Memaparkan catatan dengan label Siri bercakap dengan akal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Siri bercakap dengan akal. Papar semua catatan

Khamis, 13 September 2012

SESUATU YANG LEBIH BAIK DARI INSURAN DAN TAKAFUL. - BAHAGIAN 1




Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 
Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan-Nya

Dari Umar r.a. katanya; "Siapa yang hafaz sebuah hadis dari Nabi SAW  berkenaan fitnah?" Jawab Huzaifah, Aku mendengar baginda bersabda: "Fitnah seorang dalam keluarga, dalam hartanya dan tetangga dapat ditutup (dihapuskan) oleh solat, puasa dan sedekah." 
(Hadis Riwayat Bukhari)



Ini adalah kisah benar!

Ali Muhammad (Bukan nama sebenar) merupakan seorang kakitangan kerajaan berjawatan tetap dan dalam masa yang sama juga merupakan seorang perunding takaful separuh masa bagi sebuah syarikat yang ternama di Malaysia. Beliau baru sahaja menceburkan diri sebagai perunding takaful selama setahun.

Sebelum  Ali Muhammad  menceburkan diri sebagai perunding takaful, pada waktu itu isterinya masih bekerja dan sedikit sebanyak telah membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga termasuk seorang anak sulong yang baru mencecah usia 5 bulan. Namun setelah  Ali Muhammad  menjadi perunding Takaful,  Ali Muhammad  telah memujuk isterinya agar berhenti kerja dan menjaga anak kerana selama ini mereka duduk berjauhan,  Ali Muhammad  di selatan semenanjung dan isterinya di Sepang, Selangor. Tambahan pula  Ali Muhammad yakin dengan kerjaya sambilannya sebagai perunding takaful akan dapat meringankan beban perbelanjaan apabila isterinya berhenti kerja kelak.
Akhirnya si isteri akur dan setuju untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa di Johor Bahru.

Namun, selepas 5 bulan isterinya berhenti kerja dan menjadi suri rumah di Johor Bahru,  Ali Muhammad  pula telah mendapat berita kenaikan pangkat dan akan ditukarkan ke Putrajaya. Timbul rasa menyesal pula kerana rumah yang disewa oleh isteri di Sepang semasa bekerja di sana tidak jauh dari Putrajaya tempat beliau dinaikan pangkat. Kalaulah dia tahu yang dia akan dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Putrajaya, tentu  Ali Muhammad  tidak akan suruh isterinya berhenti kerja. Isterinya juga menyalahkan  Ali Muhammad  kerana keputusan tersebut dianggap tidak tepat.  Ali Muhammad  menjadi serba salah dan bingung dengan keadaan itu. Dia bingung sama ada hendak menerima atau menolak tawaran kenaikan pangkat tersebut

Akhirnya dia memilih untuk menerima tawaran kenaikan pangkat tersebut dan berpindah bersama isteri dan anak ke rumah sewa di Sepang dan berulang alik dari situ ke Putrajaya tempat kerjanya yang baru.

Menjadi perunding takaful secara part time bukannya mudah. Kena jaga prestasi jualan dan dalam masa yang sama terikat dengan komitmen kerja di pejabat.  Ali Muhammad  sedar akan perkara ini dan ia sememangnya memeningkan memandangkan dia masih lagi baru di dalam bidang takaful. Adakalanya dia menjadi stress memikirkan perkara ini kerana telah banyak modal dihabiskan sebagai perunding takaful namun pelanggan tidak juga bertambah. Sudahlah isteri tidak bekerja.  Ali Muhammad  memamg benar-benar tertekan dan mudah sahaja beliau menjadi seorang yang pemarah dan sering mengeluh

Pada suatu hari iaitu pada hari Jumaat,  14 Syaaban 1432 Hijrah / 15 Julai 2011,  Ali Muhammad  telah pergi ke Seremban bersama isteri dan anak atas urusan dengan pejabat peguam bagi proses pembelian rumah yang beliau duduki dan menyewa di Sepang. Ini adalah rumah pertama beliau. Semasa beliau cuba memasuki sebuah kawasan parkir berbayar di bandar Seremban, penghalang parkir telah gagal berfungsi dan tidak naik seperti biasa.



Oleh kerana palang tidak naik,  Ali Muhammad  pun mengundurkan kereta dengan penuh berhati-hati dan perlahan sekali. Semasa hendak mengundurkan kereta, tiba-tiba dia ternampak melalui cermin pandang belakang akan kelibat seorang penunggang motosikal yang tiba-tiba muncul dan berada di belakang keretanya. Lalu penunggang motosikal tersebut terus menghampiri  Ali Muhammad  dan mengetuk pintu cermin kereta dan memandang dengan perasaan tidak puas hati dan marah.  Ali Muhammad  pun turunkan cermin kereta dan memandang tepat muka penunggang motosikal tersebut. Rupanya seorang apek tua dalam usia lebih kurang dekat 60 tahun.

Ali Muhammad yakin yang dia tidak melanggar apek tua tersebut kerana tidak ada sebarang tanda kerosakan pada motosikalnya dan apek tua ersebut tidak pula terjatuh, jauh lagi tercedera. Tiba-tiba apek tua tu pun bersuara .."Ini sapa mau ganti? Sapa mau ganti?" Dia terkejut dan jadi bingung seketika. Diperhatikan apek tua itu dari atas ke bawah, namun tiada apa-apa yang rosak pada motosikalnya dan apek tu pun tidak cedera. Lalu dia pun membuka mulut.. Mau ganti apa? Lu ok je nampak.. moto tak de rosak pun". Apek tua tu sekali lagi bersuara. " Ni sapa mau ganti? sambil menunjukkan ke arah bahagian hadapan  mud guard.


"Eh apek, ini cat calar sikit je, pergi polish sudah boleh hilang la. Apa pasal saya mau ganti pula. Lagi pun bukan saya yang langgar, you yang langgar saya" bentak Ali Muhammad bengang. Tapi apek tua tu tetap tak puas hati. Sekali lagi apek tu bersuara. Kali ni lebih tegas dan diulang tiga kali. "Ni sapa mau ganti? Sapa mau ganti? Sapa mau ganti?".  Ali Muhammad  semakin bertambah geram dengan sikap apek tua tu dan hampir sahaja dia mengeluarkan kata-kata kesat. "Eh eh orang tua ni" bisik hatinya. Namun dia cuba mengawal emosi dan menahan marah yang sedang membuak-buak. Dengan muka yang berkerut,  Ali Muhammad pun mengeluarkan dompet lalu memberikan apek tua tu RM10. "Nah, ambil ni!

Tanpa berlengah, apek tua tu mengambil duit tersebut dan terus sahaja memecut tanpa mengucapkan sepatah kata dan terima kasih. "Eeeee orang tua ni, betul ke tidak dia ni. Geramnya aku!" Jerit  Ali Muhammad  di dalam hati. Kemarahannya semakin membuak. Mukanya merah padam. Namun dia hanya diam membisu menahan kemarahan. Dipandangnya wajah isteri dan anaknya. Masing-masing diam membisu dan tidak berkata sepatah apa pun. Setelah diam seketika, mereka sekeluarga pun beredar dari tempat tersebut dan terus menyambung urusan sehingga selesai.

Setelah selesai urusan di pejabat peguam di Seremban,  Ali Muhammad pun bertolak pulang ke Sepang. Namun hatinya masih berasa marah dengan kejadian yang berlaku.  Padanya apek tua tersebut tidak patut melayannya begitu dan rasa seolah-olah telah ditipu dan dipermainkan. Hatinya benar-benar tidak tenteram dan marah dan dadanya terasa amat sempit sekali. Begitulah keadaannya disepanjang perjalanan dari pejabat peguam sehinggalah hampir ke susur keluar Plaza Tol Seremban.

Namun entah tiba-tiba hati  Ali Muhammad  terdetik dan seperti  ada sesuatu yang berbisik di hatinya agar memaafkan kelakuan Apek tersebut dan menghalalkan sahaja wang RM10 yang diberikan dengan niat sedekah dan bersangka baik. Siapa tahu mungkin apek tersebut dalam keadaan terdesak dan memerlukan wang. Lantas diapun menurut kata hatinya. Tiba-tiba segala rasa kemarahan yang dipendamkan hilang secara tiba-tiba dan dadanya yang sebelum ini berasa sempit terasa begitu lapang sekali selapang-lapangnya. Terasa seperti beban yang teramat berat dipikul tadi hilang entah ke mana. Sungguh ajaib. Jika sebentar tadi mukanya berkerut dan merah padam menahan kemaharan kini wajahnya mampu tersenyum dan ceria kelegaan dan kepuasan. Dia akhirnya berasa tenang dan tenteram sekali dan dalam keadaan tersebut dia memandu  keluar dari plaza tol Seremban menghala ke Nilai.



Semasa di dalam perjalanan di lebuhraya utara selatan di kawasan Seremban - Nilai, berlaku satu keadaan yang tidak diduga. Sewaktu memecut keretanya hampir 100 kilometer sejam, tiba-tiba tayar belakang sebelah kanan sebuah lori ayam (lebih kurang 3 tan berat) yang berada di hadapan tercabut dan melayang. Pada waktu itu, kenderaannya berada di lorong tengah mengekori lori tersebut dalam jarak 6-7 meter di hadapannya. Dengan spontan Ali Muhammad pun menekan brek dan memperlahankan kenderaan. Dia dan isterinya dapat melihat jelas bagaimana tayar lori tersebut melayang dan melantun masuk ke lorong paling kanan lebuh raya. Dia sempat menjeling cermin sisi belakang dan melihat tayar lori tersebut masuk kawasan rumput yang memisahkan lebuh raya menuju ke Utara dan Selatan.  Pada awalnya dia memang mahu memotong lori tersebut, tetapi mujur tindakannya lewat sedikit pada saat tayar lori tersebut tercabut. Mujur juga disebelah lorong paling kanan tiada sebarang kenderaan. Jika tidak sudah tentu akan berlaku kemalangan yang dahsyat dan mengerikan.



Saiz lori 3 tan


Keadaan gawat masih berterusan. Kali ini  Ali Muhammad  melihat lori yang penuh dengan ayam di dalam raga dihadapannya berada dalam keadaan terhoyong hayang ke kiri dan ke kanan seperti hendak terbalik. Percikan api dilihat jelas pada jalan. Jika ikut logik dan hukum fizik lori tersebut mudah terbalik kerana membawa lebih muatan. Ajaibnya entah macam mana pemandu lori dapat mengawal keadaan dan berjaya masuk dan berhenti dilorong kecemasan. Mujur juga tiada kenderaan yang lalu pada sebelah kiri lorong lebuh raya. Kejadian tersebut benar-benar mencemaskan dia dan isterinya. Terasa jantung berdegup kencang. Semuanya berlaku begitu pantas. Namun syukur semuanya selamat dan tiada sebarang kecederaan dan kejadian yang tidak diingini berlaku. Akhirnya mereka berjaya sampai kerumah dengan selamat dan  Ali Muhammad  sempat menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.


Tidak lama selepas itu, bulan Ramadhan pun menjelma. Seperti biasa  Ali Muhammad  akan sentiasa runsing memikirkan kerja Part Timenya sebagai perunding takaful. Pada suatu hari di bulan Ramadhan, dia melakukan operasi pembersihan disebuah bilik perpustakaan kecil di pejabat bersama rakan setugas. Perpustakaan tersebut tidak berfungsi lagi dan hanya menjadi tempat menyimpan dokumen dan buku-buku lama yang tidak digunakan . Setiap buku dan dokumen yang dijumpai pasti akan membelek dengan teliti dan mengambil masa yang lama untuk diasingkan. Ini kerana dia memang seorang yang gemar membaca. Tiba-tiba dia terpandang sebuah buku berwarna merah jambu yang tebal isinya. Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi yang lupa) Jilid 1 & 2. Begitulah tajuknya.

"Eh, ini buku agama rupanya. Tebal betul buku ni"  bisik hati  Ali Muhammad. Sepanjang 30 Tahun usianya dia tidak pernah melihat dan membaca buku agama setebal 1014 muka surat. dia kemudiannya mengambil buku tersebut untuk dibaca dirumah.




Setelah beberapa hari menyimpan buku tersebut dirumahnya, kemudian barulah berkesempatan untuk membaca. Pada suatu malam di pertengahan bulan puasa,  Ali Muhammad  mengambil kitab tersebut lalu terus sahaja membuka pertengahan kitab tersebut secara tidak sengaja. Tertulis di muka surat 465 bertajuk BAB SEDEKAH DAPAT MENGHINDARKAN BALA DARI YANG BERSEDEKAH

Abu-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abul-Faraj Al-Azdi berkata : Nabi Isa a.s berjalan di suatu dusun, sedang didusun itu ada tukang penatu, maka penduduk dusun itu berkata : Ya Isa, tukang penatu itu  selalu merobekkan pakaian kami, lalu ditahannya, kerana itu doakan kepada Allah semoga ia tidak dapat membawa bungkusan baju-baju itu ke rumahnya. Maka Nabi Isa a.s berdoa: Ya Allah, jangan engkau kembalikan ia dengan bungkusan itu, maka pergilah tukang penatu itu untuk menatu pakaian dan membawa tiga potong roti, tiba-tiba seorang Abid yang biasa bertapa di bukit memberi salam kepada tukang penatu dan bertanya: Apakah engkau mempunyai roti untuk kau berikan kepadaku, atau perlihatkan saja kepadaku untuk dicium baunya sebab aku tidak makan sejak lama, maka langsung diberikan sepotong roti, maka berdoa si Abid : Ya Qashar gahafara' Allah laka dzanbaka wathahhara qalbaka (semoga Allah mengampunkan dosamu dan mensucikan hatimu)
Maka diberikan sepotong lagi, maka didoakan : Ghafara Allahu laka ma taqaddama min dzanbika wama ta'akhkhara (Semoga Allah mengampunkan bagimu dosamu yang alalu dan yang akan datang) lalu diberi sepotong roti, lalu ia berdoa: Ya qashshar bana Allahu laka Qashran filjannati (Semoga Allah membangun untukmu gedung di sorga). Maka kembali tukang penatu di waktu sore selamat. Ketika orang dusun melihat tukang penatu kembali selamat, langsung mereka lapor kepada Nabi Isa a.s bahawa tukang penatu itu telah kembali selamat. Nabi Isa a.s berkata: Panggilah ia ke sini, dan ketika datang menghadap nabi Isa beliau ditanya : Apakah engkau kerjakan hari ini hai tukang penatu? Jawabnya: Saya tadi didatangi seorang Abid yang biasa beribadat di atas bukit, dan minta makanan kepadaku, maka saya berikan kepadanya tiga potong rotiku, dan pada tiap potong ia berdoa. Nabi Isa berkata: Coba serahkan kepadaku bungkusanmu untuk aku lihat, maka ketika dibuka oleh Nabi Isa a.s terdapat didalamnya ular yang hitam terikat mulutnya dengan kendali besi. Nabi Isa a.s bertanya: Hai ular. Jawabnya: Labbaika ya Nabiya Allah. Tidakkah kau diutus untuk orang ini? Jawabnya: Benar. Tetapi ketika ia kedatangan Abid dari bukit dan minta makan kepadanya, maka tiap roti yang diberikan kepadanya berdoa dan diaminkan oleh malaikat maka Allah mengutus Malaikat datang untuk mengendalikan aku dengan kendali besi. Maka nabi Isa a.s berkata: Hai tukang penatu, perbaikilah amal perbuatanmu, maka sungguh Allah telah mengampunkan bagi berkat sedekahmu.
*Tukang penatu adalah seorang tukang cuci (Kamus Indonesia)
"Hmmm... ajaib! Hanya kerana 3 potong roti yang diberikan kepada orang yang meminta, maka dia (tukang penatu) terselamat dari patukan ular yang dihantar sebagai hukuman dosanya" bisik hati Ali Muhammad. Kemudian  dia melanjutkan bacaan lagi.

Abu-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Salim bin Abil-Ja'di berkata :
Ada seorang wanita keluar membawa anaknya, tiba-tiba anak itu diterkam serigala, maka dikejar oleh ibunya. Tiba-tiba ada peminta-minta, maka diberikan roti yang ditangannya kepada peminta-minta itu. Tiba-tiba datang serigala itu mengembalikan anaknya kepadanya. Lalu ia mendengar suara sesuap dengan sesuap. 

"Ini sungguh ajaib! Bagaimana mungkin serigala dapat mengembalikan  mangsanya seorang anak yang diterkam kepada ibunya hanya kerana ibunya memberikan roti kepada orang yang meminta-minta." Begitulah bisik hatinya lagi. Tiba-tiba Ali Muhammad teringat akan kejadian tempoh hari di kawasan parkir di bandar Seremban dan di Plus Highway -  jalan Seremban ke KL pada 14 Syaaban 1432 hijrah/ 15 Julai 2011. Wajah seorang apek tua bermotosikal, RM 10, sebuah lori ayam dan tayar belakangnya tercabut terbayang dan berlegar dikepalanya. Kemudian hatinya dengan spontan berbisik lagi, "Sungguh ini lebih baik dari Insurans dan Takaful. Dia membelek lagi kita tersebut. Kali ini dia pergi ke bahagian Isi Kandungan menilik tajuk-tajuk yang ada di dalamnya. Muka surat 452 - Tajuk : Fadhilah Keutamaan Sedekah.
Abu Laits as-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar al-Ghifari r.a. berkata:
‘Solat itu sendi agama, dan jihad sebagai tulang punggung (setinggi) amal, dan sedekah itu suatu yang ajaib (baik) (disebut tiga kali). 
Dan ketika ditanya tentang puasa. 
Jawabnya: Itu untuk taqarrub kepada Allah dan tidak ada kelebihannya. 
Ditanya: Sedekah yang manakah yang lebih utama? 
Jawabnya: Yang terbanyak, kemudian menyebutkan kamu tidak akan dapat mencapai bakti yang benar-benar, sehingga mengorbankan apa yang sangat engkau suka. 
Ditanya: Jika tidak mempunyai? 
Jawabnya: Kelebihan makanan. 
Ditanya: Jika tidak mempunyai?
Jawabnya: Membantu dengan kekuatan tenaganya. 
Ditanya: Jika tidak mempunyai? 
Jawabnya: Menjaga diri dari api neraka walaupun dengan sedekah separuh dari sebiji kurma. 
Ditanya: Jika tidak mempunyai? 
Jawabnya: Menahan diri, yakni tidak menggangu orang. 
(Di lain riwayat semua keterangan ini adalah dari Rasulullah saw.)
"Hmmm... benarkah sedekah itu dapat memberikan keajaiban kepada orang yang bersedekah?" Ali Muhammad berbisik tanya di dalam hati. Dia melanjutkan bacaanya lagi.

Nabi s.a.w bersabda : Jagalah harta kekayaanmu dengan mengeluarkan zakat, dan obatilah orang-orang yang sakit dengan bersedekah dan  hadapilah berbagai macam bala itu dengan doa (berdoa)
Abdurrahman Assalamani Maula dari Umar r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda:
 Jika datang seorang minta-minta maka jangan kamu putus permintaannya sehingga selesai permintaannya, kemudian kamu jawab dengan sopan dan lunak, dengan memberi sedikit atau penolakan yang baik, sebab adakalanya yang datang kepadamu itu bukan manusia dan bukan jin hanya sekadar menguji kamu, bagaimana kamu berbuat terhadap nikmat yang telah diberikan Allah kepadamu.

Ali Muhammad termenung seketika. Hatinya sekali lagi berbisik. " Apakah benar orang yang sakit itu boleh disembuhkan hanya dengan mengeluarkan sedekah sahaja? Siapakah apek tua yang naik motosikal hari tu dan meminta wang dari aku?" Kitab Tanbihul Ghafilin itu dibacanya lagi.
Said bin Mas'ud Alkindi berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiada seorang yang bersedekah pada siang hari atau malam hari melainkan terpelihara pada hari itu dari mati tergigit binatang berbisa atau kejatuhan bangunan atau mati mendadak"
Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda:
 Tidak akan berkurang harta kerana sedekah  dan tiada seorang yang memaafkan sesuatu aniya kedhaliman melainkan Allah menambah kemuliaannya dan tiada seorang yang tawadhu' (merendah) kerana Allah melainkan Allah menaikkan derajatnya.
Ikrimah dari Ibn Abbas r.a berkata: Dua dari Allah Ta'ala, kemudian membaca ayat:

 الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاء وَاللّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلاً وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu Dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan Yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya. (Al-Baqarah -268)

Abdullah bin Mas'ud r.a berkata:
Jika engkau dapat meletakkan tabunganmu (simpananmu ditempat yang tidak dapat dimakan oleh ulat dan tidak terambil oleh pencuri, maka laksanakanlah, iaitu dengan sedekah.

 Abul-Laits r.a berkata:
Bersedekahlan dengan yang sedikit atau banyak, sebab sedekah itu mengandungi sepuluh kebaikan, lima di dunia dan lima diakherat. Adapun yang di dunia maka: 1. Membersihkan harta kekayaan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w : Ala innal bai'a yah dhuruhul laghwu, walhalifu walkadzibu fasyubuhu bissadaqati (Ingatlah bahawa jual beli selalu diliputi laghghu, sumpah dan dusta, kerana itu selingilah (campurlah dengan sedekah). 2. Membersihkan badan dari dosa-dosa, sebagaimana firman Allah : Khudz min amwalihim shdaqatan  tuthhhiruhum watuzakkihim biha. (Ambillah dari harta mereka  sebagai sedekah untuk membersihkan dan mensucikan mereka. 3. Menolak bala' dan penyakit, sebagaimana sabda Nabi s.a.w: Dawu mardhakum bishshadaqati (Obatilah orang-orang sakit itu dengan sedekah). 4. Menyenangkan hati orang miskin, sedang sebaik-baik amal menyenangkan kepada orang mu'min. 5. Menjadikan berkat dalam harta, dan luas rizqi, sebagaimana firman Allah: Wama anfaqtum min syai in fahuwa yukhlifuhu (Dan semua yang kamu sedekahkan maka Allah akan menggantinya).                                                                        
Adapun lima yang di akherat, maka:
1. Sedekah itu akan menjadi naungan baginya. 2. Sedekah itu akan meringankan hisab perhitungan amalnya. 3 Memberatkan timbangan amal kebaikannya. 4. Memudahkan menyeberang di atas shirat. 5. Bertambah derajat di sorga.

"Apakah benar-benar sedekah itu dapat mengubati orang yang sakit dan dapat menolak bala'?" Ali Muhammad tertanya-tanya di dalam hati. Dan pertanyaan itu sememangnya membuatkan dia tidak senang dan gelisah kerana apa yang dia baca di dalam kitab tersebut bercanggah dengan kepercayaannya selama ini. Sebagai seorang ejen takaful dia meyakini bahawa insuran dan takaful itu sudah pasti akan memudahkan orang yang sakit untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital swasta dan sudah pasti kebarangkalian untuk sembuh itu adalah tinggi kerana kemudahan perubatan yang canggih dan terbaik disediakan di hospital-hospital swasta.

Apa yang diajarkan di dalam bidang insurans dan takaful ialah insurans dan takaful itu bertujuan  untuk meringankan atau mengurangkan risiko kehilangan pendapatan atau nilai ekonomi apabila seseorang itu ditimpa bencana, kemalangan mahupun penyakit kritikal. Namun, apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w jauh lebih baik kesannya berbanding skim insurans dan takaful.

Dari persoalan dan keraguan yang timbul itu, maka Ali Muhammad mula mencari dan mendapatkan kitab-kitab yang berkaitan dengan bab sedekah. Dia juga cuba Google untuk mendapatkan info berkaitan sedekah. Nah! hasilnya bukan kepalang sedikit, bahkan terlalu banyak bukti penulisan yang jelas menunjukkan keajaiban sedekah. Lebih dari itu, dia juga menemui bukti di depan mata, apabila anak buahnya di pejabat yang disangka tiada harapan kerana hatinya telah rosak, akhirnya telah pulih sembuh kerana ada penderma organ disaat akhir. Apabila ditanya apakah ada amalan khusus yang dilakukan?  Jawapnya ialah SEDEKAH! Kedua ibu-bapanya telah menghabiskan wang RM10,000 dengan memberi makan kepada ahli jemaah masjid sepanjang tempoh sakit.

Ali Muhammad menjadi sedikit bingung dan kusut pada mulanya. Namun setelah diteliti dan dibuat sedikit kajian, dia semakin yakin atas apa yang telah Rasulullah s.a.w ajarkan. Sekarang dia perlu melakukan penilaian yang terperinci dan itulah azamnya. Dia perlu menilai semula sistem insuran dan takaful dari sudut pandangan agama. Entah bagaimana keinginannya itu timbul dan membuak-buak. Dia merasakan seperti ada yang tidak kena pada sistem insurans dan takaful walaupun sistem takaful itu sendiri dianggap lebih baik berbanding insurans konvesional kerana faktor akad serta niat transaksi dan ini telah disahkan oleh Majlis Fatwa. Dia merasakan bahawa isu takaful ini sama seperti isu perbankan Islam yang merupakan "riba melalui pintu belakang". Mungkin juga ia mengukuhkan lagi sistem riba sedia ada atau paling tidak ia menyokong kepada sistem riba itu sendiri.

Ali Muhammad begitu bersyukur sekali kerana telah diberikan petunjuk akan sesuatu yang lebih baik buat dirinya dan keluarga. Peristiwa ini telah membuat dia berubah secara mendadak. Berasa diri lebih tenang dan yakin berbanding sebelumnya.

Sedekah dapat menolak bala petaka dan menyembuhkan penyakit. Manakala insurans dan takaful itu hanya dapat menyediakan satu bentuk pampasan berupa wang sekiranya ditimpa petaka. Yang pertama (sedekah) bersifat proaktif@mencegah, menghalang, menghapus dan menyembuhkan dengan cara yang tidak disangka kerana mendapat pertolongan langsung dari Allah. Manakala yang kedua (Insuran dan takaful) hanya bersifat reaksi@reaktif, iaitu selepas petaka menimpa dan hasilnya belum pasti kerana ia bergantung kepada sistem yang dicipta oleh manusia yang pasti ada kekurangannya. Apatah lagi ia bersandarkan kepada sistem kewangan yang ternyata berhubungan langsung dengan riba (juga riba pintu belakang).

Nah! Jika diminta agar dipilih salah satu antara duanya, yang mana satukah akan menjadi pilihan?

Solawat!

bersambung....Insya Allah.


Isnin, 3 Oktober 2011

Bersih & Berkorban

Ramadhan dan Syawal telah berlalu. Zulkaedah tiba dan Zulhijjah menanti.


Syukur diucapkan kerana telah diberi kesempatan membersihkan jiwa dengan 'Air Ramadhan' dan diberikan 'Pakaian Syawal' sebagai tanda kita telah kembali kepada fitrah kejadian kita : Bersih dan suci pada batinnya dan sekadar mencukupi keperluan zahirnya dan terdidik nafsunya supaya cenderung ke arah kebaikan.


Kini kita berada pada bulan Zulkaedah - bulan persediaan untuk menunaikan ibadah haji dan korban pada bulan berikutnya, Zulhijjah.


Akhir zaman ini manusia kebanyakkan bersifat tamak dan terlalu ingin bermewah-mewahan dan bersenang-senang. Sifat ini bukannya fitrah suci manusia melainkan semata-mata keinginan haiwani. Lihat sahaja budaya kepenggunaan atau consumerisme, pelbagai produk disajikan atas nama kemudahan dan bertujuan memudahkan tugas manusia, tetapi hakikatnya produk dikeluarkan bagi tujuan mencari untung semata dengan mengambil kesempatan ke atas nafsu serakah manusia..


Maka berlakulah persaingan dikalangan syarikat-syarikat pengeluar yang mengeluarkan barang sama dengan membuat sedikit ubahsuai dan penambahbaikan bagi membuktikan mereka lebih maju kehadapan berbanding pesaing mereka. Selepas itu berbondong-bondong orang ramai mendapatkan produk yang lebih maju dan terkini itu kononnya ia lebih memudahkan dan meningkatkan taraf hidup.


Hakikatnya telah berlaku banyak pembaziran dan merosakan bumi. Mereka telah menggunakan hasil bumi dengan boros demi mencari keuntungan yang sedikit. Lihat sahaja pencemaran disana sini. Mengapa perlu ada banyak syarikat yang bersaing pada hal mereka mengeluarkan produk yang sama?


Nanti ada orang yang berkata "Mana boleh macam tu! Kalau satu syarikat yang monopoli, nanti penggunalah yang akan dibuli. Syarikat boleh sesuka hati menaikkan harga barang."


Teori Demand & Supply menyatakan jika permintaan barangan di dalam sesuatu pasaran itu meningkat, maka kemungkinan harga barang tersebut juga akan meningkat disebabkan ramai orang memerlukan barang yang terhad. Kononnya ini membuktikan barang tersebut adalah sesuatu yang berharga. Ya betul, barang tersebut adalah sesuatu yang berharga bagi orang-orang yang sentiasa memenuhi nafsu syahwatnya sahaja dan bukannya bagi orang-orang yang sentiasa menahan diri dan mendidik nafsunya.


Bagi si pengeluar dan pembuat barang-barang pula, pertama sekali yang difikirkan adalah bagaimana cara membuat untung. Mereka sentiasa memikirkan cara bagaimana membuat keuntungan ke atas masyarakat disekelilingnya. Ditambah pula dengan teori strategi pemasaran yang telah bayak dibangunkan oleh tokoh-tokoh dibarat, maka tipu daya juga semakin bertambah kompleks dan sukar dimengerti (Fikirkan cara bagaimana skim cepat kaya dan MLM berfungsi). Cara lama yang paling biasa digunakan ialah dengan menyorokkan barangan dan menghadkan pengeluaran. Apabila barang terhad, orang ramai menjadi panik seperti penagih dadah. Kelihatan orang ramai terdesak. Zasssss.... harga dinaikkan. Tiada pilihan. Satu kosong. Kemenangan di pihak pengeluar dan kekalahan di pihak pengguna. Tapi cara ini mudah dikesan oleh orang ramai dan pihak berkuasa.  




Hak Cipta
Ilmu pada hari ini mulianya adalah pada kedudukan nombor dua. Yang paling mulia adalah wang. Sampaikan koleksi doa-doa kesukaan Rasullah yang mereka cetak untuk dijual kepada orang ramai tertulis "Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi dan isi kandungan buku ini dalam apa jua bentuk dan dengan apa cara sekalipun, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada ................. Sdn Bhd.". Untungnya mereka ini bukan sahaja mendapat pahala. Bahkan wang ringgit juga mereka perolehi setiap kali buku kecil berharga RM 5.90 di Semenanjung dan RM 8.90 di Sabah dan Sarawak ini diulang cetak. Kalau nak cerita pasal isu hak cipta ni memang panjang lebar. Ia merangkumi hampir keseluruhan ciptaan & teknologi yang dibangunkan oleh manusia. Ilmu yang diperolehi tidak diamalkan dengan niat yang murni dan suci melainkan terdapat keinginan untuk mendapatkan keuntungan yang sedikit di dunia.


Yang paling untung sekali adalah bank. Merekalah yang paling atas sekali di dalam rantaian makanan kewangan. Syarikat pengeluar dan pengguna sentiasa berada di bawah mereka. Mereka ini (bank) ibarat bookie bola yang mengatur perlawanan di antara pasukan pengeluar dengan pasukan pengguna. Modal mereka hanyalah wang, wang dan wang. Mereka membuat keuntungan kewangan dengan hanya bermodalkan kewangan. Sungguh mudah. Kata orang putih ' They make money out of thin air'. 


Begitulah kebanyakkan manusia pada hari ini. Di dalam kehidupan seharian mereka memberikan sesuatu yang sedikit kepada yang lain dengan harapan untuk memperolehi sesuatu yang lebih banyak daripada orang lain. Mereka ini lebih banyak mengambil berbanding memberi. Jika begini, bagaimanakah boleh diharapkan pengorbanan daripada mereka ini? Sanggupkan mereka berkorban? Hanya mereka yang benar-benar bersih jiwanya yang sanggup berkorban.


Bersambung nanti...insya Allah

Jumaat, 17 Disember 2010

ZIKIR: UNGGULNYA JIKA, DAHSYATNYA JIKA.



"Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya." (QS. Al Ahzâb: 41).

"Dan laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar." (QS. Al Ahzâb: 35).

"Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung." (QS. Al Anfâl: 45).

"(Yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring." (QS. Âli 'Imrân: 191).

"Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-bangga-kan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak dari itu." (QS. Al Baqarah: 200).

Di dalam Al Qur'an, Allah Subhaanahu Wa Ta'ala tidak pernah menyebutkan suatu ibadah yang secara khusus diperintahkan untuk diperbanyak selain zikir. Maka, marilah perbanyak zikir sejak sekarang, sebab jika tidak, anda harus berhati-hati terhadap peringatan Allah dalam ayat berikut ini,

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk shalat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan shalat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut nama Allah, kecuali sedikit sekali." (QS. An-Nisâ': 142).

Sudahkah anda membaca ayat di atas dengan hati terbuka? Sedikit mengingat Allah adalah sifat orang-orang munafik. Maka segeralah, jangan lewatkan waktu-waktu anda tanpa mengingat Allah. Berangkat ke sekolah, ke kampus, tempat kerja, bersukan, bahkan ketika hendak masuk ke kamar kecil sekalipun, kita diperintahkan untuk mengingatinya dengan doa.

Ibadah zikir termasuk ibadah yang paling mudah. Tidak memerlukan banyak waktu, dapat dilakukan  di mana saja, dengan atau tanpa wudhu, bahkan oleh wanita yang datang bulan sekalipun. Ya, tanpa halangan.
Tidak ada yang sukar, anda tidak perlu melakukan apa-apa melainkan "mula berzikir".

Tetapi ibadah ini menuntut kekerapan yang tinggi, dilakukan selalu, dan bukan ketika sempat saja. Mengapa demikian? Anda mesti tahu makna zikir terlebih dahulu. Zikir pada dasarnya adalah "tidak lupa", iaitu "ingat" yang lawannya adalah lupa. Mungkinkah anda mengingat Allah sebentar, kemudian mengatakan, "Beginilah cara berzikir yang benar?" Tentu saja tidak demikian. Akan tetapi zikir selalu terkait dengan pengertian "banyak" dan "sering".


Keutamaan Berzikir

Allah Taala berfirman:
"Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, niscaya Aku ingat (pula) kepadamu... (Al-Baqarah, 2:152).

Menakjubkan! Hanya dengan banyak mengingat Allah, Allah pun akan mengingat kita. Adakah kebahagiaan dan keberuntungan yang lebih besar daripada ketika seorang hamba yang lemah dan fakir diingat oleh Sang Pencipta Alam Semesta?

Perhatikan pula sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam,
"Allah Taala berfirman, 'Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku kepada-Ku, Aku bersamanya (dengan ilmu dan rahmat) bila dia mengingat Aku. Jika dia mengingat-Ku dalam dirinya, Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia menyebut nama-Ku dalam suatu perkumpulan, Aku menyebutnya dalam perkumpulan yang lebih baik dari mereka…. (HR. Bukhârî dan Muslim)

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam pernah keluar menemui para sahabat. Beliau ternyata sedang mendapatkan mereka sedang duduk-duduk. Lantas beliau bertanya, "Apa yang membuat kalian duduk (di sini)?" Para sahabat menjawab, "Kami duduk untuk berzikir kepada Allah, Wahai Rasulullah." Rasulullah pun kembali bertanya, "Demi Allah, kalian tidak duduk selain kerana itu?" Mereka menjawab, "Demi Allah, kami tidak duduk selain kerana itu." Rasulullah  pun bersabda, "Aku tidaklah menanyakannya (dengan meminta sumpah) kepada kalian kerana curiga, namun kerana aku mendapat berita bahwa Allah sedang membanggakan kalian di hadapan para malaikat-Nya." (HR. Muslim).

Bayangkan, Allah Subhaanahu Wa Ta'ala bersama anda , Allah bahkan membanggakan anda di hadapan para malaikat-Nya! Jika anda mengingat-Nya.
Masih kaitannya dengan zikir, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda:

مَثَلُ الَّذِيْ يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِيْ لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ
"Perumpamaan orang yang ingat akan Rabbnya dengan orang yang tidak ingat Rabbnya laksana orang yang hidup dengan orang yang mati." (HR. Bukhârî).
Camkan hadis ini dan renungkanlah baik-baik, apabila anda tidak berzikir dan mengingat Allah, maka anda adalah orang mati. Sebab zikir adalah nyawanya hati, sehingga orang yang tidak berzikir hatinya akan mati.

Sekarang, tanyakanlah pada diri anda, 'Di manakah diri anda dari dua perumpamaan itu? Masih hidupkah anda atau anda hanyalah mayat berjalan?

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam juga bersabda,
"Mahukah kamu, aku tunjukkan perbuatanmu yang terbaik, paling suci di sisi Rajamu (Allah), dan paling mengangkat darjatmu; lebih baik bagimu dari infaq emas atau perak, dan lebih baik bagimu daripada bertemu dengan musuhmu, lantas kamu memenggal lehernya atau mereka memenggal lehermu?" Para sahabat yang hadir berkata, "Mau (wahai Rasulullah)!" Beliau bersabda, "Zikir kepada Allah Yang Maha Tinggi." (HR. At-Tirmidzî, Ibnu Mâjah. Lihat pula Shahih Tirmidzî 3/139 dan Shahih Ibnu Mâjah 2/316).

Jika Anda Enggan Berzikir

"Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta." Berkatalah ia, "Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?" Allah berfirman, "Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat kami, maka kamu melupakan-nya, dan begitu (pula) pada hari Ini kamu pun dilupakan." (QS. Thâha: 124-126).

"Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya setan (yang menyesatkan) Maka setan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya." (QS. Az-Zukhruf: 36).

"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (QS. Al Munâfiqûn: 9).

Setelah membaca ketiga ayat di atas, menurut anda, apa yang akan menimpa orang-orang yang tidak mau berzikir? Kehidupan yang sempit, dibangkitkan di akhirat dalam keadaan buta, temannya adalah setan, dan menjadi orang yang rugi.

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda:
Barangsiapa yang duduk di suatu tempat, lalu tidak berzikir kepada Allah di dalamnya, niscaya akan menjadi penyesalan baginya (di hari Kiamat) dan barangsiapa yang berbaring dalam suatu tempat lalu tidak berzikir kepada Allah, niscaya akan menjadi penyesalan baginya (di hari Kiamat) (HR. Abû Dâwûd; Shahihul Jaami 5/342).

Ya Allah, jadikanlah kami termasuk orang-orang yang Engkau sebutkan dalam ayat ini,
"Dan laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah." (QS. Al Ahzâb: 35).

Dipetik dan diubahsuai daripada sesawang http://ashar85.multiply.com/journal/item/35

Khamis, 23 Julai 2009

SYIRIK MODEN



Suatu hari Bujang diarahkan oleh pegawai atasan pergi meninjau dua buah kuaters kerajaan yang telah lama tidak dihuni. Selain itu Bujang juga diarahkan supaya memindahkan barang-barang yang ada di rumah berkenaan ke tempat yang lain. Bujang telah memutuskan untuk menempah sebuah lori 3 tan dan menaikinya bersama beberapa orang pekerja yang lain. Bujang pun bertolak menuju destinasi tanpa menyedari gerak gerinya diperhatikan. Setelah selesai kerja, Bujang pun pulang ke pejabat dan bertembung dengan Puan Su. Maka berlakulah perbualan antara mereka.

Puan Su : "Kamu pergi ke mana tadi Bujang?"
Bujang : "Pergi tengok kuaters di Bukit Saujana puan. Staf-staf yang lain pun ada ikut sekali tolong bantu. Banyak yang rosak. Orang dulu yang duduk di situ tak jaga elok-elok."
Puan Su : "Saya nampak kamu naik lori tadi. Kenapa tak minta kereta khas untuk kamu?. Budak-budak di pejabat ini bukan main gelak lagi sambil kutuk bila nampak kamu naik lori dengan pakai tie. Lain kali mintalah kereta. Kamu tu kan pegawai, kena jaga maruah dan taraf tu sikit. Staf kamu yang lain di pejabat pun turut gelakkan kamu juga tau."
Bujang : "Tak pe lah… jimat sikit duit kerajaan. Kalau naik kereta nanti dah membazir minyak dan pemandu", jawab Bujang dalam nada kurang senang.
Setelah selesai, Bujang pun pulang ke pejabat. Dalam perjalanan, Bujang terfikir tentang kata-kata Puan Su. Apakah benar maruah dan imejnya jatuh hanya kerana menaiki sebuah lori pada waktu bekerja? Adakah kerana Bujang seorang pegawai, maka imej dan tarafnya terjelepok bila menaiki sebuah lori? Taraf di mata siapa? Di mata staf bawahan, rakan sekerja & pegawai atasan ?
PERSEPSI. Ia adalah cara bagaimana seseorang itu menilai sesuatu yang dipandang. Mungkin benar apa yang dinyatakan oleh Puan Su. Tapi benar di sudut mana? Kebanyakkan orang mempunyai persepsi yang sama seperti Puan Su. Kebanyakkan orang menganggap bahawa imej seorang pegawai mestilah kemas, segak dan kenderaan yang dinaikinya juga harus mantap dan bukannya menaiki motosikal atau kereta kancil atau kelisa apatah lagi kalau menaiki sebuah lori.
Tapi apa sebenarnya itu persepsi? Barangkali ia juga boleh dikatakan sebagai kepercayaan.
Tidak timbul soal imej dan taraf seseorang itu jatuh atau tercalar hanya kerana menaiki lori. Lori tidak mempunyai sebarang kuasa untuk merendahkan taraf seseorang yang menaikinya. Begitu juga dengan kenderaan mewah, wang, kekayaan, dan jawatan semuanya tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan atau menaikan imej seseorang melainkan hanya persepsi yang timbul dan bermain di minda dan jiwa. Mungkin ini berlaku dalam masyarakat kita kerana terperangkap dalam budaya negatif konsumerisme yang berasal dari Barat.