum walaupun luluh di dalam genggaman.

Sedangkan diriku hanya kerana mendengar kelembutan yang tidak menyenangkan walaupun  benar, menyimpan dendam dan amarah seolah-olah ingin membakar segala yang ada berkobar-kobar.

Dirimu selalu menangis mengenangkan nasib umat dan hari akhirat. Sedangkan diriku menangis mengenangkan nasib diri sendiri dan sesuatu yang telah terlewat.

Dirimu menangis tatkala malaikat memberi khabar awal yang cucunda kesayanganmu penghulu pemuda di syurga akan syahid di tangan umat. Sedangkan diriku hanya seronok dan menikmati bubur Asyura setiap kali menjelang 10 Muharam yang ada kalanya jatuh pada hari Jumaat. Oh, betapa jahilnya aku.

Air mata manakah yang lebih mulia? Air mata manakah yang lebih bermakna?

Katakanlah: Airmata kasih dan penuh harapan akan hari kemudian itu lebih mulia dan bermakna berbanding air mata hampa yang penuh duka akan hari semalam. Kerana harapan itu akan jadi kenyataan sedangkan kehampaan itu hanya jadi kenang-kenangan dan sempadan. Sungguhpun begitu keduanya ditinggalkan jangan.

Namun nasib umatmu masih lagi tinggal harapan.
Belum jadi kenyataan.
Sedang menunggu keturunanmu yang akan menjadi Imam Zaman
Yang akan merobah keadaan.
Yang akan menghuraikan kekusutan.
Yang akan menghapuskan kebejatan.
Yang akan mencegah kemungkaran.
Yang akan menukar rupa peradaban.
Yang akan melimpahkan kekayaan dari Ar-Rahman.

Ya Rasulullah! Bagaimanakah diriku boleh mengakui mencintai dirimu sedangkan diriku tidak mengenal  dan tahu akan apa dan siapa yang dicintai oleh mu?
Ya Rasulullah. Dirimu pernah memberitahu. Sekiranya umatmu mengetahui akan apa yang dirimu ketahui, maka umatmu akan sedikit tertawa dan banyak menangis.
Ya Rasulullah. Bagaimanakah diriku mampu mengetahui sedangkan diriku tertawa banyak dan menangis sedikit?

Sungguh diriku tidak tahu.
Namun diriku mahu tahu.

Bagaimanakah maksud doa dirimu yang selalu meminta supaya dijadikan dikalangan orang-orang yang miskin tetapi dalam masa yang sama dirimu juga berdoa agar dijauhkan dari kefakiran?
Bukankah kemiskinan dan kefakiran itu sama sahaja, lalu dipanggil sebagai fakir miskin?
Lalu mengapakah hanya mahu jadi miskin tetapi tidak mahu jadi fakir?
Bagaimanakah boleh wujud pertentangan ini?

Bukankah dirimu telah mengajarkan kepada menantumu Saidina Ali bahawa kebenaran itu tidak ada dua, tidak ada tiga melainkan hanya satu?

Namun kini diriku mengerti.

Kerana Allah menyayangi umatmu, maka dia timpakan kesusahan dan dibiarkan terkapai-kapai di dalam lautan air mata. Kerana Dia ingin mengajarkan umatmu supaya pandai berenang menuju ke daratan yang abadi.

Kerana hanya dengan menempuh jalan kedukaan dan tangisan dengan berserah diri semata-mata kerana Allah dan dirimu itulah yang akan membuatkan umatmu lebih mengetahui.
Maka benarlah dunia ini penjara bagi mukmin. Tiada keseronokan

Dirimu menempuh jalan kemiskinan bukan kerana tidak berharta bermalas-malasan.
Melainkan dirimu miskin kerana habis hartamu diberi kepada orang yang memerlukan.
Melainkan harta yang diamanahkan dan untuk langsaikan hutang, maka itu sahajalah yang dirimu pesan untuk simpan.

Kini diriku mengerti mengapa Siti Khadijah hartawan tertarik kepada dirimu. Bukan kerana keuntungan barang dagangan.Melainkan kerana sikap dirimu yang selalu mengasihani fakir miskin, anak yatim, janda-janda dan orang-orang yang memerlukan bantuan sehingga semua upah keuntungan yang diberikan Siti Khadijah kepadamu habis dibelanjakan olehmu dalam masa 3 hari.

Kini diriku juga mengerti mengapa dirimu berdoa memohon agar dijauhkan daripada kefakiran. Kerana kefakiran itu adalah keadaan orang yang tidak mampu memberi.

Tidak mampu memberi bukan kerana tidak berharta. Tetapi kerana tidak mampu melawan nafsu yang cinta kepada harta dunia sehingga menjadi kedekut, tamak dan rakus serta tidak mengenang budi.

Dirimu memberi hampir segala-galanya dan menyimpan hampir tiada.

Maka kini diriku mengerti akan pesan nenek moyangku dahulu kala :

Biar miskin harta, jangan miskin budi.
Kerana sungguhpun tiada harta masih boleh berbudi dengan jiwa & tulang empat kerat
Biar mati anak, jangan mati adat.
Kerana tidak berguna menyimpan anak yang tidak mengenang budi dan tidak beradab dan beradat.

Itulah hikmah pertemuan nabi Musa bersama muridnya Yushak bin Nun dengan hamba yang soleh. 

Hanya ahli hakikat sahaja yang dibolehkan melanggar adat dengan izinNya. Melanggar adat demi menjaga adat.

Dan janji Allah kepada Nabi Ibrahim pasti akan dipenuhi. Bumi ini akan diwarisi oleh anak cucunya yang berakal budi dan berhati mulia. Anak cucunya yang akan kembali kepada adat bapanya yang lurus.
Maka bergenanglah air mata apabila membaca ayat-ayat suci Allah serta pesan kata-kata mu Ya Rasulullah
“Sesungguhnya  telah  datang  kepada  kamu  seorang  Rasul  dari kalangan  kamu  (Muhammad  s.a.w),  Yang  menjadi  sangat  berat  kepadanya sebarang  kesusahan  Yang  ditanggung  oleh  kamu,  Yang  sangat  inginkan kebaikan  bagi  kamu,  (dan)  ia  pula  menumpahkan  perasaan  belas  serta  kasih sayangnya kepada orang-orang Yang beriman.” (At-Taubah : 128)

“Tidak  Kami  utuskan  engkau  (Muhammad)  melainkan  sebagai  rahmat untuk sekalian alam.”
(Al-Anbia :107)

“Hanya  sesungguhnya  Aku  dibangkitkan  (sebagai  Rasul)  untuk menyempurnakah kemuliaan akhlak.” (Imam   alBaihaqi   Rahimahullah meriwayatkan daripada Abu Hurairah)

“Aku telah bermohon kepada Tuhanku 3 perkara, dia memberikan kepada 2 perkara dan menahan 1 daripadanya: aku memohon agar umatku tidak binasa  dengan  kebuluran,  maka  doaku  ini  diperkenankan,  aku  memohon  agar umatku  tidak  dimusnahkan  dengan  banjir  besar  yang  melenyapkan  mereka, doaku ini juga diperkenankan, dan aku bermohon agar umatku tidak bermusuh-musuhan   sesama   mereka,  namun   permohonanku   ini   tidak   diperkenankan Tuhan.” (Imam  Muslim  Rahimahullahu  taala  meriwayatkan  daripada ‘Aamir  bin  Saad  daripada  bapanya )                    


Suatu  ketika  sedang  membaca  ayat  alQuran  tentang  azab  di akhirat, baginda mengangkat tangan berdoa dan menyebut. “Umatku.. umatku.. sambil menangis. Lalu Allah SWT berfirman kepada Jibril:   “Wahai Jibril, pergilah kamu kepada Muhammad. Tuhanmu Maha Mengetahui, tanyakan padanya apakah yang membuat dia menangis?  Lalu Jibril A.S mendatangi baginda dan bertanya. Rasulullah  SAW pun menceritakan sebab tangisan baginda. Lantas Allah berfirman kepada Jibril, “Wahai Jibril, Pergi kepada Muhammad dan katakanlah, “Sesungguhnya Kami meredhaimu pada Umatmu dan tidak akan menyakitimu (dengan sebab mereka).”
(Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abdulllah bin Amru bin  Al-Ash  RA.) 

“Untuk  setiap  Nabi diperuntukkan  satu  doa  yang  mustajab  jika  dia bermohon  dengannya,  dan  aku  mahu  menyimpan  doaku   itu  sebagai  Syafaat untuk umatku di akhirat.”
(Hadis diriwayatkan oleh Imam alBukhari daripada Abu Hurairah RA)

Tidak akan sampai kepada Yang Maha Mengasihani melainkan orang-orang yang tinggi cintanya serta kasih kepada dirimu dan ahli keluargamu melebihi dirinya dan keluarganya sendiri ya Rasulullah.

“Katakanlah  (Wahai  Muhammad):  "Jika  benar  kamu  mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa   kamu.   dan   (ingatlah),   Allah   Maha   mengampun,   lagi   Maha Mengasihani.” (Ali Imran: 31)

Maka memang benarlah namamu di gelar Yang Terpuji. Dan benarlah yang Terpuji itu menjadi kekasih kepada Yang Dipuji. Tidak akan sampai kepada Yang Dipuji melainkan orang Yang Terpuji. Dan segala puji hanya bagi Allah.

Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Solawat!

Tiada ulasan: