OUMM2103
ENTREPRENEURSHIP
NO. MATRIKULASI :
NAMA :
NO. KAD PENGENALAN :
NO. TELEFON :
E-MEL :
KANDUNGAN
Glosary & Istilah
DIY - Do It Yourself
FeF - Factor E Farm
GVCS - Global Village Construction Set
OSE - Open Source Ecology
OSS - Open Source Software
1.0 PENDAHULUAN
Open Source Ecology (OSE)
merupakan satu jaringan di kalangan petani, jurutera dan penyokongnya yang bertujuan
membina dan membangunkan Global Village Construction Set
(GVCS). GVCS adalah merupakan set peralatan, perkakasan (hardware) dan jentera yang diperlukan seperti jentera bajak, mesin
pemampat tanah, janakuasa elektrik dan sebagainya bagi membina dan mewujudkan sebuah
perkampungan atau penempatan yang kondusif yang lebih mesra alam. OSE diasaskan
dan ditubuh pada tahun 2004 di Amerika oleh Marcin Jakubowski, warga Amerika
berketurunan Poland. ‘Open Source’ bermaksud sumber
barangan dan pengetahuan untuk mengeluarkan semula produk yang lengkap adalah
terbuka dan boleh diakses secara
percuma. Manakala ‘Ecology’ bermaksud suatu kajian mengenai interaksi kehidupan
antara organisma dengan alam sekelilingnya yang semula jadi[1].
Misi OSE seperti yang dinyatakan oleh Marcin Jakubowski adalah seperti berikut
:
“The mission of Open
Source Ecology is to create an open source economy - an economy that optimizes
both production and distribution, while providing environmental regeneration
and social justice.”
Dari segi perspektif kemanusiaan, OSE mempunyai matlamat dan visi untuk mewujudkan
sumber ekonomi terbuka bagi mengatasi masalah dan krisis ekologi dan berusaha
untuk mencipta satu keadaan yang harmoni antara manusia yang ingin memenuhi
keperluan asasnya melalui aktiviti tertentu dengan alam semula jadi yang
menyediakan sumber-sumber yang diperlukan oleh manusia. Keperluan asas manusia
yang dimaksudkan di sini adalah seperti makanan, tempat tinggal dan sumber
tenaga sehinggalah kepada peralatan yang digunakan oleh manusia seperti
jentera, peralatan pertukangan moden dan sebagainya.
Idea mengenai OSE ini bermula apabila
Marcin yang merupakan seorang kelulusan Ph.D di dalam bidang Teknologi Nuklear
menukar kerjayanya daripada seorang saintis kepada seorang petani. Semasa
beliau mengusahakan sebuah ladang di Missuori, Amerika, beliau telah membeli
sebuah jentera bajak yang digunakan untuk pertanian dengan sejumlah kos yang
besar. Tidak lama selepas itu jentera tersebut mengalami kerosakan dan beliau
terpaksa mengeluarkan sejumlah kos yang juga besar untuk membaikinya. Namun
jentera tersebut hanya dapat bertahan seketika dan kembali rosak. Keadaan ini
telah membuatkan Marcin berasa tertekan kerana telah banyak wang dan tenaga
yang telah dihabiskan untuk membaiki jentera bajaknya. Tanpa jentera bajak,
kerja-kerja tani tidak dapat dilakukan dengan baik tambahan pula ladang yang
diusahakan oleh Marcin adalah luas. Mulai dari situ, Marcin menyedari bahawa
ciri-ciri jentera bajak yang diperlukan oleh para petani sepertinya iaitu
jentera yang berharga murah, berdaya tahan, mudah dikendalikan dan dibaiki
serta boleh diubahsuai sememangnya tidak ada di pasaran. Beliau juga sedar
sekiranya beliau ingin mendapatkan sebuah jentera bajak seperti yang diinginkan
maka tiada jalan lain melainkan beliau harus menciptanya sendiri. Berkat dengan
usaha yang gigih, akhirnya Marcin berjaya mencipta sebuah jentera bajak yang
beliau inginkan.
Setelah berjaya mencipta sebuah
jentera bajak dengan menggunakan idea dan kreativiti sendiri, Marcin telah
mengambil keputusan untuk menyebar luaskan hasil kerjanya melalui Wiki di
Internet. Di internet, Marcin telah menyebarkan semua maklumat-maklumat yang
diperlukan mengenai bagaimana mencipta sebuah jentera bajak pada harga yang
murah. Beliau telah memuat naik lakaran rajah tiga dimensi (3D), rajah litar elektrik,
video cara membuat dan memasang bajak dan anggaran bajet yang diperlukan. Tidak
lama selepas itu, idea Marcin telah mendapat respon dan sambutan menggalakkan
dari pelbagai pihak di pelbagai negara. Mereka yang berminat dan tertarik
dengan idea Marcin telah datang ke Missouri untuk melihat dengan lebih dekat
seterusnya membawa balik dan mengembangkan inovasi tersebut ke negara
masing-masing.
Sehingga akhir tahun 2011, Marcin
dan rakan-rakannya yang kebanyakkan dikenali melalui internet telah berjaya
membuat sebanyak lapan prototaip mesin dan jentera yang dipanggil Global
Village Construction Set (GVCS) atau di dalam Bahasa Melayu dipanggil
sebagai Set Pembinaan Kampung Global. GVCS
ini dibangunkan di dalam kawasan seluas 30 ekar di Missouri yang dipanggil
sebagai Factor E Farm (FeF). Di FeF inilah berlakunya proses inovasi
dimana pelbagai idea dan eksperimen dijalankan untuk menghasilkan satu cetakan
biru (blueprint) untuk masyarakat awam mengenai teknologi terkini yang
digunakan dalam membina tamadun pada hari ini. Apa yang menarik ialah OSE ini
adalah terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan projek yang
dijalankan dan sekurang-kurangnya bagi mereka yang berminat dengan projek
tersebut tetapi kurang kepakaran dan kemahiran masih boleh menghulurkan
sumbangan dalam bentuk wang bagi menjayakan projek yang bercita-cita besar ini.
Apa yang menjadi tulang belakang yang memungkinkan berlakunya aktiviti di atas
adalah kemajuan dan pencapaian di dalam bidang teknologi maklumat dan revolusi
digital yang berlaku di seluruh dunia.
2.0 INOVASI DAN JENIS-JENIS INOVASI
Menurut Zimmerer, Scarborough dengan Doug Wilson (2008), kreativiti
adalah merupakan keupayaan untuk membangunkan idea-idea baru dan menemukan cara
baru memandang sesuatu masalah dan peluang. Manakala Inovasi adalah keupayaan
mengguna dan mengaplikasi idea dan cara baru yang kreatif tersebut ke atas
masalah dan peluang yang dihadapi untuk meningkatkan atau memperkaya kehidupan manusia.
Ini bermakna bahawa mempunyai idea-idea baru sahaja belum mencukupi, bahkan
soal bagaimana untuk menterjemahkan idea tersebut kepada sesuatu yang berbentuk
produk, perkhidmatan dan penerokaan perniagaan merupakan satu langkah yang
penting yang perlu dilakukan seterusnya[2].
Kinicki dan Williams (2003), menyatakan bahawa inovasi adalah “mencari
cara untuk menghasilkan barang atau perkhidmatan yang baru atau yang lebih baik”.
Ia bermakna bahawa setiap organisasi sama ada berasaskan keuntungan atau tidak,
tidak akan membiarkan diri berada dalam keadaan leka terutamanya apabila
pesaing sentiasa muncul dengan idea-idea yang kreatif[3].
Manakala Guru pengurusan Peter Drucker pula
menyatakan bahawa “inovasi merupakan alat atau instrumen yang digunakan oleh para
usahawan yang memanfaatkan perubahan sebagai satu peluang”[4].
Menurut Kuratko dan Hodgetts (2004) terdapat empat jenis asas inovasi iaitu
penciptaan, perluasan, duplikasi dan perpaduan (rujuk rajah 2.1)
![]() |
Rajah 2.1 Empat jenis inovasi
2.1 Penciptaan (Invention)
OSE menyedari bahawa para petani
pada masa kini terlalu bergantung kepada
peralatan jentera yang dikeluarkan oleh pemilik-pemilik industri berat yang
memonopoli teknologi dan kaedah pembuatan jentera. Para petani tiada mempunyai banyak
ruang dan peluang untuk mengawal rekabentuk dan kaedah pengeluaran-pengeluaran
jentera berat serta komponen-komponen alat ganti yang diperlukan agar kos yang
ditampung bagi menjalankan aktiviti pertanian dapat dikurangkan.
Bermula dari situ dan dengan berdasarkan semangat DIY : Do it Yourself, OSE telah mengambil langkah pertama
untuk mencuba membina jentera bajak hanya berdasarkan teknologi dan kaedah yang
lebih mudah dengan menggunakan pelbagai bahan-bahan terpakai yang mudah
diperoleh pada harga kos yang murah dan pada skala pengeluaran yang lebih kecil
iaitu hanya boleh dilakukan dibelakang rumah atau di dalam kebun. Walaupun
budaya DIY sudah menjadi kebiasaan di Amerika dan Eropah, namun penciptaan
bajak yang selalunya dikaitkan dengan teknologi canggih dan industri berat
belum pernah cuba dihasilkan oleh mana-mana individu dengan cara dan kaedah seperti
yang telah dibuktikan oleh oleh Marcin Jakubowski yang merupakan pengasas OSE.
2.2 Perluasan (Extension)
Perluasan
yang dirujuk dan dimaksud disini ialah penambahan atau tambahan kepada produk,perkhidmatan atau proses yang
sedia ada. Perluasan yang dilakukan di dalam OSE adalah berkenaan Global Village Construction Set (GVCS)
di mana ia telah direka khusus dengan ciri-ciri yang telah ditetapkan. Bermula dengan kejayaan membina jentera
bajak, kini OSE sedang giat berusaha membina lagi 50
prototaip peralatan jentera GVCS dan berita perkembangan terkini mengenai usaha
tersebut sedang disebar secara meluas di internet untuk diduplikasi,
dibincangkan serta diperbaiki oleh pengguna yang berminat dan datang dari
seluruh dunia.
Apabila
Marcin menyebarkan luaskan berita kejayaan beliau membina jentera bajak yang
merupakan GVCS yang pertama didalam projek OSE di Internet, beliau bukan sekadar menghebahkan berita
sahaja. Bahkan beliau telah menghebahkan dan berkongsi cara-cara dan kaedah
membuat jentera bajak seperti lakaran rajah tiga
dimensi (3D), rajah litar elektrik, video cara membuat dan memasang bajak dan
anggaran bajet yang diperlukan. Apa yang dilakukan oleh Marcin seperti yang
dinyatakan di atas menunjukkan bahawa OSE telah berjaya melakukan sesuatu yang
serupa dengan OSS (Open Source Software).
Open Source Software (OSS) merupakan
satu bentuk perkongsian ke atas maklumat kod dan program bahasa pengaturcaraan
komputer dimana maklumat-maklumat tersebut disebarkan secara meluas di internet
dan boleh diakses secara percuma oleh sesiapa sahaja bagi tujuan membina
perisian komputer yang dikehendaki. Dari segi sejarahnya OSS telah terlebih
dahulu wujud berbanding OSE kerana faktor pencapaian teknologi digital yang
berkembang maju. OSS adalah lebih mudah
dikendalikan berbanding OSE kerana OSS hanya sekadar maklumat kod program komputer
di dalam bentuk angka dan tulisan yang senang dikendali dan dimanupulasi oleh
pengguna. Manakala OSE merupakan perkongsian maklumat berkenaan dengan
perkakasan (Hardware) serta kesannya
ke atas alam sekitar (ekologi) yang lebih sukar dikendalikan dan dimanupulasi
kerana ia melibatkan kerja-kerja untuk menghasilkan sesuatu perkakasan berat
yang harmoni dengan dengan ekologi alam seperti membina jentera bajak yang
memerlukan kerja tangan dan fizikal yang berat dan kemahiran pratikal yang
tinggi. Kejayaan OSE telah membuktikan bahawa inisiatif projek sumber terbuka (open source) tidak hanya terhad kepada
perisian komputer sahaja malah ia telah berjaya dilakukan ke atas perkakasan (hardware).
2.3 Duplikasi (Duplication)
Duplikasi merujuk kepada proses membuat pendua (replication) terhadap produk, perkhidmatan atau
proses sedia ada. Proses ini bukan sekadar meniru bulat-bulat tetapi
menambah fungsian tambahan kepada produk, perkhidmatan atau proses sedia ada.
Di dalam OSE terdapa banyak proses duplikasi yang berlaku. Ini kerana peralatan
yang ada memang sengaja dicipta dengan mengambil kira aspek duplikasi bagi
memastikan ia dapat dimanfaatkan dan digunakan dengan sepenuhnya pada kos yang
murah menghampiri sifar. Salah satu contohnya adalah Power Cube.
Power Cube pada peringkat awalnya merujuk kepada enjin yang dicipta dan
dipasang pada jentera bajak di dalam OSE. Tidak lama selepas kejayaan mencipta
jentera bajak yang lengkap dengan enjinnya sendiri, OSE kini telah pun berjaya
mengubah suai Power Cube (yang
dahulunya hanya boleh digunakan kepada jentera bajak) dan telah menjadikan ia
sebagai sebuah enjin pelbagai guna yang boleh dipasang pada mana-mana jentera
GVCS yang lain dan juga sebagai enjin yang boleh dijana melalui pelbagai jenis
bahan bakar dan tenaga seperti gas,
biomas dan wap air. Rujuk rajah 2.2 dan 2.3
![]() |
![]() |
Rajah 2.2 - Fungsi
Power Cube Rajah 2.3 - Gambar Power Cube sebenar
2.4 Perpaduan (Synthesis)
Perpaduan merujuk kepada proses untuk menggabungkan
bahagian-bahagian lain untuk menjadi sesuatu produk atau aplikasi yang baru dengan
mengambil kira beberapa idea atau barang yang telah sedia ada. OSE telah
mensasarkan untuk menghasilkan 50 jenis prototaip mesin GVCS dalam tempoh dua
tahun dan untuk mencapai sasaran ini, proses perpaduan sudah pasti merupakan
satu cara yang perlu dilakukan dan sememangnya tidak dapat dielakkan. Sememangnya
kebanyakan prototaip yang dibangunkan di dalam OSE merupakan jenis perpaduan
dari pelbagai peralatan dan jentera yang seterusnya dapat menghasil peralatan
dan jentera yang baru yang berlainan kegunaannya. Namun ciri perpaduan yang
utama dan diberi lebih penekanan di sini adalah merujuk kepada perpaduan
pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan untuk membangunkan GVCS dalam tempoh dua tahun di mana OSE
kekurangan maklumat-maklumat yang berintegrasi seperti yang dinyatakan di
dalam Open Source Product Development Pipeline pada perenggan pengenalan dan pernyataan masalah seperti berikut[5]
:
“This is the general Open
Source Product Development strategy for rapid
synthesis of knowledge and expertise required to deploy the Global Village Construction Set
within a time frame of under 2 years. - ( Introduction of Open Source Product
Development Pipeline)
The main barriers to rapid
development that we have faced so far at Factor e Farm is the lack of
integrated information that helps one deploy all the technologies for the GVCS.
– (Problem Statement in Open Source Product Development Pipeline)
Perpaduan antara pengetahuan (iaitu ilmu yang
diperlukan) dan kepakaran (iaitu kemahiran individu) bukanlah sesuatu yang baru
bahkan ia memang sentiasa dilakukan oleh individu yang kreatif dan berinovasi.
Apa yang dilakukan oleh OSE seperti yang cuba dihuraikan di sini ialah
bagaimana OSE memanfaatkan sepenuhnya teknologi internet yang juga merupakan
satu bentuk inovasi jenis perpaduan iaitu gabungan teknologi komputer dengan
teknologi rangkaian pada tahap yang maksimum sehingga berjaya menarik minat
pelbagai pihak yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan dan orang
perseorangan yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kemahiran serta dari
pelbagai negara. Mengenai bagaimana OSE melakukan perpaduan antara pengetahuan
dan kepakaran akan dijelaskan lebih lanjut pada bab mengenai sumber-sumber
inovasi.
3.0
SUMBER-SUMBER
INOVASI
Di dalam OSE inovasi terhasil daripada pelbagai sumber. Antara sumber-sumber
di dalam OSE adalah (1) Peristiwa yang tidak dijangka, (2) Konsep pengetahuan
yang baru, (3) Perubahan Demografi, dan (4) Keperluan Proses:
3.1 Peristiwa yang tidak dijangka
Peristiwa yang tidak
dijangka merupakan sumber inovasi yang pertama sekali yang ditempuh oleh Marcin
semasa bersusah payah mengeluarkan kos
perbelanjaan yang besar bagi membaiki jentera bajak yang sering rosak. Berasa
terbeban dengan perisitiwa tersebut, beliau terfikir untuk mencipta jentera
bajak sendiri yang mempunyai ciri-ciri mudah diselenggara, tidak mudah rosak
dan boleh diubahsuai dengan mudah dengan menggunakan barang-barang terpakai
pada harga dan kos yang jauh lebih murah. Akhirnya tanpa diduga apa yang
dilakukan oleh Marcin telah mendapat perhatian dan sambutan yang menggalakkan,
malah Marcin telah berjaya menubuhkan OSE bersama dengan rakan-rakannya yang
lain. Kini OSE benar-benar ditubuhkan dengan matlamat dan visi yang mampu
mengubah corak ekonomi di dalam era pasca kelangkaan (post scarcity)
3.2 Konsep pengetahuan yang baru
Pada hari ini produk dan
perkhidmatan yang baru mudah dijumpai dan banyak di pasaran. Hakikatnya
kebanyakan barang dan perkhidmatan yang baru ini merupakan inovasi yang
berasaskan pengetahuan yang melalui proses penyelidikan yang memakan masa dan
dilakukan oleh golongan pakar. Pengetahuan yang baru ini boleh diraih melalui
pelbagai cara seperti bahan bacaan, seminar, persidangan atau melalui sesi
perbincangan di kalanga pakar Apa yang dilakukan di OSE tidak berbeza dengan
organisasi yang lain dan berdasarkan
sumber inovasi yang sama iaitu berasaskan konsep pengetahuan yang baru. Apa
yang membezakan OSE dengan organisasi yang lain adalah kadar kecepatannya
memperoleh pengetahuan yang baru serta sumber bakat dan kepakaran manusia yang
dimilikinya. Persoalannya ialah, bagaimanakah OSE memperoleh pengetahuan baru
serta bakat manusia yang begitu cepat? Clay Shirky di dalam bukunya Here
Comes Everybody : The Power of Organizing Without Organizations (2008)
dan Cognitive
Surplus : Creativity and Generosity in a Connected Age (2010) telah
memberikan gambaran bagaimana satu aktiviti kumpulan seperti OSE berjaya
melakukan sesuatu yang bermanfaat dan berinovasi untuk masyarakat sekelilingnya
pada kadar yang cepat dan pantas serta pada kadar kos yang menghampiri sifar.
Di
dalam bukunya yang pertama, Shirky telah memberikan penjelasan dan gambaran
tentang keadaan masyarakat yang pada mulanya saling belum mengenal antara satu
sama dan tidak berstruktur seperti organisasi perniagaan atau kerajaan yang formal
telah dapat menghasil kerja yang bermanfaat untuk kebaikan bersama melalui
penggunaan pelbagai medium komunikasi terutamanya internet seperti emel, blog,
laman sosial dan wiki. Malah hasil kerja yang dilakukan oleh masyarakat melalui
medium ini yang dipanggil sebagai collaborative
production adalah setanding dengan hasil kerja seperti yang dilakukan oleh
organisasi perniagaan yang berorientasikan keuntungan seperti Microsoft dimana pesaing
kepada Microsoft adalah Linux[6].
Malah terdapat andaian dan gambaran bahawa syarikat-syarikat gergasi seperti
Microsoft dan IBM akan menjadi tidak relevan dan terpaksa bekerja keras bagi
menghadapi pesaing-pesaing baru mereka yang pada mulanya merupakan adalah
pengguna kepada produk mereka. Hal ini berlaku adalah kerana wujud keadaan yang
berbeza yang dihadapi oleh organisasi formal iaitu organisasi formal terpaksa
menanggung kos tambahan jika ingin mengembangkan saiz dan keupayaan sumbernya
manakala kos Collaborative Production
semakin menghampiri sifat apabila saiznya berkembang besar.
Di
dalam bukunya yang kedua, Shirky telah memberikan gambaran bagaimana masyarakat
pada hari ini telah dapat belajar bagaimana menggunakan masa dengan
sebaik-baiknya bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan membuktikan bahawa
masyarakat apabila diberikan kesempatan dan kemudahan seperti intenet serta
dilakukan atas prinsip moral dapat melakukan sesuatu manfaat yang mempunyai
kesan yang besar dalam masa yang singkat kerana sifat teknologi internet yang
membenarkan pengguna berinteraksi dan memberi nilai tambah sepanjang masa dan
dimana sahaja.
3.3 Perubahan Demografi
Perubahan demografi dari segi umur,
taraf pendidikan, taraf hidup dan jenis-jenis pekerja turut menjadi salah satu
sumber inovasi kepada OSE. Majoriti individu yang terlibat di dalam perkongsian
maklumat dan pendapat di ruang maya bagi mengikuti dan membantu perkembangan
OSE adalah terdiri daripada generasi muda berpendidikan tinggi yang mempunyai
pelbagai kemahiran dan lahir pada sekitar tahun 1977 ke atas. Golongan ini
adalah golongan yang paling aktif menggunakan medium internet untuk
berkomunikasi dan mengikuti perkembangan arus semasa. Di ramalkan bahawa trend
menonton telivesyen akan berkurangan dan kurang digemari oleh golongan ini
kerana lebih banyak pilihan dan sumber maklumat yang boleh didapati melalui
internet.[7].
3.4 Keperluan
Proses
Keperluan proses
merujuk kepada proses yang wujud di dalam perniagaan, industri dan
perkhidmatan. Keperluan proses akan menyempurnakan proses yang sedia ada,
menggantikan mana-mana pautan yang lemah dan dapat menyusun semula proses yang
sedia ada. Salah satu matlamat OSE adalah untuk berkongsi dan menyebar luaskan
teknik mencipta peralatan jentera dan mesin supaya orang lain boleh meniru kaedah
dan teknik pemasangan jentera dengan mudah. Maka sudah pasti aspek keperluan
proses yang dapat menjimatkan masa dan mudah ditiru perlu diperincikan dengan
teliti sebelum disebar luaskan kepada umum. Perkongsian maklumat di internet
mengenai cara dan proses membuat dan mereka jentera GVCS ini telah memberikan
ruang kepada orang lain untuk memberikan makluman balas dan komen yang membina serta
turu sama memperbaiki dan meningkatkan kecekapan proses mencipta dan
memasang GVCS.
4.0 KESIMPULAN
Inovasi merupakan kunci kejayaan
kepada sebuah organisasi. Inovasi diperlukan bagi memastikan organisasi terus
kekal relevan dan sentiasa diperlukan oleh masyarakat. Inovasi perlu diuruskan
dan dilaksanakan dengan betul dan sebaik-baiknya. Tidak semua inovasi itu akan
memberikan kesan yang positif kepada organisasi dan masyarakat. Sesetengah
inovasi yang dianggap baik oleh organisasi belum tentu ia diperlukan dan
digemari. Kesilapan organisasi dalam menilai dan mengambil kira kepentingan
pihak-pihak yang terlibat di dalam ekosistem pasaran produk atau perkhidmatan
akan menyebabkan suatu produk atau perkhidmatan yang berinovasi itu berakhir
dengan kegagalan[8].
Bagi organisasi perniagaan, inovasi diperlukan bagi memastikan syarikat
sentiasa membuat keuntungan. Manakala organisasi bukan kerajaan (NGO) dan juga
kerajaan, inovasi diperlukan bagi memastikan kebajikan masyarakat dan rakyat terus
dijaga. Menurut Kuratko dan Hodgetts (2004) terdapat empat jenis inovasi iaitu
penciptaan, perluasan, duplikasi dan perpaduan. Kesemua jenis inovasi ini telah
terdapat dan dilakukan di dalam OSE bagi membangunkan GVCS.
Tinjauan mendapati bahawa sumber
inovasi yang didapati oleh OSE adalah dari empat sumber yang telah digariskan
oleh Drucker (1985)
serta Kuratko dan Hodgetts (2004) iaitu peristiwa yang tidak dijangka, konsep
pengetahuan yang baru, perubahan demografi dan keperluan proses. Namun, konsep
pengetahuan yang baru merupakan sumber inovasi yang utama bagi OSE. Rahsia
kejayaan OSE meraih konsep pengetahuan yang baru dan menjadikan ia sebagai
sumber inovasi yang utama adalah kerana ia telah mengunakan teknologi internet
pada tahap yang maksimum. Pendekatan yang dilakukan oleh
OSE dalam mencipta inovasi seperti yang dilakukannya itu dipanggil sebagai
Inovasi Terbuka (Open Inovatioan).
Menurut Chesbrough (2003) di dalam penulisannya yang bertajuk The era of open innovation menyatakan
bahawa inovasi terbuka merupakan satu paradigma yang mempunyai pandangan bahawa
sekiranya sebuah firma ingin memajukan teknologi mereka, maka seharusnya mereka
perlu menggunakan idea-idea yang datang dari luar dan dari dalam firma serta
kaedah-kaedah dalaman dan luaran yang menghala kepada pasaran[9].
Cara
OSE berinovasi adalah berbeza dengan organisasi perniagaan konvensional di mana
OSE bersikap lebih terbuka dan tidak berahsia ke atas maklumat-maklumat yang
dimilikinya. Bagi organisasi perniagaan konvensional yang telah memperuntukan
sejumlah kos yang besar bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D),
maklumat-maklumat penyelidikan yang dibangunkan perlu dilindungi dengan
menggunakan undang-undang hak cipta dan harta intelek agar syarikat lain tidak
dapat menjadi pesaing mereka. Bagi OSE,
undang-undang hak cipta dan harta intelek merupakan satu yang menghadkan
inovasi dan ia perlulah dihapuskan. Matlamat utama OSE adalah untuk melihat
kejayaan pihak lain memanfaatkan maklumat yang disebarkan oleh OSE bagi
memenuhi keperluan asas manusia yang dilihat masih lagi belum diagihkan secara
saksama kerana dihalang oleh pelbagai kelangkaan buatan (artifical scarcity) seperti undang-undang hak cipta dan harta
intelek.
(3224 patah
perkataan)
Rujukan
Abd. Aziz Yusof. (2000). Usahawan dan keusahawanan: Satu
penilaian. PrenticeHall Sprint Print.
Clay Shirky (2008). Here Comes
Everybody: The
Power of Organizing Without Organizations. Penguin.
Clay Shirky (2010). Cognitive Surplus : Creativity and Generosity in a Connected Age. Penguin.
Copenhagen
Institute for Futures (2012) Communication
trends and the role of mail. Ditemukan pada 18 Jun 2012,
dari laman sesawang
www.ipc.be/~/media/Documents/
PUBLIC
/CIFS_Communications.ashx
Forbers. (2012).Why Great
Innovations Fail: It's All in the Ecosystem. Ditemukan pada 18 Jun 2012, dari laman sesawang http://www.forbes.com/sites/frederickallen/2012/03/05/why-great-innovations-fail-its- their-ecosystem/
Hisrich, R. D.,
& Peters, M. P., (1998). Entrepreneurship: Starting, developing and managing a
new enterprise (4th ed.). Irwin.
Kuratko, D. F., & Hodgetts, R. M. (2003). Entrepreneurship: Contemporary approach (6th ed.). South-Western Educational Publishing.
Marc, J. D. (2007). Entrepreneurship:
Strategies and resources. Marsh Publications.
Mohd Salleh Hj Din, Hoe C. H., Norashidah H., Rosli M., Habshah B., Ooi
Y. K., Armanurah M., Shuhymee A.,
Norita D., & Lily Julienty A. B. (2004). Asas keusahawanan. Kuala Lumpur: Thomson.
Peter Drucker Society Of Austria (2012). Innovation and
Entrepreneurship Principles and Practices: Ditemukan
pada 18 Jun 2012, dari laman sesawang http://druckersociety.at/repository/scientific/Pearl.pdf
Zimmerer, T. W., & Scarborough, N. M., (2007). Essential of entrepreneurship and small business management (5th ed.). Prentice Hall.
Open Source Ecology. (2012). A Network of Farmers,
Engineers, and Supporters Building the Global Village Construction Set: Ditemukan pada 15 Jun 2012,
dari laman sesawang http://opensourceecology.org
Wikipedia (2012). Open
Innovatioan : Ditemukan pada 23 Jun 2012, dari laman sesawang http://en.wikipedia.org/wiki/Open_innovation


[1] Maklumat lanjut mengenai
Open Source Ecology boleh didapati di laman sesawang http://opensourceecology.org/
And Small Business Management (Edisi kelima), terbitan Prentice Hall.
[3] Maklumat diperoleh daripada nota kursus Entrepreneurship OUMM2103, Open University Malaysia.
[5]Maklumat diperoleh daripada http://opensourceecology.org/wiki/Open_Source_Product_Development_Pipeline
[6] Sumber daripada laman : http://www.pcworld.com/businesscenter/article/169619/microsoft_acknowledges_linux_threat_to_windows_client.html
bertajuk Microsoft Acknowledges Linux
Threat to Windows Client
[7] Sumber diperoleh daripada laporan kajian mengenai trend komunikasi dan peranan persuratan oleh Copenhagen Institute for Futures Studies melalui
pautan laman : www.ipc.be/~/media/Documents/PUBLIC/CIFS_Communications.ashx
[8] Maklumat diperoleh
daripada laman web http://www.forbes.com/sites/frederickallen/2012/03/05/why-great-innovations-fail-its-their-ecosystem/
[9] Sumber maklumat diperoleh
daripada Wikipedia di laman web http://en.wikipedia.org/wiki/Open_innovation






Tiada ulasan:
Catat Ulasan