Memaparkan catatan dengan label Imam Hussein. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Imam Hussein. Papar semua catatan

Khamis, 14 November 2013

Menangislah, nescaya engkau akan mengetahui dan mengerti



Wahai saudaraku,

Di manakah kita hari ini, di hari yang mana air mata Rasulullah s.a.w.a mengalir dengan derasnya tanpa henti, 
di hari yang mana para malaikat turun berkali-kali mengucapkan takziah kepada Al Mustafa s.a.w.? 

Malanglah bagi yang sedang gelak ketawa dan bergembira sedangkan Nabi s.a.w. bercucuran air mata. 

Tidak engkau pernah mendengar Nabi s.a.w pernah berkata, 
"sekiranya kalian mengetahui akan apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis?

Tidakkah engkau ketahui bahawa penghuni syurga itu dulunya di dunia mereka orang yang mengetahui dan sering bergenang matanya?

Tidakkah engkau mengerti hati yang lembut itu kerana selalu insaf diri?

Tidakkah engkau ketahui bahawa penghuni neraka itu dahulunya mereka jahil dan sering ketawa?

Tidakkah engkau mengerti hati yang keras itu kerana banyaknya gembira dan bersukaria?

Tidakkah engkau memahami bahawa hati yang halus dan lembut itu akan membawa engkau banyak melihat lalu membuatkan engkau lebih mengerti?

Bersabarlah! Kerana kita sesungguhnya sedang berperang melawan syirik dalam diri

Maka menangislah wahai saudaraku, nescaya engkau akan mengetahui!

Menangislah, nescaya engkau akan mengenal diri!

Menangislah, nescaya hati engkau akan tenang!

Menangislah, nescaya engkau akan menang!

Menangislah, nescaya engkau akan sejati dan abadi walaupun jasad tersungkur menyembah bumi!

Kerana hal itu hanya dapat dicapai jika engkau memahami dan mengerti hakikat keluarga nabi yang suci.


Salam sejahtera ke atasmu wahai Abi Abdillah, Penghulu Pemuda di Syurga.


اللهم صلي على محمد و ال محمد الائمة و المهديين و سلم تسليما كثيرا 




Fenomena Zaman
10 Muharram 1435 H

Rabu, 13 November 2013

APAKAH MAKNA KATA-KATA IMAM HUSSEIN (AS) DI DALAM DOA ARAFAH: TUHANKU KELUARKANLAH AKU DARIPADA KEHINAAN DIRIKU DAN SUCIKANLAH AKU DARIPADA PERASAAN SYAK DAN KESYIRIKANKU?

Soalan 27 - Berbagai Jenis Syirik

APAKAH MAKNA KATA-KATA IMAM HUSSEIN (AS) DI DALAM DOA ARAFAH: TUHANKU KELUARKANLAH AKU DARIPADA KEHINAAN DIRIKU DAN SUCIKANLAH AKU DARIPADA PERASAAN SYAK DAN KESYIRIKANKU?

Jawapan:

Syirik itu berbagai jenis, antaranya:

1. Syirik Zahir (yang nyata): ia terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya: Syirik yang terang-terangan di dalam akidah seperti menyembah patung dan berhala, serta menyembah ulama sesat yang tidak beramal (dengan ilmunya), mereka adalah berhala-berhala yang mempunyai lidah. Sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran yang mulia (1), daripada Rasulullah (sawas) dan daripada para Aimmah (ahms) yang mencela orang-orang Yahudi, yang mentaati ulama mereka dalam memaksiati Allah, lantas menyembah mereka dengan perbuatan tersebut (2).

2. Syirik Khafi (tersembunyi): antaranya adalah riya’ dengan segala jenisnya. Ia bukan tawajjuh kepada makhluk semata-mata di dalam menunaikan hajat-hajat mereka, tanpa tawajjuh kepada Allah SWT sebagai Maha Menunaikan hajat (yang memberi kepada orang yang meminta kepadaNya dan juga orang yang tidak meminta kepadaNya sebagai belas kasihan dan rahmat daripadaNya). Tawajjuh kepada makhluk tanpa Allah SWT ini adalah KUFUR kepada Allah. Malangnya inilah situasi yang berleluasa di kalangan umat manusia hari ini. Ia adalah tawajjuh kepada manusia beserta dengan tawajjuh kepada Allah dalam menunaikan hajat-hajat, inilah SYIRIK yang tersembunyi. Firman Allah Taala:

Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukanNya juga dengan yang lain. (Yusuf: 106)

Hakikatnya, setiap hamba itu hendaklah bertawajjuh kepada Allah SWT dalam segenap hajatnya dan menganggap hamba-hamba yang menunaikan hajat itu semata-mata wasilah (jalan) serta alat di tangan Allah, yang menggerakkannya sebagaimana yang dikehendakiNya dan kemana jua yang dikehendakiNya untuk menunaikan hajatnya itu. Oleh itu, tawajjuh kepada Allah tidak memudharatkannya untuk bergaul dengan makhluk.

3. Syirik Nafsi (diri): Ia adalah jenis syirik yang paling tersembunyi iaitu keakuan (ana) yang manusia tidak dapat lari daripadanya. Ia adalah kegelapan dan ketiadaan yang tiada cacat celanya (sempurna), di mana tanpanya yang wujud hanyalah Allah SWT. Oleh itu, setiap hamba Allah adalah mempersekutukan Allah berdasarkan makna ini. Imam Hussein (as) memaksudkan syirik daripada makna ini dan perasaan syak yang mengiringinya. Imam Hussein (as) menuntut pembukaan yang nyata (fathul Mubin) dan penghapusan ketiadaan dan kegelapan yang tiada cacat celanya daripada lembaran kewujudannya, di mana tanpanya yang wujud hanyalah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Pemaksa SWT. Seterusnya, Imam Hussein (as) seolah-olah berkata: (Tuhanku, tiada seorang pun yang layak wujud melainkan Engkau. Kewujudanku adalah satu dosa besar yang tiada jalan untuk mengampunkannya melainkan kebinasaanku (fana’) dan kekekalan (baqa’) Engkau yang Maha Suci).

Inilah syak dan syirik dengan paksaan dan bukannya dengan perbuatan, atau dengan kata lainnya wujud dengan asal-usulnya dan bukannya wujud dengan perbuatan. Bermaksud wujud perbuatan menerima, tetapi ianya tidak terlaksana secara perbuatan atau tidak wujud secara luaran. Terdapat titik hitam di dalam fitrah kemanusiaan itu sendiri, yang mana ia adalah ketiadaan dan kegelapan yang tiada cacat celanya. Titik hitam ini adalah tempat letaknya hidung syaitan, yang ditiupkan perasaan was-was menerusinya kepada anak keturunan Adam (3).

Imam Ahmad Al Hassan Al Yamani (as) - Iraq
Kitab al-Mutasyabihat, jilid satu, ms 20-21, soalan 27.

____________________________________________
Nota kaki:

(1) Firman Allah Taala: (Mereka menjadikan orang-orang alimnya, dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah…) At-Tawbah: 31.

(2) Daripada Abu Bashir, daripada Abi Abdillah (as), dia berkata: aku bertanya kepadanya: “Mereka menjadikan orang-orang alimnya, dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah”? Lalu Imam menjawab: “Demi Allah, mereka tidak mengajak manusia untuk menyembah diri mereka, tetapi menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal buat mereka, lantas (manusia) menyembah mereka secara tidak mereka sedari.” Al Kafi, jilid 1, ms 70, hadis 1 dan begitu juga hadis 3.

(3) Telah bersabda Nabi (sawas): Sesungguhnya syaitan itu melekap di hati anak keturunan Adam, ia memiliki hidung seperti hidung anjing. Ia tertutup apabila seseorang hamba itu mengingati Allah Azza wa Jalla. Bihar al-Anwar, jilid 76, ms 49.