ERAMAHDI.NET

Isnin, 6 Februari 2012

SATU LUAHAN HATI




Katakanlah :Tiada yang wujud melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Semua yang ada akan hancur dan pasti musnah melainkan Allah Dzat yang mahasuci.

Ya Rasulullah, Sesungguhnya dirimu dan Ahlul Bait mu telah mengajarkan kepada kami melalui datuk nenek dan kedua ibu bapa kami akan perintah yang datang dari Rabbul Allamin.

Sesungguhnya dirimu manusia yang paling beradab. Dan tiadalah syariat agama itu diturunkan dan disempurnakan kepadamu melainkan dalam keadaan dirimu yang sempurna suci dan paling beradab sekali.
Hanyalah orang-orang yang beradab dan suci yang mampu menerima hidayah dengan izinNya dan mengerti akan syariatmu. Dan semakin beradablah orang-orang yang memegang teguh akan syariatmu ya Rasulullah.

Ya Rasulullah. Dirimu pernah memberitahu bahawa musuh kami itu telah berputus asa untuk menyesatkan dalam perkara yang besar. Dan dirimu telah mengingatkan supaya berhati-hati di dalam perkara yang kecil. Namun selama ini diri kami tidak menyedari dan bersikap tidak acuh.

Dirimu sentiasa memikirkan dan mendahulukan orang lain. Sedang diriku sentiasa memikirkan diriku dan mendahulukan diri.

Ibnu Hisyam memberitahu, bahawa dirimu semasa bayi tidak akan  mahu  menyusu tatkala  saudara  susuan,  anak  kandung  Halimah  alSaadiah  menangis  minta disusukan. Setelah saudara susuanmu tidur kekenyangan barulah dirimu mahu menyusu.

Oh alangkahnya dirimu bagaikan  faham  tentang  keperluan  sifat  mengutamakan  insan  lain. Begitu jugalah sikap dirimu terhadap sepupu-sepupumu dari anak Pakcikmu Abu Thalib di zaman kanak-kanak. Dan begitu jugalah sikap dirimu ke atas umat setelah dewasa dan bergelar Rasul.

Dirimu tidak pernah makan sampai kenyang dan selalu tenang dalam berlapar dan dahaga. Namun diriku makan sampai menjadi malas-malasan dan gelisah memikirkan makanan esok lusa. Dan Saidatina Aisyah memberitahu bahawa inilah bidaah yang pertama oleh umatmu selepas dirimu tiada.

Dirimu selalu bersyukur dengan barang yang sedikit. Sedangkan diriku sentiasa mengeluh walaupun harta sebesar bukit.

Dirimu tetap khusyuk solat walaupun di dalam hujan panah, lembing dan kilauan pedang . Sedangkan diriku terkeluh dihati hanya kerana sesuatu yang berdering disebelah sidang.

Dirimu tidak pernah membalas walaupun disakiti lisan dan badan. Malah dirimu ibarat bunga yang meninggalkan bau harum walaupun hampir luluh di dalam genggaman tangan.

Sedangkan diriku hanya kerana mendengar kelembutan yang tidak menyenangkan walaupun  benar, menyimpan dendam dan amarah seolah-olah ingin membakar segala yang ada berkobar-kobar.

Dirimu selalu menangis mengenangkan nasib umat dan hari akhirat. Sedangkan diriku menangis mengenangkan nasib diri sendiri dan sesuatu yang telah terlewat.

Dirimu menangis tatkala malaikat memberi khabar awal yang cucunda kesayanganmu penghulu pemuda di syurga akan syahid di tangan umat. Sedangkan diriku hanya seronok dan menikmati bubur Asyura setiap kali menjelang 10 Muharam yang ada kalanya jatuh pada hari Jumaat. Oh, betapa jahilnya aku.

Air mata manakah yang lebih mulia? Air mata manakah yang lebih bermakna?

Katakanlah: Airmata kasih dan penuh harapan akan hari kemudian itu lebih mulia dan bermakna berbanding air mata hampa yang penuh duka akan hari semalam. Kerana harapan itu akan jadi kenyataan sedangkan kehampaan itu hanya jadi kenang-kenangan dan sempadan. Sungguhpun begitu keduanya ditinggalkan jangan.

Namun nasib umatmu masih lagi tinggal harapan.

Belum jadi kenyataan.

Sedang menunggu keturunanmu yang akan menjadi Imam Zaman

Yang akan merobah keadaan.

Yang akan menghuraikan kekusutan.

Yang akan menghapuskan kebejatan.

Yang akan mencegah kemungkaran.

Yang akan menukar rupa peradaban.

Yang akan melimpahkan kekayaan dari Ar-Rahman.

Ya Rasulullah! Bagaimanakah diriku boleh mengakui mencintai dirimu sedangkan diriku tidak mengenal  dan tahu akan apa dan siapa yang dicintai oleh mu?

Ya Rasulullah. Dirimu pernah memberitahu. Sekiranya umatmu mengetahui akan apa yang dirimu ketahui, maka umatmu akan sedikit tertawa dan banyak menangis.

Ya Rasulullah. Bagaimanakah diriku mampu mengetahui sedangkan diriku tertawa banyak dan menangis sedikit?

Sungguh diriku tidak tahu.

Namun diriku mahu tahu.

Bagaimanakah maksud doa dirimu yang selalu meminta supaya dijadikan dikalangan orang-orang yang miskin tetapi dalam masa yang sama dirimu juga berdoa agar dijauhkan dari kefakiran?

Bukankah kemiskinan dan kefakiran itu sama sahaja, lalu dipanggil sebagai fakir miskin?

Lalu mengapakah hanya mahu jadi miskin tetapi tidak mahu jadi fakir?

Bagaimanakah boleh wujud pertentangan ini?

Bukankah dirimu telah mengajarkan kepada menantumu Saidina Ali bahawa kebenaran itu tidak ada dua, tidak ada tiga melainkan hanya satu?

Namun kini diriku mengerti.

Kerana Allah menyayangi umatmu, maka dia timpakan kesusahan dan dibiarkan terkapai-kapai di dalam lautan air mata. Kerana Dia ingin mengajarkan umatmu supaya pandai berenang menuju ke daratan yang abadi.

Kerana hanya dengan menempuh jalan kedukaan dan tangisan dengan berserah diri semata-mata kerana Allah dan dirimu itulah yang akan membuatkan umatmu lebih mengetahui.

Maka benarlah dunia ini penjara bagi mukmin. Tiada keseronokan

Dirimu menempuh jalan kemiskinan bukan kerana tidak berharta bermalas-malasan.

Melainkan dirimu miskin kerana habis hartamu diberi kepada orang yang memerlukan.

Melainkan harta yang diamanahkan dan untuk langsaikan hutang, maka itu sahajalah yang dirimu pesan untuk simpan.

Kini diriku mengerti mengapa Siti Khadijah sijanda hartawan tertarik kepada dirimu. Bukan kerana keuntungan barang dagangan. Melainkan kerana sikap dirimu yang selalu mengasihani fakir miskin, anak yatim, janda-janda dan orang-orang yang memerlukan bantuan sehingga semua upah keuntungan yang diberikan Siti Khadijah kepadamu, dalam masa 3 hari habis dibelanjakan.
  
Kini diriku juga mengerti mengapa dirimu berdoa memohon agar dijauhkan daripada kefakiran. Kerana kefakiran itu adalah keadaan orang yang tidak mampu memberi.

Tidak mampu memberi bukan kerana tidak berharta. Tetapi kerana tidak mampu melawan nafsu yang cinta kepada harta dunia sehingga menjadi kedekut, tamak dan rakus serta tidak mengenang budi.

Dirimu memberi hampir segala-galanya dan menyimpan hampir tiada.

Maka kini diriku mengerti akan pesan nenek moyangku dahulu kala :

Biar miskin harta, jangan miskin budi.
Kerana sungguhpun tiada harta masih boleh berbudi dengan jiwa & tulang empat kerat

Biar mati anak, jangan mati adat.
Kerana tidak berguna menyimpan anak yang tidak mengenang budi dan tidak beradab dan beradat.
Itulah hikmah pertemuan nabi Musa bersama muridnya Yushak bin Nun dengan Khidir Alaihisalam. Hanya ahli hakikat sahaja yang dibolehkan melanggar adat dengan izinNya. Melanggar adat demi menjaga adat.

Dan janji Allah kepada Nabi Ibrahim pasti akan dipenuhi. Bumi ini akan diwarisi oleh anak cucunya yang berakal budi dan berhati mulia. Anak cucunya yang akan kembali kepada adat bapanya yang lurus.

Maka bergenanglah air mata apabila membaca ayat-ayat suci Allah serta pesan kata-kata mu Ya Rasulullah

“Sesungguhnya  telah  datang  kepada  kamu  seorang  Rasul  dari kalangan  kamu  (Muhammad  s.a.w),  Yang  menjadi  sangat  berat  kepadanya sebarang  kesusahan  Yang  ditanggung  oleh  kamu,  Yang  sangat  inginkan kebaikan  bagi  kamu,  (dan)  ia  pula  menumpahkan  perasaan  belas  serta  kasih sayangnya kepada orang-orang Yang beriman.” (At-Taubah : 128)

“Tidak  Kami  utuskan  engkau  (Muhammad)  melainkan  sebagai  rahmat untuk sekalian alam.”
(Al-Anbia :107)

“Hanya  sesungguhnya  Aku  dibangkitkan  (sebagai  Rasul)  untuk menyempurnakah kemuliaan akhlak.” (Imam   alBaihaqi   Rahimahullah meriwayatkan daripada Abu Hurairah)

“Aku telah bermohon kepada Tuhanku 3 perkara, dia memberikan kepada 2 perkara dan menahan 1 daripadanya: aku memohon agar umatku tidak binasa  dengan  kebuluran,  maka  doaku  ini  diperkenankan,  aku  memohon  agar umatku  tidak  dimusnahkan  dengan  banjir  besar  yang  melenyapkan  mereka, doaku ini juga diperkenankan, dan aku bermohon agar umatku tidak bermusuh-musuhan   sesama   mereka,  namun   permohonanku   ini   tidak   diperkenankan Tuhan.” (Imam  Muslim  Rahimahullahu  taala  meriwayatkan  daripada ‘Aamir  bin  Saad  daripada  bapanya )                    


Suatu  ketika  sedang  membaca  ayat  alQuran  tentang  azab  di akhirat, baginda mengangkat tangan berdoa dan menyebut. “Umatku.. umatku.. sambil menangis. Lalu Allah SWT berfirman kepada Jibril:   “Wahai Jibril, pergilah kamu kepada Muhammad. Tuhanmu Maha Mengetahui, tanyakan padanya apakah yang membuat dia menangis?  Lalu Jibril A.S mendatangi baginda dan bertanya. Rasulullah  SAW pun menceritakan sebab tangisan baginda. Lantas Allah berfirman kepada Jibril, “Wahai Jibril, Pergi kepada Muhammad dan katakanlah, “Sesungguhnya Kami meredhaimu pada Umatmu dan tidak akan menyakitimu (dengan sebab mereka).”
(Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abdulllah bin Amru bin  Al-Ash  RA.) 

“Untuk  setiap  Nabi diperuntukkan  satu  doa  yang  mustajab  jika  dia bermohon  dengannya,  dan  aku  mahu  menyimpan  doaku   itu  sebagai  Syafaat untuk umatku di akhirat.”
(Hadis diriwayatkan oleh Imam alBukhari daripada Abu Hurairah RA)

Tidak akan sampai kepada Yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani melainkan orang-orang yang tinggi cintanya serta kasih kepada dirimu dan ahli keluargamu melebihi dirinya dan keluarganya sendiri ya Rasulullah.

“Katakanlah  (Wahai  Muhammad):  "Jika  benar  kamu  mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.   dan   (ingatlah),   Allah   Maha   mengampun,   lagi   Maha Mengasihani.” (Ali Imran: 31)

Maka memang benarlah namamu di gelar Yang Terpuji. Dan benarlah yang Terpuji itu menjadi kekasih kepada Yang Dipuji. Tidak akan sampai kepada Yang Dipuji melainkan orang Yang Terpuji. Dan segala puji hanya bagi Allah.

Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Solawat!

16 ulasan:

wangsa berkata...

as salam F.Z.

hanya kini baru aku mahu mengenal hati budi Nabiku dgn sebenar2nya....

habis semua buku2 sekolah sudah kubaca bertahun lamanya....majalah, surat khabar, drama, filem...dan sebagainya....semua aku tatap dan tonton tanpa jemu berulang-kali setiap hari...

tetapi bgmn pula dgn sejarah kehidupan dan perjuangan Nabiku yg terkandung di dalam maulid baginda....??

masa utk berubah....

Tanpa Nama berkata...

salam saudara F.Z,

syahdu...

jika ini luahan hati saudara padanya,luahkanlah pada dia.pasti dia mendengar seruan anda.insyaAllah.:)

salam dan selawat buatnya...

-Annur-

Fenomena Zaman berkata...

Waalaikumussalam Warahmatullah

Buat wangsa, saya juga seperti kamu. Mencari sesuatu di dalam Sunnah Nabi. Tiba-tiba saya berasakan bahawa semua khazanah "emas" dan kebahagian ada di dalam sunnah. Dahulu saya tidak mempedulikan keadaan ini dan pandang hanya sebelah mata. Saya pernah beranggapan bahawa apa yang nabi lakukan adalah mustahil untuk kita lakukan pada hari ini.

Tetapi pandangan saya hari ini berubah 180 darjah.

Sebenarnya kita mampu jelmakan semangat kehidupan nabi dalam hidup kita. Cuma keadaan sistem yang wujud dalam kehidupan moden hari ini yang membuatkan kita berjauhan dari Sunnah Rasulullah secara tidak sedar.

Sistem moden hari ini membuatkan kita lebih 'Self Centered". Lebih fokus untuk diri sendiri berbanding utamakan orang lain.

Sunnah nabi mengajarkan kepada kita untuk memberi hampir segalanya dan mengambil hampir tiada untuk diri sendiri.

Tetapi sistem moden hari ini mengajarkan agar mengambil hampir segalanya untuk diri sendiri dan memberi hampir tiada. Barulah itu dinamakan keuntungan.

Sistem moden hari ini telah mengajarkan kepada kita untuk mencipta "Berhala yang tersembunyi di dalam diri" (seperti pendapat Encik abatasa:- Ia adalah nafsu).

Bak kata pepatah, ikutkan nafsu, lama-lama jadi lesu

Bermula dari sistem bank dan kewangan sehinggalah kepada bentuk perniagaan, semuanya hampir menjadi korup. Bahkan dalam sistem kerajaan pun sudah terikut-ikut berkira-kira untung rugi dalam istilah kewangan.

Semuanya ingin mencari untung dalam istilah kewangan.

Kita tahu sistem kewangan adalah satu bentuk korupsi halus. Walaupun halus, ia memberikan kesan yang besar kepada masyarakat.

Kerana ia bertentangan dengan Sunnah nabi dan Al-Quran,

Perhatikan Al-Quran (Surah Al-Muddatstsir, ayat 6)

"Dan janganlah Engkau memberi (sesuatu, Dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya."

Fenomena Zaman berkata...

Buat An-Nur.

Apa yang kamu fikirkan adalah sama seperti yang saya fikirkan.

Namun, Dia lebih mengetahui akan segala yang dinyatakan dan segala yang tersembunyi di dalam dada.

Kata kunci: Return to "the source"

bagaimana dengan Open Source?

:)

Fenomena Zaman berkata...

Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah

wangsa berkata...

as salam F.Z.

baru saya faham kepincangan dlm sistem ekonomi moden yg tidak pernah menjamin kebahagiaan murni manusia.

bila kita simpan rezeki utk diri sendiri, sebenarnya kita telah menyekat rahmah Allah kedalam hidup kita yg datangnya drpd sokongan org2 sekeliling.

saya selalu berkata kpd sahabat saya - orang melayu islam ni bukannya miskin sangat - kalau kita berdiri ditepi jalan raya - berapa ramai yg drive kereta besar2 dan mahal...mereka ada rumah besar, gaji besar, pangkat besar, hidup 'nampak' mewah, setiap minggu berbelanja di pasaraya besar - tetapi kenapa macam tak nampak je masyarakat islam tu kaya - yes individu 'nampak' kaya, tapi umat islam secara keseluruhan tak nampak gah hampir dari semua segi...

kemudian, selepas menelaah betapa menipunya sistem kewangan moden dgn unsur riba dlm blog syurgadidunia, baru saya 'nampak' bhw semua kita sesungguhnya 'tersangkut' dgn riba aka hutang keliling pinggang..huhu..

ok..gaji beribu-raban tetapi ansuran kereta,rumah, kad kredit, insuran, ptptn, astro dll pun beribu-raban juga dan semua tu terikat dgn bank (jadi hamba bank..??)

'nampak' kaya tapi hakikatnya setiap bulan memikirkan bil2 yg mesti dibayar. 1 bulan je tak bayar - dah kena kejar dgn debt collector pulak...

sedangkan yahudi sendiri tidak mengamalkan riba dan ahli perniagaan mereka menjadi philantropist terkemuka membiaya anak2 muda mengembangkan bakat menjadi usahawan berjaya seperti founder facebook, zack zuckerberg...

kena semaikan semula semangat berniaga (sunnah Nabi)dan bekerja sendiri dikalangan anak2 sedari kecil lagi...mewarisi umat melayu yg menjadi ahli pernigaan, pedagang dan pelaut terkemuka disuatu waktu dahulu...

teruskan berkarya dan melihat hidup dari sudut yg berbeza...

Tanpa Nama berkata...

"kena semaikan semula semangat berniaga (sunnah Nabi)dan bekerja sendiri dikalangan anak2 sedari kecil lagi.."

Tambahan..sila rujuk Blog Red Herring..

Saya kini berfikir...apakah jenis pendidikan yang saya akan terapkan untuk anak-anak saya.

Sesungguhnya saya akan menongkah arus.

Saya tidak mahu anak-anak disuapkan dengan ilmu rekaan karut yang tidak bertuhan.

Semoga berkat rahmat kehadiran Rasulullah s.a.w akan menghasilkan anak2 yang mirip dengan akhlaknya...

Amin.

D.H

Tanpa Nama berkata...

Apa kata kita bina sebuah institusi pendidikan?

Kita fikirkan silibus yang terbaik utk anak2 kita.

Saya yakin, ramai antara kita yang terpelajar. Bijak Pandai. Dan kini lebih jelas apa yang perlu kita tahu.

Ada berani?

D.H

Tanpa Nama berkata...

Kalaulah saya ada ramai kenalan hartawan yang ikhlas menginfakkan harta ke jalan Allah sebagaimana Para Sahabat...

Saya akan usahakan membangunkan umat melalui ilmu.

Bentuk semula anak-anak yang berjiwa besi...

Fenomena Zaman berkata...

Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Wangsa,

Terima kasih kerana tunjukkan saya blog syurga dunia.

Pemikiran penulis blog tersebut sama seperti yang saya fikirkan. Saya juga mengangumi Sheikh Imran Hussein.

Saya pernah terfikir, jika ingin beli kereta, tak boleh kah terus berhutang je dengan syarikat kereta macam proton contohnya? Bayar secara ansuran tanpa faedah. Tak perlu melalui bank.

Jawapannya: Memang tak boleh dan Mustahil. Sebab bank dunia tak benarkan perkara ini berlaku.

Kita mesti hentikan guna bank. Hutang yang ada ni cukuplah. Fokuskan untuk bayar balik pinjaman. Jangan tambah hutang lagi.

Sekarang ni syarikat pinjaman wang berlesen pun dah banyak. Macam mana ni?

Sebenarnya, kalau kita perlu barang, solusinya ialah fikirkan cara macam mana nak cipta barang.

Kalau nak makan, tanam je pokok banyak-banyak dan ternak haiwan secara semula jadi. Jangan kurung dalam kandang nanti ternakan jadi tak sihat dan tak natural.

yang kita perlukan adalah knowledge macam mana nak cipta barang yang tahan lasak melalui pendekatan sains dan teknologi. Macam mana nak hasilkan padi yang boleh dituai lebih kerap dalam setahun tanpa menggangu sistem semula jadinya.

Kalau kita perhatikan, barang yang ada pada hari ini semuanya cepat rosak dan cepat outdated. Kenapa?

Sebab mereka mahu kita hanya terus jadi pembeli dan pembeli. Bila rosak solusinya mudah, beli jer baru. Barulah dia orang boleh buat untung bila ada repeat customer.

Tapi hakikatnya mereka dah membazirkan sumber alam.

Dua punca yang membuat sistem ekonomi korup.

Pertama sistem bank itu sendiri yang mengamalkan konsep mengambil lebih banyak dari pada memberi. Lalu menyebabkan orang atau syarikat yang berhutang dengan bank perlu memikiran cara bagaimana untuk bayar bunga/keuntungan bank (front & Back Door Riba)

Lalu kesan domino itu pun berlangsung sehingga tempias dekat orang kampung.

Keduanya.
Akibatnya kesan domino itu tadi, maka syarikat akan menggunakan segala strategi yang mungkin untuk mengekalkan keuntungan. Antara caranya ialah

1) Memaksimumkan tenaga kerja yang ada. Perah sampai kering keringat.

2) Memastikan pengguna akan sentiasa membeli dengan cara iklan-iklan palsu yang mendorong nafsu supaya membeli dengan tegarnya.

3) Menghadkan pengeluaran barang-barang yang amat diperlukan supaya dapat mengenakan harga yang paling tinggi. Baru boleh buat untung dan selesaikan hutang bank.

4) Mengeluarkan barang-barang yang rendah kualiti supaya pengguna boleh datang membeli lagi.

5) Mendaftar ciptaan syarikat sebagai harta intelek supaya orang lain tak boleh tiru dan buat untung. Hanya dia sahaja yang ada hak eksklusif atas penemuan tersebut. Kalau ada barang yang sama, walaupun secara kebetulan sama dan bukannya ditiru maka saman jutaan ringgit akan dikenakan. (Sebenarnya harta intelek itu sendiri merupakan satu pengkhianatan kepada intelek manusia yang bebas itu sendiri)
Bayangkan kalau orang zaman batu yang mula-mula jumpa api waktu tu dah boleh patentkan api yang dia jumpa. Tak ke haru?

Fenomena Zaman berkata...

Buat D.Hada,

Saya setuju dengan kamu dan Red Hearing supaya transformasi dalam sistem pendidikan itu perlu dirombak dan ditransformasikan.

Sebenarnya semua sistem yang ada pada hari ini perlu ditrasnformasikan dengan mengikut Semangat yang ditunjukkan oleh nabi. Iaitu semangat lebih banyak memberi daripada menerima. Dan bukannya mengamalkan sistem mengambil lebih banyak darpada memberi seperti sistem bank.

Barulah akan wujudnya surplus dan defisit akan dapat dihapuskan.

Kata kuncinya adalah Open Source & Free Online. tak perlukan bangunan pejabat. Hanya perlukan komputer & Server. Tenaga pengajar jangan bimbang. Akan muncul orang-orang yang kreatif dan gila-gila macam cikgu shida yang boleh membantu menyediakan bahan pembelajaran. Hanya perlukan sedikit sokongan daripada kerajaan dan ahli akademik.

Kita ambil contoh macam program Skor A. Cuba bayangkan ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja secara percuma dan tenaga pengajarnya adalah terdiri daripada cikgu-cikgu yang mengajar secara sukarela. Ia akan memberikan impak yang besar. Yang pasti, kalau benda macam ni jadi percuma, orang yang buat skor A tu tentu tak senang duduk.

Fenomena Zaman berkata...

Teringin tak untuk belajar di Massachusetts Institute of Technology (MIT) U.S secara online tapi percuma?

Cuba semak link ni:
http://thenewamerican.com/culture/education/10672-mits-online-threat-to-the-higher-education-cartel


Bila MIT buatkan Course percuma secara online, maka ada pihak yang tak senang duduk sebab telah menjejaskan pendapatan mereka.

Nurun Nur 9111 berkata...

Tapi manusia bukan fitrahnya mengharapkan balasan ke...

DH

Nurun Nur 9111 berkata...

Nanti sy check:

http://thenewamerican.com/culture/education/10672-mits-online-threat-to-the-higher-education-cartel

Fenomena Zaman berkata...

Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah

Cuba perhatikan ayat Al-Quran.

Mereka menunaikan nazar dan takut hari yang siksanya merata di mana-mana. Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan. Sesungguhnya Kami memberi makan kepada kamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, tidak mengharapkan balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami amat takut (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan wajah dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera" (Al-Insan 76:7-12)

Yang sebenarnya Manusia secara fitrahnya mengharapkan keredhaan Allah semata. Hanya kepada Allah sahaja kita berharap. Kerana Dia tempat bergantung segala sesuatu

"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)” (QS. Al-A’raf : 172)

Tanpa Nama berkata...

bestnya jadi org yg punya hati bersih kn?mharapkn kredhaan Allah.. benci MLM..tak suka politik. DH