Rabu, 15 September 2010

Dinar Emas : Penjelasan Tun Mahathir

Berikut adalah pandangan Tun Mahathir berhubung cadangan penggunaan dinar emas yang pernah beliau usulkan kepada masyarakat antarabangsa bagi menghentikan penyalah gunaan dolar U.S oleh penyangak matawang.

Tun Mahathir menulis :

1. Izinkan saya jelaskan pandangan saya terhadap kegunaan dinar emas yang saya cadangkan.

2. Saya telah cadang dinar emas digunakan untuk dagangan antarabangsa sahaja. Saya tidak pernah cadang dinar emas diguna sebagai matawang mana-mana negara untuk kegunaan harian.

3. Walaupun harga emas lebih stabil daripada matawang, tetapi nilai emas juga bergerak. Semasa Perjanjian Brettonwoods satu auns emas bernilai $35 Dolar Amerika. Tetapi sekarang satu auns emas bernilai $1,300 Dolar Amerika. Ini bermakna nilai Dolar telah jatuh degan teruk. Namun untuk dagangan antarabangsa Dolar masih diguna.

4. Jika satu syiling emas diberi nilai 1 Ringgit hari ini umpamanya dan kemudian nilai emas meningkat maka sudah tentu pemilik syiling emas tidak akan gunanya untuk membeli-belah dengan bernilai satu Ringgit. Mereka akan guna wang kertas 1 Ringgit. Syiling emas akan disimpan.

5. Lama kelamaan semua dinar emas yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa akan hilang dari pasaran. Walau banyak mana sekali pun pihak berkuasa mengeluar dinar emas akhirnya akan habis emas yang disimpan. Inilah yang berlaku pada Amerika Syarikat yang pada satu masa memiliki 80 peratus daripada simpanan (reserve) emas dunia.

6. Mekanisma yang lain akan diguna untuk dagangan antarabangsa dengan dinar emas. Simpanan matawang emas tidak perlu dalam bentuk syiling tetapi sebagai bata atau jongkong emas yang nilai-nilai akan mengikut harga emas dalam pasaran.

7. Bayaran untuk dagangan akan dibuat oleh bank pusat setelah dihitung nilai eksport dan nilai import antara dua negara. Jika import melebihi eksport maka negara berkenaan akan bayar dengan nota kredit bersamaan jumlah nilai emas sebanyak kelebihan nilai import tolak nilai eksport.

8. Jika pada bulan hadapan eksportnya ke negara berkenaan melebihi nilai import maka bayaran untuk kelebihan ini boleh dibuat dengan nota kredit bulan lepas.

9. Dengan cara ini tidak ada keperluan membayar dengan emas walaupun emas menentukan nilai barangan yang didagangkan. Hanya bayaran dibuat untuk lebih atau kurangnya eksport dengan import secara total dengan negara-negara berkenaan tiap bulan atau minggu. Jika nilai import adalah sama dengan eksport, bayaran tidak perlu dibuat. Ia menjadi dagangan secara barter (tukar barang).

10. Dengan menggunakan emas untuk menentukan nilai dagangan, Dolar Amerika yang jelas tidak stabil tidak perlu digunakan lagi. Permainan oleh penyangak matawang juga akan terhenti.

Komen Fenomena Zaman :

Inilah hujah yang dinantikan dari Tun Mahathir. Sesetengah pihak; sama ada mereka sedar atau tidak; telah tersalah menggunakan Ajaran Islam untuk mengaut keuntungan Dunia semata. Kali ini dengan menjual emas pula seperti yang dilakukan oleh peniaga emas Dinar yang banyak terdapat di internet. Kelantan Golden Trade juga tidak terkecuali. Kononnya nak hapuskan riba. Tapi sebenarnya nak berniaga emas.

Bagi mereka yang berhajat untuk membeli dinar emas pula, mindset mereka ni semata-mata untuk mencari untung sahaja dengan harapan harga emas akan naik pada masa hadapan dan bila jual semula akan dapat untung. Kononnya nak hapuskan riba, tapi sebenarnya nak cari untung dari kenaikan harga emas.

Selasa, 14 September 2010

Perbezaan budaya Cina dan Melayu di dalam perniagaan

Semua orang-orang wajib baca artikel ini. Di petik daripada blog Jebat Must Die

Sehari sebelum Aidilfitri yang lepas, saya telah membaca satu artikel menarik yang ditulis oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim, bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation di dalam Harian Metro. Ya tuan-tuan dan puan-puan, di dalam Harian Metro. Tajuk artikel tersebut ialah ‘Budaya Bisnes Jepun sama dengan Melayu’.

Saya sedikit kesal kerana artikel sebagus itu sepatutnya ditempatkan di dalam Berita Harian dan di dalam Utusan Malaysia. Tidak perlu diletak di dalam News Straits Times kerana berdasarkan kepada bahan berita NST sejak akhir-akhir ini, mereka tidak mungkin akan meletakkan sebarang artikel yang memperkasakan Agenda Melayu di dalam ruangan rencana mereka.

Artikel tersebut amat menarik kerana ianya membahaskan lagi apa yang perlu diperbaiki di dalam saranan kerajaan untuk meningkatkan tahap kemajuan ekonomi Bumiputera di dalam negara ini. Artikel tersebut mempertikaikan kewujudan idealogi-idealogi asing yang mungkin lebih memudaratkan keadaan ekonomi Melayu. Ini amat ketara kerana wujudnya idealogi-idealogi tersebut di dalam intipati Model Baru Ekonomi yang jelas akan menggantikan dasar-dasar ekonmi negara sebelum ini. Ianya juga membincangkan secara lanjut apa yang perlu kita lakukan agar tiada pihak-pihak yang akan mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru sebelum ini.

Artikel tersebut berbunyi seperti berikut:

MINGGU lalu, saya telah menarik perhatian pembaca kepada perlunya Melayu membebaskan perniagaan daripada campur tangan politik dan kepentingan individu.

Tujuannya ialah mengelakkan berulang ketirisan dan kebocoran ekuiti seperti banyak berlaku sebelum ini, setelah dasar penswastaan dilancarkan secara agresif. Dalam konteks Melayu yang masih lemah mengurus bisnes serta bersaing di pasaran terbuka, dasar penswastaan menekankan keutamaan pemindahan hak milik kerajaan menerusi pegangan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada individu dan swasta Melayu mengakibatkan banyak pegangan ekuiti terlepas kepada orang lain.

Kosnya pula sangat tinggi, sama ada dari segi kewangan, pembaziran sumber dan kerugian akibat kehilangan masa serta terlepas bisnes ke tangan orang lain. Antara contoh kesilapan apabila Agensi Pembangunan Bandar atau UDA perlu dihidupkan semula, setelah melalui proses penswastaan sebelum ini.

Bagaimana ini boleh berlaku? Sebenarnya pada ketika itu terdapat pengaruh ideologi politik liberal yang mencontohi amalan di Britain dan Amerika Syarikat (AS). Model ekonomi liberal mendominasi pemikiran tidak senang dengan peranan kerajaan dalam ekonomi. Malah mereka berpandangan negatif terhadap penglibatan kerajaan dalam bisnes, sekalipun bertujuan menyeimbangkan keadaan. Saya percaya satu lagi pengaruh besar, berpunca daripada kalangan bukan Melayu khasnya sektor bisnes Cina menganjurkan kerajaan tidak terlibat dalam bisnes. Mereka dilihat meremehkan mana-mana tindakan kerajaan menjayakan agenda sosial seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan semua program melibatkan kerajaan untuk mencapai matlamat keadilan ekonomi dan melindungi kepentingan golongan lemah.

Pandangan anti-GLC dan penglibatan kerajaan dalam bisnes daripada perspektif orang Cina perlu kita fahami dengan lebih mendalam. Ia terbit daripada perspektif minda, konteks budaya dan perspektif hidup yang berbeza. Ia tidak semestinya diinterpretasikan sebagai bersifat anti-Melayu. Bagi saya ia mencerminkan nilai hidup yang menzahirkan budaya bisnes orang Cina di mana-mana, termasuk di negara China.

Untuk menjelaskan perbezaan budaya ini lebih lanjut, saya memetik pandangan penulis Cina keturunan Taiwan yang memerhatikan perbezaan organisasi bisnes Cina berbanding Jepun. Chin Ning-Chu dalam bukunya “The Asian Mind Game” menyatakan “…one Chinese look like a dragon. But when three Chinese get together, each one look like a pig. One Japanese look like a pig, while three Japanese look like a dragon.”

Sememangnya telah tertanam dalam minda orang Cina, khasnya di seberang laut untuk tidak meyakini kerajaan. Mereka tidak menyenangi semua pihak berkuasa, terutama kerajaan diterajui orang bukan Cina. Penulis Cina menyatakan antara sebabnya untuk mengelak membayar cukai tinggi serta menjamin rahsia kepentingan bisnes daripada diketahui orang luar, termasuk sesama Cina. Ramai berpendapat ini berlaku kerana budaya dan nilai hidup orang Cina berpaksi kepada institusi keluarga yang menjadi tunggak. Orang Cina mempercayai ahli keluarga dan kaum kerabat daripada orang lain. Dalam kata lain, pada umumnya Cina merupakan masyarakat yang tidak mengutamakan jemaah. Keluarga dan individu lebih diutamakan berbanding masyarakat atau bangsa.

Justeru, bisnes Cina sengaja memilih keluarga sebagai teras organisasi dan sekiranya terdapat korporat gergasi di kalangan mereka, ia kerap berpaksi kepada milik keluarga. Atas dasar ini, satu bisnes keluarga bersaing sengit dengan keluarga lain. Di peringkat individu Cina, masing-masing tidak mahu kalah, bersifat kiasu dan menurut Chin Ning-Chu, berkelakuan seperti babi apabila mereka ramai. Ini mungkin punca kenapa persepsi dan ideologi masyarakat Cina di Malaysia umumnya negatif dan tidak senang terhadap mana-mana anjuran kerajaan atau GLC ke dalam bisnes, lalu membangkitkan anti-GLC dan pro-penswastaan. Malangnya, diperhatikan ramai Melayu terbawa-bawa dan terpengaruh dengan pendirian apa yang baik buat bisnes orang Cina tidak semestinya baik juga untuk Melayu mengikut amalan budaya Melayu dan pegangan nilai Islam.

Terdapat perbezaan asas nilai budaya, minda dan persepsi Melayu, khasnya sebagai Muslim. Perbezaan ini sama dengan perbezaan antara nilai hidup dan budaya Jepun berbanding Cina, seperti digambarkan Chin Ning-Chu.

Nilai budaya Jepun kelihatan lebih banyak persamaannya dengan Melayu. Jepun juga mengutamakan kepentingan besar masyarakat dan berbudaya jemaah.

Itu sebabnya Jepun menyusun strategi bisnes dengan memilih corak organisasi berbeza dengan Cina. Mereka cenderung membina organisasi korporat dan memasyarakatkan kepentingan besar bisnes. Sebagai contoh, syarikat Matsushita dan Toyota, sekalipun asalnya dimiliki keluarga Matsushita dan Toyoda, apabila membesar, diberi dokongan penuh institusi Jepun dengan sumber modal besar daripada institusi termasuk bank dan institusi kewangan serta pelaburan dan syarikat perdagangan Sogo Shosha. Hari ini keluarga Toyoda, pengasas Toyota memiliki saham tidak lebih dua peratus dalam syarikat yang menjadi syarikat pembuat kereta paling berjaya di dunia.

Bahagian terbesar saham dimiliki institusi serta badan-badan untuk mewakili kepentingan masyarakat ramai Jepun.

Dengan demikian, kuasa politik oleh Melayu harus mengambil kira perbezaan budaya Melayu sebagai Muslim yang mengutamakan sistem berjemaah. Justeru, susunan strategi untuk kejayaan bisnes tidak boleh mengikut sepenuhnya cara orang Cina. Budaya politik Melayu perlu sedar hakikat ini dan menterjemahkannya ke dalam strategi menjayakan agenda bisnes Melayu.

Tegasnya, budaya politik Melayu perlu diubah. Ia tidak lagi harus didominasi mereka yang cuma memperjuangkan politik untuk kepentingan peribadi. Hadis Rasulullah tegas menyatakan: “Apabila tiga orang Islam keluar berjalan, hendaklah seorang daripadanya dijadikan imam (pemimpin)”. Ini menggambarkan betapa Islam mementingkan umatnya berjemaah. Dalam konteks bisnes, anjuran ini menekankan supaya kita mengambil pendekatan “bunyanun marsus”. (Al-Quran, Surah As Saff, Ayat 4), yang bermaksud kita diminta menyusun barisan seolah-olah berada dalam “satu binaan tersusun kukuh”.

Kesimpulannya, faktor utama merosakkan perjuangan membina kekuatan ekonomi dan dapat menyelamatkan Melayu daripada terus tercicir terletak pada budaya politik golongan berkuasa. Jika kita selama ini lemah, puncanya kerana budaya politik di golongan berkuasa yang melemahkan.

Misalnya, budaya politik yang hanya mengikut dan meniru saja segala rentak dan cara Cina (atau Barat) berbisnes, tanpa menyelami kesannya memudaratkan kepentingan Melayu. Pemikiran mempengaruhi ideologi politik seperti ini wajib dirombak dan diketepikan. Kejayaan bisnes untuk membina kekuatan serta keperkasaan ekonomi Melayu tidak dapat dicapai selagi ideologi politik dan susunan strategi tidak didasarkan kepada kaedah diserasikan dengan minda Melayu. Selagi ini berlaku, akan terdapat konflik, sama ada dalam individu terbabit, mahu pun semua anggota masyarakat. Kesannya, perpaduan Melayu terancam dan sukar hendak disatukan kembali.

Selain itu, jika sikap mementingkan individu diteruskan, ia menjadi punca utama majoriti Melayu menganggap ramai ahli perniagaan, bisnes dan korporat dalam masyarakat sendiri bersikap rakus. Selagi dasar penswastaan kepada kepentingan individu dengan agresif diperjuangkan, dan selagi GLC serta peranan institusi dinafikan, selagi itu kita akan berpecah dan berkonflik. Pakej dasar dan strategi tidak boleh memandang ringan usaha membela kepentingan Melayu sebagai masyarakat jemaah dengan membiarkan budaya politik Melayu mengenepikan amanah dan tanggungjawab kepemimpinan.

Terima kasih diucapkan kepada Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Artikel tersebut bukan sahaja dihasilkan oleh orang yang cerdik, malah ianya ditulis oleh seseorang yang bijaksana dan mempunyai akal yang panjang (wise). Kepandaian sahaja tidak cukup untuk menjadi arif di dalam sesuatu bidang. Seseorang tersebut mestilah ada pengalaman yang panjang di dalam menentukan hala tuju perjalanan ekonomi negara ini.

Malangnya, di dalam menentukan halatuju negara ini, kerajaan tidak menimba pengalaman daripada mereka yang arif, akan tetapi, kerajaan cuba mendapatkan nasihat dari mereka yang tidak layak untuk menjadi tuan penasihat.

Terima kasih.